Berita Utama Akhbar (1)
Laman web pujuk remaja antihadis

 

From: damat
To: "Pengurus Laman" <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Pendedahan laman e-bacaan dalam Harian Metro
Date: Tuesday, January 17, 2006 6:59 PM

Salamun alaikum,

Berikut adalah berita dipetik dari Harian Metro bertarikh 17hb January, 2006.

Start:

Edisi Tengah:
Laman web pujuk remaja antihadis
Oleh Ahmad Nazri Mohamad dan Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

SEREMBAN: Gerakan antihadis dipercayai melancarkan gerak gempur bagi mempengaruhi belia dan remaja dengan mewujudkan laman web bagi menyebarkan kepercayaan, amalan dan pemikiran berlandaskan al-Quran semata-mata.

Laman web berkenaan itu adalah kesinambungan bagi penyebaran buku terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu tanpa rujukan bahasa Arab bertajuk, ‘Bacaan’ hasil tulisan Othman Ali yang diharamkan kerajaan pada 22 Julai 1995.

Golongan antihadis itu dipercayai menyebarkan fahaman mereka melalui internet selepas Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) menyenaraikan kumpulan antihadis sebagai ajaran sesat ke-36 daripada 56 ajaran yang diwartakan.

Penyelaras Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Nordin, berkata pihaknya mengesan aktiviti golongan itu yang boleh beri kesan tidak baik kepada generasi muda.

Beliau berkata, walaupun setakat ini PPIM belum menerima laporan secara rasmi daripada mana-mana individu yang mungkin sudah jadi ahli kumpulan itu, pihaknya mengesan aktiviti kumpulan berkenaan berdasarkan laman webnya www.*-*****.com.

“Kami bimbang laman web ini akan dijadikan sebagai rujukan oleh pelayar internet terutama golongan pelajar yang ingin mendalami Islam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, orang ramai terutama ibu bapa perlu berhati-hati dengan mengawasi anak remaja masing-masing bagi mengelak mereka terjebak dalam fahaman kumpulan ini yang dipercayai boleh menjejaskan pegangan dan akidah seseorang.

“Kita juga berharap jabatan agama Islam dapat mengawasi aktiviti atau gerakan kumpulan seperti ini sebelum ia berjaya menarik lebih ramai ahli terutama di kalangan belia dan remaja,” katanya.

`Bacaan’ yang diterbitkan di Singapura mula diedarkan kepada orang ramai dalam mesyuarat penubuhan Jemaah al-Quran Malaysia (JAM) yang dipelopori Dr Kassim Ahmad pada Jun tahun sama.

Buku itu diharamkan kerajaan kerana terjemahannya tidak disertakan dengan ayat asal dalam bahasa Arab dan perkataan al-Quran itu sendiri diterjemahkan sebagai `Bacaan’.

Pada muka utama laman web yang dilancarkan pada 1 April 2002 itu, moderatornya turut beri amaran bahawa;

“Sekiranya anda berasa tidak senang hati dengan penulisan berteraskan ajaran al-Quran, yang mungkin didapati bertentangan dengan ajaran sesetengah ulama anda, maka tinggalkan sahaja laman ini.

“Tidak perlu menulis atau bertindak untuk mengecam, menghina atau khianati kerana perbuatan serupa itu hanya memudaratkan diri anda sendiri.”

Laman web yang menggunakan slogan `Satu Tuhan Satu Kitab Satu Umat’ itu mengandungi ruangan `Bacaan’ atau terjemahan kepada al-Quran dalam bahasa Melayu, Artikel, Kalimat Pilihan, Keratan Akhbar, Sudut Pelajar, Soalan Lazim, Hiasan, Penemuan dan artikel berbahasa Inggeris.

Kebanyakan kandungan artikelnya lebih cenderung kepada rujukan terus kepada hukum dalam ayat al-Quran tanpa ambil kira hadis dan sunnah nabi, yang jadi kecenderungan gerakan antihadis.

Moderator laman web itu juga sediakan khidmat muat turun `Bacaan’ untuk kegunaan PC poket, PDA atau Palm selain menggalakkan pengunjung laman web beri sumbangan penulisan. 

End ---

Harap tuan berhati-hati. Semoga Allah melindungi orang-orang yang beriman kepada-Nya.

Salam.


Salamun alaikum,

Terima kasih atas kiriman berita yang kami tidak tahu kerana pergi bercuti selama beberapa hari. Hanya tahu mengenainya setelah kembali dan membaca surat saudara di atas pada 20 Januari. Kalau pun tidak pergi bercuti kami mungkin tidak tahu juga (tapi tidak selama itu) sebab tidak melanggan mahupun membaca akhbar tersebut.

Terima kasih juga atas nasihat yang diberi. Memang benar berita seperti itu akan menimbulkan kesusahan walaupun pihak-pihak tertentu didapati bersikap terbuka dan toleran terhadap kepercayaan orang-orang lain, terutamanya orang-orang yang percaya kepada ayat-ayat Allah.

Apapun, kepada Allah kembali semua perkara untuk diadili, dan kami berharap pihak-pihak berkenaan akan sabar sambil melihat pada terjemahan ayat-ayat al-Qur'an, ayat-ayat Allah, yang kami guna sebagai alasan atau bukti dalam semua hujah kami.

Berita tersebut boleh menyebabkan kami menutup laman web ini. Sebenarnya, kami telah pun beberapa kali memikirkan untuk menutupnya kerana tidak lagi sanggup melihat orang-orang memarahi ayat-ayat Tuhan dan berlaku sombong terhadapnya. Akan tetapi, setelah menerima beberapa maklumat balas daripada orang-orang yang ingin mengetahui dan ikut ajaran al-Qur'an maka kami teruskan demi kesejahteraan bangsa, negara dan nama baik Islam.


[Sila baca Berita Utama Akhbar (2)
dan Berita Utama Akhbar (3).
Terima kasih.]


21 Januari 2006


Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman