Israk nama Surah
From: "pok mor"
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Surah 17
Date: Tuesday, 7 August, 2007 8:17 PMSalamun alaikum,
Semoga saudara penulis berbahagia di samping keluarga.
Saya baru kira-kira 3 bulan bersama laman e-bacaan ini. Itupun secara tak sengaja selepas mencari-cari artikel pasal solat. Dalam masa yg singkat ini byk juga telah saya temui. Rupa-rupanya selama ini saya telah digelapkan oleh pakar2 agama yy ajarannya sgt lah melencong dari Al-Furqan yg sebenar. Terima kasih kerana telah beri sedikit dorongan utk saya terus membaca Al-Quran.
Saya ada sikit kemusykilan terhadap surah 17. Kenapa saudara pengarang menamakannya BANI ISRAIL. Sedangkan lain2 terjemahan menggunakan Al-Isra'. Adakah sebab2 tertentu ?
salam,
omar
Salamun alaikum,
Terima kasih kerana sudi menulis kepada kami. Semoga saudara juga sedang berbahagia di samping keluarga.
Soalan yang dikemukakan diberi jawapan di sini. Diharap saudara Omar tidak tersinggung dengan tindakan kami. Kami tidak berniat demikian.
Memang benar, penterjemah al-Qur'an bahasa Melayu/Indonesia namakan Surah 17 kepada Al-Isra'. Tetapi tidak semua. Kerana didapati A.Hassan dalam tafsiran Al-Furqan, dan badan yang menghasilkan Terjemahan Cara Lafzhiyah juga, seperti Bacaan, namakan surah tersebut kepada Bani Israil.
Sementara dalam bahasa Inggeris pula, didapati sepuluh penterjemah namakan surah berkenaan kepada Bani Israil atau The Israelites dan The Children of Israel. Mereka adalah M.H.Shakir, Abdullah Yusuf Ali, Dr.Rashad, Hashim Amir-Ali, Ahmed Ali, Maulana Muhammad Ali, Maulawi Sher Ali, Maulana Abdul Majid, Dr.Ahmad Zidan dan Marmaduke Pickthall.
Sesungguhnya dua pendapat yang berbeza terhadap nama Surah 17 telah lama wujud.
Nama surah sentiasa mengingatkan kami pada suatu sesi minum teh dua puluh tahun lalu. Sekumpulan pendidik, termasuk seorang pensyarah agama, telah duduk berbual-bual. Lalu agama jadi pokok perbualan. Justeru, pensyarah tersebut dijadikan individu yang didengari. Satu daripada topik yang disentuh ialah Israk Miraj. Mengenainya, beliau mengatakan cerita peristiwa berkenaan terdapat dalam al-Qur'an, iaitu di Surah Israk. Mata kami terbeliak ketika mendengarnya tetapi yang lain dalam kumpulan kelihatan seperti percayai pembohongan ustaz.
Itu bukan sebab utama kami memilih Bani Israil sebagai nama ketika menulis Bacaan beberapa tahun kemudian. Sebab utama ialah sebahagian besar kandungan surah menyentuh mengenai kaum tersebut.
Pun begitu, perkara ini tidak harus dipandang berat, kerana ia bukan mesej al-Qur'an sebenar yang Allah janji untuk dipelihara.
Perkataan isra' atau asra' bermaksud perjalanan pada waktu malam, atau, diperjalankan pada waktu malam. Ia hanya didapati dalam ayat Surah 17 berikut:
"Dia disanjung, yang menjalankan hamba-Nya pada waktu malam hari dari Masjidil Haram ke masjid yang lebih jauh di mana sekitarannya Kami berkati, supaya Kami lihatkan kepadanya sebahagian daripada ayat-ayat Kami. Sesungguhnya Dialah Yang Mendengar, Yang Melihat." (17:1)
Ayat hanya menyebut mengenai israk atau perjalanan pada waktu malam. Tentang miraj pula, atau naik ke langit, tidak ada. Ia tidak disebut dalam Surah 17, malah, dalam seluruh al-Qur'an pun tidak disebut.
Daripada asra' terbit kalimat asri yang sama maksud. Lantaran, cerita mengenai perjalanan pada waktu malam disebut lagi di dalam al-Qur'an. Akan tetapi peristiwanya tidak sama. Ayat-ayat yang mengandungi kalimat itu diturunkan di bawah:
"Mereka berkata, 'Wahai Lut, kami adalah Rasul-Rasul Pemelihara kamu. Mereka tidak akan sampai kepada kamu; maka berjalanlah, kamu dengan keluarga kamu, pada sebahagian malam, dan janganlah seseorang daripada kamu berpaling ke belakang, kecuali isteri kamu; dia akan ditimpa dengan apa yang menimpa mereka. Waktu yang mereka dijanjikan ialah subuh (pagi); bukankah subuh sudah dekat?'" (11:81)
"Maka berjalanlah kamu dengan keluarga kamu pada sebahagian malam, dan ikutlah di belakang mereka, dan janganlah seseorang daripada kamu berpaling ke belakang; dan bertolaklah ke tempat yang kamu diperintah." (15:65)
"Kami wahyukan Musa, 'Berjalanlah dengan hamba-hamba-Ku pada waktu malam; buatkan untuk mereka jalan yang kering di dalam laut, tanpa takut akan dipintas, dan tidak juga ketakut-takutan.'" (20:77)
"Dan Kami wahyukan Musa, 'Berjalanlah dengan hamba-hamba-Ku pada waktu malam; sesungguhnya kamu akan diikuti.'" (26:52)
"Maka berjalanlah kamu dengan hamba-hamba-Ku pada sebahagian malam; sesungguhnya kamu akan diikuti." (44:23)
Dua ayat pertama mengisahkan perjalanan Nabi Lut pada waktu malam, sementara yang lain, mengenai Nabi Musa. Perjalanan adalah untuk melarikan diri daripada azab yang bakal diturunkan Allah, dan bagi Nabi Musa pula, daripada kezaliman Firaun. Perjalanan yang disebut ayat 17:1 tadi adalah untuk diperlihatkan sebahagian daripada ayat-ayat Allah.
Sekian, mengenai sebab kami pilih nama Bani Israil bagi Surah 17, dan mengenai israk, atau perjalanan pada waktu malam, yang tersurat di dalam Kitab Allah.
Salam.
10 Ogos '07
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
Senarai Penulis English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman