Rasuk & Penyembuhnya

 

From: "Hani Dew"
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Rasuk & Penyembuhnya
Date: Monday, June 11, 2007 4:00 PM

Salamun Alaikum Tuan,

Harap tuan sihat sejahtera. Saya ingin bertanya mengenai terjadinya keadaan seseorang itu dirasuk. Saya dapati ada beberapa kalimat Al-Quran yang mengandungi perkataan rasuk. Oleh itu dapat dirumuskan keadaan itu wujud. 

Soalan saya, adakah benar keadaan rasuk ini berpunca daripada gangguan jin & syaitan & bagaimana mengatasinya bepandukan kepada Al-Quran.

Sekian, terima kasih,
Hanidew05

Kalimat Rasuk

15:6. Mereka berkata, "Kamu, yang Peringatan diturunkan, kamu sesungguhnya telah dirasuk.

26:27. Berkata, "Sesungguhnya Rasul kamu yang diutus kepada kamu ialah orang yang dirasuk!"

37:36. Dan mereka berkata, "Apa, adakah kami akan tinggalkan tuhan-tuhan kami kerana seorang penyair yang dirasuk?"

44:14. Kemudian mereka berpaling daripadanya, dan mereka berkata, "Seorang yang diajar, dirasuk!"

51:39. Tetapi dia berpaling, dengan penyokongnya, dengan berkata, "Seorang ahli sihir, atau seorang yang dirasuk!"

51:52. Begitulah, tiada seorang Rasul datang kepada orang-orang sebelum mereka, melainkan mereka berkata, "Seorang ahli sihir, atau seorang yang dirasuk!"

52:29. Maka ingatkanlah! Dengan rahmat Pemelihara kamu, kamu bukanlah seorang tukang tilik, dan bukan juga seorang yang dirasuk.

54:9. Kaum Nuh telah dustakan sebelum mereka; mereka dustakan hamba Kami, dan berkata, "Seorang yang dirasuk!" Dan dia dicegah.

68:2. Kamu bukanlah, dengan rahmat Pemelihara kamu, seorang yang dirasuk.

68:51. Orang-orang tidak percaya hampir menggelincirkan kamu dengan pandangan mereka, apabila mereka dengar Peringatan, dan mereka berkata, “Sesungguhnya dia orang yang dirasuk!”

81:22. Teman kamu bukanlah orang yang dirasuk.

Salamun alaikum,

Terima kasih kepada Hanidew kerana sudi menulis, bertanya, dan menyenaraikan ayat-ayat al-Qur'an mengandungi perkataan rasuk.

Perkataan tersebut adalah terjemahan kepada kalimat majnun yang terbit dari janna. Janna pula bermaksud menutupi dan satu-satunya ayat mengandunginya berbunyi,

"Apabila malam menutupi di atasnya, dia (Ibrahim) lihat satu bintang dan berkata, 'Ini Pemeliharaku.' Tetapi apabila ia terbenam, dia berkata, 'Aku tidak suka yang terbenam.'" (6:76)

Satu lagi kata terbitan bagi janna ialah jann, bermaksud jin. Ia merupakan satu daripada tiga kalimat yang apabila diterjemah jadi jin. Sila lihat Kalimat Jin di dalam al-Qur'an

Justeru, dalam kerasukan terdapat unsur menutupi dan pengaruh jin. Lantas orang-orang yang dirasuk didapati tidak sedarkan diri sambil melakukan sesuatu di luar kemampuan.

Percaya kepada kerasukan boleh dikatakan dapat dikesan di seluruh pelusuk dunia. Di kalangan masyarakat paling maju atau moden pun kepercayaan tersebut difahamkan hadir di sesetengah golongannya pada hari ini.

Manusia sudah lama mempercayai kerasukan. Daripada ayat-ayat al-Qur'an yang telah disenaraikan dapat diketahui bahawa ia dipercayai sejak zaman Nabi Nuh lagi apabila baginda telah dikatakan dirasuk. Nabi Musa dan Nabi Muhammad juga diterangkan sebagai orang-orang dirasuk. Malah, semua Rasul telah agak dirasuk sesuatu oleh kaum mereka.

Orang-orang dikatakan dirasuk, seperti disebut di dalam al-Qur'an, adalah para Rasul iaitu mereka yang sampaikan ayat-ayat Allah! Di samping itu mereka dikaitkan pula dengan ahli sihir atau tukang tilik.

Ia berbeza dengan kerasukan dalam masyarakat Melayu, di mana orang-orang dirasuk tidak sampaikan ayat-ayat Allah, tetapi bercakap yang bukan-bukan, serta berada dalam keadaan sakit, termasuk sakit jiwa, dan sama dengan al-Qur'an pula, terdapat unsur ilmu hitam, umpamanya sihir dan menilik, dilakukan oleh bomoh yang merawat.

Selain dirasuk, para Rasul turut dilihat sebagai orang-orang kena sihir. Empat contoh ayat mengenainya diturunkan di bawah:

"Kami sangat-sangat tahu bagaimana mereka mendengarkannya, apabila mereka mendengarkan kamu, dan apabila mereka berbicara rahsia, apabila orang-orang zalim berkata, 'Kamu hanyalah ikut seorang lelaki yang kena sihir.'" (17:47)

"dan Firaun berkata kepadanya, 'Wahai Musa, aku sangka kamu orang yang kena sihir.'" (17:101)

"Mereka berkata, 'Kamu (Salleh) hanyalah antara orang-orang yang kena sihir,'" (26:153).

"Mereka berkata, 'Kamu (Shuaib) hanyalah antara orang-orang yang kena sihir,'" (26:185).

Begitu juga keadaan orang-orang dikatakan dirasuk dalam masyarakat di sini, mereka kelihatan bagai kena sihir.

Rasuk atau sihir dikaitkan dengan makhluk ghaib, jin dan syaitan. Mengenai jin, ia didapati mempunyai kuasa luar biasa, sebagaimana disebut di dalam ayat berbunyi,

"Ifrit, daripada jin, berkata, 'Saya akan datangkannya kepada kamu sebelum kamu berdiri dari tempat kamu; saya mempunyai kekuatan untuknya, dan saya dipercayai.'" (27:39)

Ifrit mengatakan dia mampu mendatangkan singgahsana Ratu Sabak dari negerinya dan letak ia di hadapan Nabi Sulaiman (di Babil) sebelum baginda bangun dari tempat duduk.

Pengaruh jin pada orang-orang dirasuk dapat dilihat apabila mereka mampu lakukan sesuatu di luar kebolehan mereka, misalan menari, melompat, menjerit, mengilai, atau bercakap dalam bahasa asing.

Golongan jin juga difahamkan buat bisikan jahat ke dalam dada manusia. Firman Tuhan,

"Daripada kejahatan pembisik yang menyelinap,
Yang membisikkan di dalam dada manusia,
Daripada jin dan manusia." (114:4-6)

Kadang kala, orang-orang dirasuk dikatakan kena buat oleh orang lain. Lalu terbit perbuatan menuduh tanpa sebarang bukti. Demikianlah satu contoh bisikan jahat daripada jin dalam kes kerasukan.

Sementara golongan syaitan pula, daripada al-Qur'an, mereka didapati mengajar manusia ilmu sihir, dan bagaimana mereka boleh pecahkan seorang lelaki dan isterinya. Al-Qur'an menjelaskan,

"Dan mereka ikut apa yang syaitan-syaitan bacakan semasa kerajaan Sulaiman. Sulaiman bukan tidak percaya (kafir) tetapi syaitan-syaitanlah yang tidak percaya, dengan mengajar manusia sihir, ..... mereka belajar bagaimana mereka boleh pecahkan seorang lelaki dan isterinya," (2:102)

Ilmu sihir memang wujud dalam kepercayaan kerasukan orang Melayu. Contoh, benda seperti jarum, dan sebagainya, yang dikeluarkan oleh bomoh daripada tubuh orang-orang dirasuk.

Atas perbuatan syaitan mengenai lelaki dan isterinya pula, contohnya ialah keretakan sebuah rumah tangga, setelah suami berbaik-baik dengan bomoh yang merawat isterinya yang sakit (penyakit isterinya mampu dirawat oleh doktor). Keretakan jadi serius apabila suami berkahwin seorang perempuan lebih muda dan tinggalkan isteri pertama.

Melencong sekejap untuk menyentuh mengenai sihir. Al-Qur'an menjelaskan, sihir adalah perbuatan yang menyihir mata-mata manusia, dan ia boleh menimbulkan perasaan takut. Ayat-ayat berkaitan adalah:

"Dia (Musa) berkata, 'Lemparlah kamu.' Dan apabila mereka (ahli-ahli sihir) melempar, mereka menyihir mata-mata manusia, dan menjadikan takut pada mereka, dan datangkan sihir yang besar." (7:116)

"Berkata, 'Tidak, kamu lemparlah!' Dan tiba-tiba ia, seolah-olah nampak kepadanya, daripada sihir mereka, tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka merayap," (20:66).

Itu kisah Nabi Musa dengan ahli-ahli sihir Firaun, di mana tongkat-tongkat dan tali-tali, pada pandangan mata, jadi ular-ular yang merayap.

Balik kepada bicara mengenai syaitan. Makhluk ini menakut-nakutkan manusia. Lantaran itu, Allah mengingatkan supaya jangan takut kepada mereka tetapi takut kepada-Nya dan jadi orang-orang mukmin (yang percayai ayat-ayat-Nya). Firman Allah,

"Itu adalah syaitan yang menakut-nakutkan sahabat-sahabatnya, maka jangan takut pada mereka, tetapi kamu takutilah Aku, jika kamu orang-orang mukmin." (3:175)

Syaitan menggoda manusia hingga jadi bingung. Mereka diutus kepada orang-orang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah untuk menyucuk sesuatu yang tidak baik. Sila lihat dua ayat di bawah:

"Seperti orang yang digoda hingga kebingungan di bumi oleh syaitan-syaitan," (6:71)

"Tidakkah kamu lihat bagaimana Kami utus syaitan-syaitan terhadap orang-orang tidak percaya untuk menyucuk mereka, dengan cucukan?" (19:83)

Suami yang isterinya sakit tadi telah digoda dan dicucuk hingga berkahwin baru. Sementara isterinya, semasa sakit dalam tempoh agak panjang, timbul perasaan benci terhadap suami hingga enggan melihat mukanya. Keadaan dia seolah-olah dirasuk. Bomoh yang mereka percayai mengiakannya pula. Tapi sebab sebenar ialah si suami selalu balik lambat kerana melayan orang lain termasuk perempuan-perempuan.

Syaitan akan masuk ke dalam khayalan manusia, ketika manusia memikirkan sesuatu tidak berguna. Ayat yang menjelaskan berbunyi,

"apabila dia berkhayal, syaitan lemparkan ke dalam khayalannya;" (22:52)

Kedua-dua suami isteri tadi telah dimasuk syaitan dalam fikiran atau khayalan mereka yang berlainan.

Sebuah lagi kisah benar. Kali ini menyentuh kejadian di sebuah sekolah. Seorang pelajar perempuan dengan tidak semena-mena, pada suatu pagi, menjerit-jerit. Lalu diikuti pelajar-pelajar lain dari kelas yang sama mahupun kelas-kelas lain. Berpuluh pelajar telah menjerit-jerit dan tidak sedarkan diri. Peristiwa itu juga menyebabkan sesetengah pelajar ternampak-nampak lembaga di tandas. Ada pula yang naik hantu. Sekolah ditutup setiap kali kejadian histeria berlaku. 

Maka beberapa orang bomoh dipanggil. Selain daripada mentera, jampi, bacaan Ya Sin dan beberapa surah lain yang pendek, sembahyang hajat turut dianjurkan. Keadaan jadi sedia kala setelah pelajar berkenaan tidak dibenarkan hadir di sekolah sehingga sembuh.

Tidak lama kemudian sebuah berita mengenai pelajar tersebut disiarkan. Iaitu dia didapati mengandung apabila diperiksa seorang doktor. Doktor, bukan bomoh, yang menyelesaikan masalah di sekolah berkenaan akibat perbuatan syaitan.

Syaitan adalah daripada golongan jin dan manusia. Firman-Nya,

"syaitan-syaitan daripada manusia dan jin," (6:112)

Justeru, apa yang agak dilakukan oleh jin tadi adalah sebenarnya perbuatan syaitan. Dan bomoh yang melakukan sihir ialah satu contoh syaitan jenis manusia. Mereka tidak harus didampingi kerana mereka, pada hakikatnya, tidak beruntung. Firman bermaksud,

"ahli-ahli sihir tidak beruntung." (10:77)

Besar kemungkinan bomoh akan menggunakan makhluk jin dalam rawatannya. Dalam hal ini, teringat satu peringatan daripada Allah berbunyi,

"Tetapi ada lelaki-lelaki tertentu daripada manusia yang meminta perlindungan kepada lelaki-lelaki tertentu daripada jin, dan mereka menambahkan mereka dalam kekejian," (72:6)

Pertolongan atau perlindungan daripada jin hanya menambahkan dalam kekejian. Tidak pula disebut di situ sama ada ia jin islam atau kafir. Apapun, islam atau kafir, hanya Allah yang tahu. Peringatan Allah selanjutnya mengenai hubungan manusia dengan jin berbunyi,

"Dan orang-orang tidak percaya berkata, 'Wahai Pemelihara kami, perlihatkan kepada kami mereka yang sesatkan kami, kedua-dua jin dan manusia, dan kami akan letak mereka di bawah kaki kami supaya mereka jadi antara orang-orang yang lebih rendah.'" (41:29)

Pada hemat kami, bagi orang-orang yang kelihatan dirasuk harus dapat rawatan daripada doktor, atau ahli psikologi, atau psikiatri. Dan, harus sabar dengan mereka kerana rawatan mungkin memakan masa.

Mungkin ada orang menyebut mengenai Nabi Ayub yang disentuh syaitan. Jika begitu, kini diturunkan ayat-ayat bersabit:

"Dan ingatlah akan hamba Kami, Ayub; apabila dia panggil Pemeliharanya, 'Sesungguhnya syaitan menyentuhku dengan keletihan dan azab.'
'Hentakkanlah kaki kamu! Ini adalah satu tempat mandi yang dingin, dan satu minuman.'
Dan kami beri dia keluarganya, dan yang serupa dengan mereka bersama mereka sebagai satu pengasihan daripada Kami, dan peringatan, bagi orang-orang empunya minda.
Dan, 'Ambillah di tangan kamu seikat rumput, dan pukullah dengannya, dan janganlah melanggar sumpah kamu.' Sesungguhnya Kami dapati dia seorang yang sabar. Seorang hamba yang sangat baik! Sesungguhnya dia orang yang kembali." (38:41-44)

Ayat-ayat tidak menunjukkan bahawa Nabi Ayub dirasuk. Cuma disentuh syaitan sahaja. Mungkin baginda telah buat suatu kesilapan terhadap Allah, seperti tidak menepati sumpah, akibat sentuhan syaitan, serupa penggodaannya terhadap Adam dan isteri. Lalu, macam Adam dan isteri, baginda dihukum, bukan dengan dibuang negeri tetapi dengan keletihan, kesakitan, dan kehilangan ahli keluarga.

Yang menarik perhatian ialah air dari bumi untuk baginda mandi dan minum supaya menyembuhkan sentuhan syaitan.

Terapi air bagi sesetengah jenis perubatan atau rawatan adalah satu cara dalam proses penyembuhan. Al-Qur'an ada menyebut lagi mengenai air, iaitu air dari langit, untuk menghilangkan kecemaran syaitan. Ayat berbunyi,

"Apabila menjadikan tidur nyenyak menutupi kamu sebagai keamanan daripada-Nya, dan turunkan kepada kamu air dari langit untuk bersihkan kamu dengannya, dan untuk hilangkan daripada kamu kecemaran syaitan, dan untuk kuatkan hati kamu, dan untuk teguhkan kaki kamu dengannya." (8:11)

Konteks ayat ialah semasa perang. Pun begitu, mungkin kandungannya mengenai air dan tidur nyenyak boleh dipakai untuk rawatan bagi menghilangkan kecemaran syaitan. Tentang air dari langit adalah dirasakan tidak begitu perlu menadah air hujan kerana air paip pun dari langit juga.

Rawatan harus saintifik. Bukan dengan jampi, walaupun menjampi dengan melafaz ayat-ayat al-Qur'an. Kerana Allah tidak merestui orang-orang yang menjampi. Iktibar diambil daripada ayat berbunyi,

"Dan dikatakan, 'Siapakah dia penjampi?'" (75:27)

Golongan manusia yang kerap dilanda kerasukan adalah mereka yang mempercayainya lebih daripada percaya Allah dan kuasa-Nya. Mereka takut kepada syaitan lebih daripada menakuti Allah. Mulut mereka tidak sunyi menyebut mengenai rasuk, buatan orang, dan seumpamanya, terutama apabila sesuatu berlaku kepada ahli keluarga atau kenalan. Sebutan jadi basahan lalu mudah bagi syaitan jenis jin dan manusia mengambil kesempatan.

Kerasukan berlaku hanya dengan izin Allah. Maka kepada-Nya dipohon perlindungan, iaitu perlindungan daripada syaitan. Lafaz yang diajar-Nya ialah:

"Wahai Pemeliharaku, aku berlindung pada Engkau daripada cadangan-cadangan jahat syaitan-syaitan,
Dan aku berlindung pada Engkau, wahai Pemeliharaku, daripada mereka hadir padaku.'" (23:97-98)

Perlindungan yang dipohon adalah daripada cadangan-cadangan jahat syaitan-syaitan, dan daripada mereka hadir pada diri si pemohon.

Dua surah al-Qur'an terakhir turut mengandungi permohonan perlindungan daripada Allah. Tentang perlindungan yang dipohon adalah jelas disebut di dalamnya. Mereka berbunyi,

"Aku berlindung pada Pemelihara yang membelahkan (pada waktu dinihari),
Daripada kejahatan apa yang Dia cipta,
Daripada kejahatan kegelapan apabila ia gelap,
Daripada kejahatan orang (perempuan) yang meniup pada ikatan,
Daripada kejahatan pendengki apabila dia dengki." (113:1-5)

"Aku berlindung pada Pemelihara manusia,
Raja manusia,
Tuhan manusia,
Daripada kejahatan pembisik yang menyelinap,
Yang membisikkan di dalam dada manusia,
Daripada jin dan manusia." (114:1-6)

Namun begitu, perlindungan yang paling baik ialah percaya kepada ayat-ayat Allah yang terkandung di dalam al-Qur'an, serta mengamalkannya, supaya Dia tidak utus syaitan-syaitan kepada kita. 

Dengan peringatan itu bicara mengenai rasuk dan penyembuhnya berakhir, dan penulis sedia dibetulkan.

Terima kasih. Salam.

23 Jun 2007

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman