Bersahabat baik dengan rakan Kristian
From: azbad
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: Bersahabat baik dengan 5:51...?
Date: Monday, August 01, 2005 11:32 AM
Salamun alaikum,Salam sejahtera dan rahmat Allah untuk saudara serta seisi keluarga.
Saudara,
Terlebih dahulu ingin saya memohon kema'afan kerana tidak pandai/mahir menyusun kata-kata. Justeru itu, eloklah rasanya saya bawa perhatian saudara terus kepada ayatNya (yang diCopy&Paste dari BACAAN) yang telah buatkan fikiran saya agak tidak menentu kebelakangan ini (setelah betul-betul memahami ayat-ayatNya yang suci di dalam bahasa Melayu) kerana takut akan kemurkaanNya :
5:51. Wahai orang-orang yang percaya, janganlah ambil orang-orang Yahudi, dan orang-orang Kristian, sebagai wali (sahabat); mereka adalah wali-wali satu sama lain. Sesiapa antara kamu yang jadikan mereka sahabat-sahabatnya adalah daripada mereka. Sesungguhnya Allah tidak beri petunjuk kepada kaum yang zalim.
Untuk makluman saudara, saya mempunyai amat ramai sahabat baik/rapat dari kalangan orang-orang Kristian. Secara ikhlas, ALHAMDULILLAH, saya bersyukur kepadaNya kerana memelihara/melindungi saya dari apa-apa hasutan/niat (belum pernah ada) yang menyesatkan dari mereka. Sebaliknya, saya pula yang didapati seringkali (dengan izinNya) bersembang/bercakap tentang Islam yang SEBENAR (di mana 'Satu Tuhan, Satu Kitab, Satu Umat' saya ambil sebagai motto) bila saja berkesempatan dalam situasi yang harmoni.
Pohon pandangan saudara di dalam hal yang tersebut (memandangkan kita tinggal di Malaysia). Saya tidak mahu jadi kaum yang zalim; juga amat takut akan AzabNya.
Terima kasih saya dahului.
Salam.
Salamun alaikum,
Terima kasih. Harapan kami yang sama ke atas seisi keluarga pengirim e-mail kami rakamkan di sini. Dan kepada semua pembaca.
Terima kasih juga atas kesudian untuk berkongsi pengalaman, iaitu pengalaman bersahabat baik dengan rakan-rakan beragama Kristian. Pengalaman manis dengan mereka amat difahami kerana kami pun pernah mengalaminya. Kemesraan daripada mereka telah disebut oleh Allah di dalam ayat berbunyi,
"sungguh kamu dapati mereka yang paling dekat dalam kasih sayang terhadap orang-orang yang percaya ialah orang-orang yang berkata, 'Kami adalah orang-orang Kristian'; itu adalah kerana sebahagian mereka adalah paderi-paderi dan rahib-rahib, dan mereka tidak sombong." (5:82)
Kemesraan turut dirasai oleh pengirim e-mail semasa berbincang mengenai agama dengan rakan-rakannya yang tersebut. Izinkan kami mencelah di sini untuk ceritakan sedikit pengalaman kami semasa berbincang perkara yang sama dengan rakan-rakan kami beragama Kristian.
Kami meringkaskan cerita dengan menyebut dua orang rakan dengan dua pendekatan mereka yang berbeza. Rakan yang pertama asyik ceritakan kebenaraan agamanya sahaja, sementara yang kedua, ambil sikap serang dengan mencerca Islam.
Oleh kerana kedua-duanya didapati tidak begitu mengetahui kandungan Bible (seperti kebanyakan orang Islam tidak tahu kandungan al-Qur'an) maka hujah-hujah kami yang berlandaskan kandungan kitab mereka telah memeranjatkan mereka. Kami tunjukkan ayat-ayat yang mereka tidak ikut, dan yang mengandungi cerita-cerita "tidak senonoh". Hujah-hujah kami tentu menyakitkan telinga apabila mereka mendengarnya, dan pahit apabila mereka menelannya. Namun, mereka menerimanya dengan sabar, sedikit bantahan, dan banyak berdiam diri.
Kami sangka selepas itu mereka akan ambil sikap bermusuhan terhadap kami, tetapi tidak, kerana pada keesokan paginya, ketika bertemu di tempat perakam waktu, merekalah yang pertama melemparkan senyuman dan beri salam hormat. Ada juga yang mempelawa pergi breakfast. Lalu persahabtan dan perbincangan yang mesra diteruskan dengan tanpa menyimpan sebarang dendam. Sungguh, sikap mereka kami kagumi.
Cerita kami berhenti di situ untuk kembali kepada kandungan e-mail di atas. Untuk itu, diturunkan di bawah ayat yang telah buat fikiran pengirim tidak menentu kerana bersahabat baik dengan rakan-rakannya yang beragama Kristian:
"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah ambil orang-orang Yahudi, dan orang-orang Kristian, sebagai wali (sahabat); mereka adalah wali-wali satu sama lain. Sesiapa antara kamu yang jadikan mereka sahabat-sahabatnya adalah daripada mereka. Sesungguhnya Allah tidak beri petunjuk kepada kaum yang zalim." (5:51)
Kami rasa saudara pengirim tidak akan jadi seperti mereka. Kerana pengirim, sebaliknya, terbukti sedang mencuba jadikan mereka seperti dia. Maka, pada hemat kami, saudara pengirim tidak terdiri daripada kaum yang zalim.
Persahabatan yang dimaksudkan di dalam ayat tadi adalah yang buat orang-orang yang percaya (beriman) jadi seperti orang-orang Yahudi dan Kristian, dalam perlakuan atau kepercayaan. Persahabatan itu selanjutnya tentu akan terbalikkan mereka (yang percaya) untuk menjadi musuh kepada orang-orang lain yang percaya pula.
Orang-orang Kristian yang berniat demikian berbeza dengan mereka yang disebut di dalam ayat pertama kami turunkan di atas (5:82). Mereka juga berbeza dengan mereka yang disebut di dalam ayat berbunyi,
"Sesungguhnya orang-orang yang percaya, dan orang-orang Yahudi, dan Kristian, dan Sabiin, sesiapa percaya kepada Allah dan Hari Akhir, dan buat kerja-kerja baik , maka upah mereka adalah di sisi Pemelihara mereka, dan tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih." (2:62)
Mungkin sebab Allah melarang bersahabat dengan mereka kerana, secara am, mereka tidak akan berpuas hati selagi kita tidak ikut anutan mereka. Demikianlah dimaklumkan oleh Allah di dalam ayat yang berikut,
"Dan tidaklah orang-orang Yahudi akan berpuas hati dengan kamu, dan tidak juga orang-orang Kristian, sehingga kamu ikut anutan mereka. Katakanlah, 'Petunjuk Allah ialah petunjuk yang benar.' Jika kamu ikut keinginan mereka setelah pengetahuan yang datang kepada kamu, maka kamu tidak akan ada, terhadap Allah, wali (pelindung) dan tiada juga penolong." (2:120)
Allah berkata benar! Maka berhati-hatilah.
2 Ogos 2005
Halaman Utama
Terkini Perpustakaan
Artikel Bacaan
E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
Senarai Penulis English
Articles
Tulis kepada Pengurus
Laman