Struktur Rumah Islam

 

From: "zalico"
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Cc: <ezyann2o6@yahoo.com>
Subject: penginapan dalam islam
Date: Saturday, July 23, 2005 5:02 PM

assalamualaikum...
saya ingin bertanya pendapat mengenai penginapan atau tempat tinggal dalam konteks islam. Penginapan yang halal di sisi agama islam. Struktur rumah yang harus di sisi agama dan cara mengunjungi rumah yang elok.


Salamun alaikum,

Terima kasih. Maaf kerana mengatakan iaitu pertanyaan tersebut dirasakan mengandungi sesuatu yang agak pelik. Sebab penghuni sesebuah rumah tidak akan ditanya mengenai struktur rumahnya, sama ada ia Islam atau tidak, pada Hari Kiamat. Allah tidak beri sebarang garis panduan atas pelan untuk mendirikan sesebuah rumah di dalam ajaran agama-Nya.

Pun begitu, terdapat sebuah rumah dalam Islam yang dinamakan-Nya al-Bait (2:125), al-Baitalharaam (5:2), Baitikalmuharraam (14:37), Baitiya (2:125), atau al-Baitil'atiiqi (22:29). Akan tetapi, Dia tidak pula menyuruh hamba-hamba-Nya ikut strukturnya dalam pembinaan sesebuah rumah. Namun, kalau ada orang yang ingin ikut strukturnya maka sudikanlah.

Mengenai soalan kedua, iaitu penginapan yang halal, kami merasakan ia menurut budi akal sahaja. Begitu juga dengan yang haram. Tempat kediaman yang diperolehi atau diduduki melalui cara yang salah adalah dilarang atau haram. Ini penting di sisi Allah kerana Dia tidak mengizinkan sesuatu yang salah. Apatah lagi bagi sesebuah rumah kediaman, kerana di dalamnyalah nama-Nya disebut, dan di situ juga Dia disanjung. Sila renungkan firman-Nya yang berikut,

"Di dalam rumah-rumah yang Allah izinkan untuk dinaikkan, dan nama-Nya disebut di dalamnya; di dalamnya menyanjung-Nya, pagi dan petang," (24:36).

Di dalam rumah juga dibacakan ayat-ayat al-Qur'an kepada penghuninya. Bacaan itu difahami dan diingati oleh mereka. Firman-Nya,

"Dan ingatlah apa yang dibacakan di dalam rumah-rumah kamu daripada ayat-ayat Allah, dan Kebijaksanaan; sesungguhnya Allah Halus, Menyedari." (33:34)

Justeru, sesebuah rumah kediaman haruslah yang halal, melalui pembelian atau dengan izin pihak tertentu.

Soalan ketiga dan terakhir adalah mengenai kesopanan apabila mengunjungi rumah-rumah. Terdapat beberapa ajaran Allah mengenainya. Pertama, rumah-rumah harus didatangi dari pintu depan. Firman-Nya,

"datangilah rumah-rumah dari pintu-pintunya (depan)," (2:189).

Kedua, masuksesebuah rumah adalah dengan izin, dan selepas itu, beri salam kepada penghuninya. Firman-Nya,

"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah masuk rumah-rumah selain daripada rumah kamu, sehingga kamu minta izin dahulu dan beri salam kepada penghuninya; itu lebih baik bagi kamu supaya kamu mengingati." (24:27)

Salam yang diajar Tuhan bukan seperti yang digunakan oleh pengirim surat di atas, tetapi berbunyi Salamun alaikum.

Seperkara lagi mengenai masuksesebuah rumah, mengikut ajaran Tuhan, ialah bahawa tidak salah jika rumah yang dimasuk itu tidak didiami oleh sesiapa jua asal saja di dalamnya ada sesuatu kesenangan bagi orang-orang yang masukinya. Firman Tuhan,

"Tidak salah ke atas kamu bahawa kamu masukrumah-rumah yang tidak didiami, yang di dalamnya ada kesenangan bagi kamu. Allah tahu apa yang kamu nampakkan, dan apa yang kamu sembunyikan." (24:29)

masuk sesebuah rumah adalah dengan tujuan tertentu. Untuk tujuan makan di dalamnya adalah tidak salah kalau rumah-rumah itu kepunyaan orang-orang yang disenaraikan di dalam ayat berikut:

"Tidak salah ke atas orang buta, dan tidak salah ke atas orang cacat, dan tidak salah ke atas orang sakit, dan tidak juga ke atas diri kamu sendiri, untuk kamu makan

tidak salah ke atas kamu untuk kamu makan beramai, atau secara berasingan. Apabila kamu masukrumah, berilah salam kepada diri-diri (sesama) kamu dengan salam hormat daripada Allah, yang diberkati dan baik. Begitulah Allah jelaskan kepada kamu ayat-ayat supaya kamu faham." (24:61)

Sekali lagi Tuhan mengingatkan tentang beri salam, iaitu yang menurut ajaran-Nya, yang harus disampaikan oleh pengunjung kepada orang-orang yang berada di rumah apabila dia masukinya.

Selanjutnya mengenai makan di rumah orang lain, satu pengajaran dapat diambil daripada ayat berikut, yang berkaitan dengan rumah Nabi pula. Rumah baginda juga dimasuk dengan izin, untuk makan, tanpa menanti-nanti akan masanya. Makan di rumah Nabi adalah setelah diundang, dan selepas makan, sebarang cerita yang ada untuk diceritakan haruslah dipendekkan. Firman-Nya,

"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah kamu masuk rumah-rumah Nabi, kecuali diizinkan kepada kamu untuk makan, tanpa menanti-nanti akan masanya. Tetapi jika kamu diseru (diundang), maka masuklah; dan apabila kamu sudah selesai makan, bertaburlah, dan jangan berpanjangan dalam hadis (percakapan); itu menyakiti Nabi, dan dia malu pada kamu; tetapi Allah tidak malu pada yang benar." (33:53)

Demikianlah sedikit sebanyak mengenai adab mengunjungi rumah orang lain.

Izinkan kami meneruskan huraian dengan beberapa perkara yang berbangkit mengenai rumah kediaman atau penginapan.

Rumah haruslah berada dalam keadaan selesa untuk didiami kerana ia merupakan sebuah tempat untuk berehat, selaras dengan firman-Nya yang bermaksud,

"Dan Allah buatkan satu tempat rehat bagi kamu daripada rumah-rumah kamu," (16:80).

Ia juga merupakan tempat perlindungan dan kediaman selanjutnya bagi isteri-isteri yang diceraikan. Mereka dilarang oleh Allah diusir daripada rumah-rumah mereka setelah diceraikan suami, seperti perintah Allah kepada Nabi berbunyi,

"Wahai Nabi, apabila kamu ceraikan perempuan-perempuan, maka ceraikan mereka apabila mereka sampai tempoh mereka. Hitunglah tempoh itu, dan takutilah Allah, Pemelihara kamu. Jangan keluarkan mereka dari rumah-rumah mereka, dan jangan juga biarkan mereka keluar, kecuali mereka lakukan kesumbangan yang nyata. Itu had-had (hudud) Allah; sesiapa mencabuli had-had Allah, dia menzalimi dirinya sendiri. Kamu tidak tahu mungkin setelah itu Allah adakan perkara yang baru." (65:1)

Selain jadi tempat perlindungan, seperti bagi para isteri yang disebut tadi, rumah-rumah tertentu jadi tempat untuk menunjukkan kemusliman seseorang apabila masukinya. Iktibar diambil daripada doa Nabi Nuh berbunyi,

"Wahai Pemeliharaku, ampunilah aku, dan ibu bapaku, dan sesiapa yang masuk rumahku sebagai seorang mukmin, dan orang-orang mukmin lelaki, dan orang-orang mukmin perempuan; dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang zalim, kecuali dalam kebinasaan!” (71:28)

Seterusnya didapati daripada al-Qur'an bahawa rumah kediaman pernah diperintah supaya berfungsi sebagai kiblat untuk solat. Kejadian itu berlaku tatkala Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya diancam oleh Firaun. Ayat berikut jelaskannya,

"Dan Kami wahyukan Musa dan saudaranya, 'Ambillah kamu untuk kaum kamu di Mesir, rumah-rumah tertentu, dan buat rumah-rumah kamu satu kiblat (haluan), dan lakukan solat, dan beri berita gembira kepada orang-orang mukmin.'" (10:87)

Kembali menyebut mengenai apa yang diterangkan sebagai struktur rumah Islam. Struktur rumah tidak menunjukkan peghuninya muslim atau bukan muslim. Kerana terdapat bukan sahaja rumah malah gereja pun mempunyai struktur atau seni bina yang dikatakan Islam dewasa ini. Masjid juga ada yang tidak mempunyai seni bina Islam tetapi mengikut seni bina sesuatu bangsa yang bukan Moor atau Arab. Maka struktur dan seni bina tidak ada kaitan dengan keimanan dalam Islam.

Hiasan di dalam rumah dengan ayat-ayat al-Qur'an tergantung di dinding, misalannya, juga tidak menunjukkan penghuni semestinya orang muslim yang sebenar.

Sementara bilangan rumah orang-orang yang benar-benar muslim pula mungkin tidak banyak, dan sukar dikenali pula melalui strukturnya, sebab ramai orang Islam duduk di rumah-rumah teres pada hari ini. Pada zaman Nabi Lut dahulu terdapat hanya sebuah sahaja rumah orang-orang muslim, seperti dinyatakan di dalam ayat berikut:

"Tetapi Kami tidak dapati di dalamnya kecuali sebuah rumah orang-orang yang muslim." (51:36)

Dan kami tidak pasti sama ada rumah tersebut berstruktur sama dengan rumah-rumah yang dimiliki orang-orang bukan Islam. Lazimnya, pada zaman purba dahulu struktur bagi tiap-tiap rumah adalah atau seakan sama.

Rumah dimiliki bukan sahaja di dunia. Di akhirat pun manusia miliki sebuah rumah untuk menjadi tempat kediaman. Isteri Firaun telah memohon sebuah rumah di Syurga kepada Allah. Permohonannya, di samping yang lain, berbunyi,

“Wahai Pemeliharaku, binalah untukku di sisi-Mu sebuah rumah di Taman, dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan amalannya, dan Engkau selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim.” (66:11)

Maka orang-orang muslim bersegera memohon untuk mendapatkan sebuah rumah di Taman (Syurga) kepada Tuhan, yang struktur atau struktur-strukturnya tentu berbentuk Islam jati, tetapi belum diketahui lagi rupanya.
 

26 Julai 2005


Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman