Wali Allah

 


From: abumuslim
To: Tuan Pengurus Laman <e_bacaan@yahoo.com>
Sent: Friday, November 21, 2008 10:06:55 PM
Subject: :)

Salamun 'alaikum,

Dari zaman sekolah, sehingga ke alam dewasa tidak pernah walaupun sekali (kecuali sekarang ini), saya mendengar dari mulut para ustaz/ustazah yang pernah ajar saya, ataupun ibu-bapa, sanak saudara serta rakan-rakan yang beritahu saya bahawa; solat itu perintahnya terdapat di dalam Al-Qur'an. Tidak pernah.

Yang saya tahu, solat ialah perintah Allah kepada Nabi Muhammad, sewaktu baginda dinaikkan ke langit dengan menaiki seekor binatang yang ajaib, diberi nama Buraq, dan bertemu dengan Allah secara langsung, lalu menerima perintah solat; itupun setelah berlaku tawar menawar serta dapat nasihat daripada Nabi Musa.

Tidak pernah mereka-mereka yang disebut tadi ajar saya membaca Al-Qur'an dalam bahasa Melayu, iaitu bahasa yang saya fahami, tetapi haruslah membacanya di dalam bahasa Arab berserta tajwid, dan lagunya, yang tidak saya fahami walaupun satu ayat.

Bagi mereka Al-Qur'an WAJIB dibaca dalam bahasa Arab. Al-Qur'an tidak boleh disentuh tanpa wuduk, kerana ia kitab suci. Apa yang suci ? Kulit kitab ? Dakwat ? Kertas ?. Bagaimana kalau kita menghafal/tahfiz Al-Qur'an di dalam dada, lalu kita masuk ke tandas; apa yang perlu kita buat ? Berwuduk ?.

Baru-baru ini di dalam Parlimen, seorang pembangkang bukan Islam, membaca beberapa potong surah Al-Qur'an di dalam bahasa Melayu. Apakah hukumnya ?. Perlukah beliau berwuduk ?. Apa komen orang Parti Islam ? Apakah ayat-ayat Al-Qur'an digunakan untuk tujuan politik pula ? Apa kata Majlis Fatwa ?.

Bagaimana dengan orang yang beri salam dengan main-main seperti pelawak bodoh terkenal Malaysia yang selalu beri salam seperti 'semekom' ? Apa kata Majlis Fatwa ?; bagi salam main-main sama buruknya dengan gejala pengkid, ia juga satu perlakuan yang memperolok-olokkan agama !!.

Baru-baru ini beberapa rakan saya menghadiri ceramah seorang Ustaz terkenal iaitu Akil Hay, seorang rockers yang bertukar jadi penceramah bebas. Seronok mereka kata, Ustaz Akil Hay pandai buat lawak siap nyanyi lagu lagi !. Rakan saya bercerita yang Ustaz Akil Hay menggelarkan Nik Aziz wali Allah, setanding dengan Wali Songo di Indonesia. Dan dia adalah anak murid Nik Aziz. Ustaz BadrulAmin pun kata begitu, kata mereka. Sahabat nak komen ?.

Saya habiskan luahan hati saya ni , dengan cerita tazkirah solat Jumaat di sebuah masjid di Subang Jaya. Ustaz ni bercerita, katanya; mereka-mereka yang hadir ke masjid untuk solat Jumaat, tetapi, tidak duduk di saf(barisan) hadapan adalah amat rugi sekali. Mereka yang tidak duduk dihadapan tidak akan dapat pahala, malaikat tak tulis pahala untuk mereka !!. Bayangkanlah perasaan orang yang datang lewat, kerana jalan sesak atau menguruskan sesuatu perkara. Kalau ada yang 'bengang' dah tentu angkat kaki balik rumah. Baik tak payah solat !!.

Salam.

Salamun alaikum,

Luahan hati sahabat dapat perhatian dan atas kesudian mengirimnya diucapkan ribuan terima kasih.

Antara perkara-perkara diluahkan - solat, israk-mikraj, membaca al-Qur'an bahasa Melayu dan berwuduk untuk membacanya, salam, Wali Allah, dan saf hadapan di masjid - hanya Wali Allah yang diminta untuk dikomen. Mungkin kerana sedari perkara tersebut belum lagi jadi tajuk yang disenarai di laman ini.

Untuk melaksanakan komen, kami kumpul semua ayat mengandungi kalimat wali di dalam al-Qur'an terlebih dahulu. Sila luangkan masa untuk membacanya.

Daripada pengumpulan tersebut terdapat hanya dua ayat yang mengandungi frasa wali Allah. Pertama berbunyi,

"Sesungguhnya wali-wali (sahabat-sahabat) Allah - tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih." (10:62)

Dan ayat yang menyusulinya berbunyi,

"Orang-orang yang percaya dan bertakwa," (10:63)

Lalu dapat disimpulkan iaitu Wali Allah bermaksud orang yang percaya kepada ayat-ayat Allah, di samping bertakwa, atau takut kepada-Nya.

 

Pada seseorang Wali Allah didapati tiada perasaan takut dan sedih. Perasaan yang sama terdapat pula pada beberapa ayat lain, yang dilihat melanjutkan lagi sebutan mengenai ciri-ciri orang-orang yang berperasaan sama.

 

Ayat-ayat tersebut iaitu mengandungi kata-kata "tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih" seperti terakam di dalam ayat Wali Allah tadi (10:62) disenaraikan di bawah menurut kronologi:

"dan sesiapa yang ikut petunjuk-Ku, tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih." (2:38)

 

"Sesungguhnya orang-orang yang percaya, dan orang-orang Yahudi, dan Kristian, dan Sabiin, sesiapa percaya kepada Allah dan Hari Akhir, dan buat kerja-kerja baik , maka upah mereka adalah di sisi Pemelihara mereka, dan tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih." (2:62)

 

"Ia, sesiapa yang tundukkan wajahnya (mukanya / kehendaknya) kepada Allah, sedang dia seorang buat baik, maka upahnya adalah di sisi Pemeliharanya, dan tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih." (2:112)

 

"Orang-orang yang nafkahkan harta mereka di jalan Allah, kemudian tidak ikut apa yang mereka nafkahkan dengan celaan dan gangguan, upah mereka adalah di sisi Pemelihara mereka, dan tiada ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih." (2:262)

 

"Orang-orang yang nafkahkan harta mereka, malam dan siang, secara rahsia dan secara terbuka, upah mereka adalah di sisi Pemelihara mereka, dan tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih." (2:274)

 

"Orang-orang yang percaya, dan buat kerja-kerja baik , dan lakukan solat, dan beri zakat, upah mereka adalah di sisi Pemelihara mereka, dan tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih." (2:277)

 

"Janganlah sangka orang-orang yang terbunuh di jalan Allah sebagai sudah mati, tetapi hidup di sisi Pemelihara mereka, diberi rezeki oleh-Nya.
Mereka bergembira dengan pemberian yang Allah beri mereka, dan bergembira dengan orang-orang yang tinggal di belakang dan belum turut bersama mereka, dan tiada ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih." (3:169-170)

 

"Sesungguhnya orang-orang yang percaya, dan orang-orang Yahudi, dan Sabiin, dan orang-orang Kristian, sesiapa yang percaya kepada Allah, dan Hari Akhir, dan buat kerja-kerja baik , maka tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih." (5:69)

 

"Kami tidak utus para utusan kecuali untuk beri berita gembira, dan beri amaran. Maka sesiapa yang percaya, dan membetulkan - tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih." (6:48)

 

"Wahai Bani Adam, jika datang kepada kamu Rasul-Rasul daripada kalangan kamu yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat-Ku, maka sesiapa bertakwa, dan membetulkan, tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih." (7:35)

 

"'Wahai hamba-hamba-Ku, pada hari ini tidak ada ketakutan pada kamu, dan tidaklah kamu bersedih.'
Orang-orang yang percaya kepada ayat-ayat Kami, dan memuslimkan diri-diri mereka," (43:68-69)
dan,

 

"Sesungguhnya orang-orang yang berkata, 'Pemelihara kami Allah', dan kemudian meluruskan (teguhkan), maka tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih." (46:13)

Maka dapat difahamkan bahawa orang bercirikan Wali Allah, daripada penjelasan ayat-ayat di atas, adalah yang:

Izinkan kami bertanya, adakah ciri-ciri di atas jadi pakaian seorang yang dimuliakan dengan panggilan Wali Allah seperti tercatat di dalam e-mel abumuslim? Bagi kami agak sukar menetapkannya di sini, kecuali terdapat kepercayaannya atas hukum Hudud yang jadi bukti.

 

Orang-orang yang berkata "Pemelihara kami Allah" harus mengotakan kata-kata itu dengan berpegang teguh pada ayat-ayat-Nya dan tidak ikut ajaran agama selain daripada ajaran Allah. Jika tidak, Pemelihara mereka bukan Allah.

 

Wali sebenar bagi manusia ialah Allah yang turunkan al-Qur'an sebagai ajaran agama yang benar. Wali-wali selain daripada Allah, dan ajaran-ajaran mereka, tidak harus diikuti. Demikianlah diperingatkan Allah melalui firman bermaksud,

"Ikutlah apa diturunkan kepada kamu daripada Pemelihara kamu, dan jangan ikut wali-wali selain daripada Dia; sedikit sekali kamu mengingati." (7:3)

Gelaran Wali Allah yang diberi oleh manusia kepada manusia lain mirip amalan orang-orang Kristian, yang menggelar orang seumpama itu dengan panggilan saint atau santo. Mungkinkah itu jadi satu lagi bukti bahawa amalan Kristian ditiru oleh Islam palsu?

 

Golongan manusia yang suka mengguna gelaran Wali Allah, menurut Petunjuk, ialah orang-orang Yahudi. Mereka menggunakannya ke atas diri-diri mereka sendiri. Maklumat tersebut diperoleh daripada ayat kedua, dan terakhir, yang mengandungi frasa Wali Allah di dalam al-Qur'an, berbunyi,

"Katakanlah, 'Wahai kamu orang-orang Yahudi, jika kamu mendakwa bahawa kamulah wali-wali (sahabat-sahabat) Allah, selain daripada manusia lain, maka inginkanlah kematian, jika kamu berkata benar.'" (62:6)

Atau sebenarnya, Islam palsu menyarung tabiat orang-orang Yahudi pula! Akan tetapi, ia dilakukan dengan rendah diri sedikit, kerana hanya menggelar orang lain, bukan diri sendiri. Apapun, gelaran itu adalah hak Allah - kerana hanya Dia yang tahu - untuk kurniakannya ke atas sesetengah manusia yang mempunyai ciri-ciri tertentu.
 

24.11.08

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman