Solat Orang Bisu
(Ayat-ayat Allah
dipersendakan)
Seorang pengunjung menulis dua pucuk e-mel atas perkara yang tidak ditulis tetapi sama. Di bawah adalah yang pertama:
From: sepiaa04@yahoo.com
To: "Pengurus Laman" <e_bacaan@yahoo.com>
Subject:
Date: Saturday, December 10, 2005 7:02 AM1. Bacaan dalam solat suara perlu jelas, bagaimana pula dengan orang bisu.
Dan kedua, yang kandungan dihiasinya dengan warna, seperti berikut:
From: sepiaa04@yahoo.com>
To: "Pengurus Laman" <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Re:
Date: Sunday, December 11, 2005 5:45 PM"Jika Quran 17:110 mengatakan suara hendaklah sederhana dalam solat. Maka solat yang tanpa suara dan bisu itu bukanlah dari ajaran Quran, adakah kita setuju". Tanya ku pada mereka.
Salamun alaikum,
Soalan daripada e-mail pertama nampak munasabah, namun dirasakan ada sesuatu yang tidak kena. Lalu ia dijawab, tetapi bukan seperti yang ditulis di sini, semata-mata untuk mengetahui siapa penulisnya yang sebenar.
Jawapan tersebut dibalas dengan e-melnya yang kedua. Daripadanya dapat difahamkan bahawa pengirim merupakan seorang yang sungguh berani menyatakan terdapat kecacatan pada al-Qur'an. Dan perbuatan itu pula, dengan angkuhnya, ingin dinampakkan kepada orang ramai melalui laman web ini. Keinginannya disempurnakan di sini.
Tidak mungkin dia seorang daripada orang-orang yang berpegang pada al-Qur'an kerana, dalam keislaman mereka, mereka tidak akan berkata atau menyoal seperti dia. Mereka menganggap perbuatan seperti itu tidak sopan sebab ia berbau mempersendakan ayat-ayat Tuhan.
Justeru, pengirim e-mel disyaki seorang yang bukan Islam, penganut suatu agama lain yang sejak kebelakangan ini sangat giat memperolok-olokkan kitab al-Qur'an dan Islam.
Atau, besar kemungkinan, dia seorang yang mengaku Islam, tetapi daripada golongan yang terpisah daripada Kitab al-Qur'an, atau ajaran Allah, untuk ikut kitab-kitab lain yang bertentangan, ditulis oleh bukan Nabi atau Rasul.
Selanjutnya, soalan dia mengingatkan kami akan satu peristiwa dengan seorang pandai daripada golongan yang sama. Tatkala berbincang mengenai wuduk ajaran al-Qur'an dengannya, dan menyebut bahawa amalan itu harus dilakukan dengan air, jika ada air, tiba-tiba yang pandai agama itu bertanya, "Bagaimana pula dengan air kopi atau teh? Bolehkah berwuduk dengannya?"
Soalannya membeliakkan mata dan mengangakan mulut, tersentak, kerana tidak menduga seorang yang celik agama boleh mengaitkan air kopi atau teh dengan air untuk wuduk! (Tujuannya adalah untuk menunjukkan ajaran al-Qur'an tidak sempurna.)
Kepandaian hasil didikan kitab-kitab selain al-Qur'an tidak membuatnya sampai kepada pengetahuan, yang tidak tersembunyi di bahagian akhir ayat al-Qur'an mengenai wuduk, bahawa di dalamnya mengandungi perkataan 'bersihkan'. Sila lihat bahagian tersebut,
"Allah tidak hendak buat sebarang kesulitan bagi kamu, tetapi Dia hendak bersihkan kamu" (5:6).
Seperti itu kepandaian pengirim e-mel di atas. Ia tidak sampai kepada beberapa pengetahuan, misalan, orang-orang bisu pun keluarkan suara apabila bertutur. Lantaran, mereka dapat lakukan solat mengikut ajaran al-Qur'an.
Solat adalah untuk mengingati Allah - "lakukan solat untuk mengingati Aku" (20:14). Dan mengingati-Nya pula boleh dilakukan di dalam jiwa sahaja sebagaimana diperingatkan dengan ayat Allah bermaksud,
"Ingatlah akan Pemelihara kamu di dalam jiwa (diri) kamu, dengan rendah diri, dan rasa takut" (7:205).
Oleh yang demikian, orang-orang yang tidak dapat keluarkan suara atas sebab-sebab tertentu, contoh sakit atau cacat, harus lakukan solat dengan bacaan dilakukan di dalam diri, atau di dalam hati sahaja.
Malah, ayat yang disebut di dalam e-mel kedua tidak memaksa supaya solat dilakukan dengan suara yang sederhana. Kalau terpaksa mendiamkannya haruslah buat demikian. Ayat yang dimaksudkan berbunyi,
"Katakanlah, 'Serulah Allah, atau serulah Yang Pemurah; apa sahaja yang kamu seru, bagi-Nya nama-nama paling baik.' Dan jangan kamu lantangkan dalam solat kamu, dan jangan juga mendiamkannya, tetapi carilah kamu satu jalan di antara yang demikian itu." (17:110)
Frasa di hujung ayat mohon direnung sekali lagi, iaitu "carilah kamu satu jalan di antara yang demikian itu." Jelas bahawa Allah menyuruh mencari jalan. Bagi orang-orang yang tidak jumpa jalannya, seperti dicontohkan tadi, maka mereka, secara lojik, akan lakukan solat dengan suara yang diam.
Soalan penulis e-mel di atas letakkannya sekelas dengan orang pandai agama yang mengaitkan wuduk dengan air kopi dan teh tadi. Soalan mereka disangka amat bijak tetapi malang sekali terletak sangat jauh dari itu. Mungkin begitu caranya minda orang-orang yang mempersendakan ayat-ayat Allah dibengkokkan. Antara ayat-ayat yang dipersendakan adalah yang menjelaskan al-Qur'an itu sempurna atau terperinci, seperti tiga di bawah ini:
"Kami tidak alpakan sesuatu di dalam al-Kitab" (6:38).
"Telah sempurna kata-kata Pemelihara kamu dalam kebenaran dan keadilan; tiada yang boleh tukar kata-kata-Nya; Dia Yang Mendengar, Yang Mengetahui." (6:115)
"Dan Kami
turunkan kepada kamu al-Kitab, penjelasan bagi segala sesuatu, dan petunjuk"
(16:89).
Kerana tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, kitab-kitab lain jadi pegangan utama, selain al-Qur'an, dalam keislaman mereka. Lantas, mereka menjadi orang-orang yang buat kesilapan besar lagi berat. Satu daripada beberapa cara untuk menjauhkannya adalah dengan doa yang diajar Allah berbunyi,
"Aku berlindung pada Allah daripada aku jadi antara orang-orang bodoh." (2:67)
Semoga dengan doa tersebut Allah membuka hati untuk berusaha memahami dan ikut ajaran Tuhan yang terkandung di dalam al-Qur'an, iaitu satu-satunya Kitab yang dibawa oleh Nabi atau Rasul sebenar.
26 Disember 2005
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
Senarai Penulis English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman