Botox dan Susuk


From: penyapu
To: e_bacaan@yahoo.com
Sent: Thursday, August 28, 2008 3:53:36 PM
Subject: pemakaian susuk dan botox..

salamun alaikum....

Di kalangan artis sekarang, dikatakan ramai di antara mereka yang memakai susuk dan mengenakan suntikan botox ke atas bahagian tertentu pada badan mereka dan juga wajah mereka. Apa yang saya diberitahu, mengubah ciptaan Tuhan adalah berdosa. Tetapi mengikut sains, botox adalah satu kaedah yang mengenakan suntikan vaksin (bakteria lemah) yang baik yang boleh membantu memperbaiki masalah2 pd tempat yang disuntik. Saya ingin meminta pendapat tuan tentang kedua2 perkara ini sama ada boleh digunakan atau tidak menurut islam.


Salamun alaikum,

Terima kasih. Perkara-perkara yang ditanya agak menarik, tetapi kami tidak begitu mengetahui lalu pergi ke internet dan mendapati wikipedia dapat membantu beri keterangan mengenai botox dan susuk.

Botox adalah nama komersil bagi Botulinum toxin, iaitu protein yang mengandungi toksik paling tinggi (sangat beracun). Pun begitu, ia diguna dengan dos amat kecil untuk merawat kesakitan kekejangan otot dan dalam kosmetik.

Adalah dilaporkan di Amerika Syarikat terdapat 28 kematian dari tahun 1989 hingga 2003 disebabkan oleh botox, tetapi tiada satu pun berkait dengan kegunaannya dalam kosmetik. Kematian disebabkan kemampuannya untuk merebak ke kawasan jauh daripada tempat yang disuntik. Botox tiruan juga menyebabkan kematian.

Dalam kegunaan untuk kosmetik terdapat kesan sampingan seperti kekuyuan kelopak mata, senyuman yang tidak rata, dan mata tidak boleh ditutup. Ia akan hilang dalam tempoh kira-kira 6 minggu. Apabila disuntik pada otot dagu, ia boleh menyebabkan kesukaran mengunyah makanan pepejal. Telah dilaporkan juga botox menyebabkan pening kepala, lumpuh sebahagian muka, kelemahan otot, susah menelan makanan, sindrom serupa flu, dan reaksi alahan.

Kesemua rawatan untuk kosmetik tidak bertahan lama, secepatnya 6 minggu, dan ada juga yang bertahan di antara 3 dan 8 bulan. Dengan dos yang amat kecil kandungan toksik adalah amat rendah.

Berbeza dengan Tatu di mana kulit yang sedia cantik dicederakan untuk dilukis hiasan yang tidak mudah dipadam, maka penggunaan botox tidak seharusnya difikirkan sebagai melakukan sesuatu untuk mengubah ciptaan Allah.

Untuk mencari panduan daripada Allah mengenai botox, ia terlebih dahulu harus dianggap sebagai makanan (protein adalah makanan). Nasihat Dia mengenai makanan berbunyi,

"Wahai orang-orang yang percaya, makanlah benda-benda yang baik daripada apa yang Kami rezekikan kamu, dan berterimakasihlah kepada Allah, jika Dia kamu sembah." (2:172)

"Makanlah benda-benda yang baik yang Kami rezekikan kamu, tetapi janganlah melampaui batas padanya, atau kemurkaan-Ku akan turun kepada kamu; dan sesiapa diturunkan kepadanya kemurkaan-Ku, dia tercebur dalam kebinasaan." (20:81)

Protein yang beracun adalah makanan tidak baik dan menggunakannya boleh dianggap melampaui batas, justeru mengundang kemurkaan Allah.

Namun, mungkin terdapat pendapat yang lebih positif daripada doktor yang dipercayai. Ikutlah ia supaya fikiran jadi tenteram dan muka serta bahagian badan lain tidak jadi rosak akibat botox.

Beralih kepada tajuk kedua. Susuk, atau jarum jampi, adalah jarum diperbuat daripada emas atau logam berharga yang lain, dicucuk ke dalam tisu badan yang lembut untuk menjadi tangkal atau azimat. Kegunaannya pelbagai, dari kecantikan wajah dan bahagian-bahagian badan tertentu, kepada sakit sendi dan kesakitan lain yang tidak berbahaya atau melindungi daripada kecederaan atau kemalangan.

Ia dicucuk dan dipakai, tanpa rasa sakit, di muka dan bahagian badan yang lain, untuk menambah atau mengekalkan kecantikan, keremajaan, karisma, kekuatan atau kesihatan, atau kejayaan dalam bisnes.

Tidak seperti botox yang saintifik, susuk menggunakan jampi. Jampi melibatkan kuasa ghaib, seperti jin, yang tidak mungkin baik. Malah Allah ada beri nasihat mengenai kegunaan kuasa jin dalam ayat berbunyi,

"Pada hari Dia kumpulkan mereka kesemuanya: 'Wahai golongan jin, kamu telah banyak ambil daripada manusia.' Kemudian wali-wali mereka di kalangan manusia berkata, 'Wahai Pemelihara kami, sebahagian kami telah dapat kesenangan daripada sebahagian yang lain, dan kami telah sampai tempoh yang Engkau tentukan bagi kami.' Dia berkata, 'Apilah tempat tinggal kamu, di dalamnya tinggal selama-lamanya'; kecuali seperti yang Allah hendaki; sesungguhnya Pemelihara kamu Bijaksana, Mengetahui." (6:128)

Mendapat kesenangan daripada jin boleh mengheret kepada Api di akhirat. Nasihat-Nya lagi berbunyi,

"Tetapi ada lelaki-lelaki tertentu daripada manusia yang meminta perlindungan kepada lelaki-lelaki tertentu daripada jin, dan mereka menambahkan mereka dalam kekejian," (72:6)

Perolongan daripada jin boleh menambah dalam kekejian! Demikianlah itulah susuk, pada hemat kami.

Kami berpendapat botox dan susuk (terutamanya susuk) harus dijauhi. Kerana ada cara lain, yang bersih dan selamat, untuk menjadi cantik, atau mengubat kesakitan, atau berjaya dalam bisnes.

Selamat Berpuasa.

2.9.08

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman