Kod 19

 

From: "miera z"
To: <e_bacaan@yahoo.com>
Subject: soalan
Date: Tuesday, November 11, 2003 11:34 PM

Salamun alaikum.

Saya ingin bertanya kepada saudara. Saya anggap saudara tentunya telah membaca terjemahan Quran Dr. Rashad Khalifa.

Pada pendapat saudara, apakah maksud alif lam mim (dan ayat-ayat yang seumpama dengannya)? Saya telah membaca terjemahan Dr. Rashad Khalifa dan beliau menyatakan ia ada kaitan dengan Kod 19 yang maksudnya dapat dibongkarkan dengan menggunakan komputer. Apa pandangan saudara? 

Adakah saudara mempunyai idea mengapa Allah turunkan sesuatu yang tidak dapat difahami oleh manusia (merujuk kepada alif lam mim tadi)?

Sekiranya dapat dibongkarkan pun, mungkin terdapat tafsiran berbeza-beza dan memecahbelahkan. Bagaimana kita hendak tahu yang manakah tafsiran yang benar? 

Saya membayangkan sekiranya Nabi Muhammad membaca kalimah tersebut dihadapan para pengikutnya, tidakkah mereka tertanya-tanya apakah maksud kalimah tersebut. Kalau mereka bertanya Nabi sekalipun, mungkin Nabi sendiri tidak tahu maksudnya.

Saya fikir, mestilah ada sebabnya ayat sebegitu diturunkan. Harap saudara dapat beri pendapat atau penjelasan.

Yang benar,
Miera, KL.

Salamun alaikum,

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk menulis kepada kami. Kami cuba tidak mensia-sia masa saudara dengan beri jawapan kepada soalan saudara dengan jujur.

Alif Lam Mim. Maksudnya kami tidak tahu. Itu tidak bermakna ia tidak mempunyai sebarang maksud. Dan, kami yakin, Tuhan tidak turunkan sesuatu yang manusia tidak akan faham selama-lamanya.

Alif Lam Mim adalah ayat jenis mutasyabihat. Orang yang hatinya menyimpang akan menginginkan interpretasinya, untuk ikutinya, dan untuk pertikaian antara manusia (3:7). Namun, demi ilmu, manusia terus mencari maksud ayat-ayat tersebut, kerana dalam ayat itu ada menyebut mengenai "orang-orang yang dalam dalam pengetahuan".

Sementara itu, kami mengalu-alukan segala usaha dan kajian untuk memahami ayat mutasyabihat, iaitu ayat Allah. Sekiranya kami tidak menerima, kami tidak melantangkan penolakan untuk menimbulkan pertikaian yang tidak akan habis, kerana percaya tiap-tiap individu mempunyai hak mencari ilmu daripada Kitab-Nya. Apatah lagi jika ia sesuatu yang saintifik. Kami dengar semua pendapat, dan ikut yang kami fikir paling baik. Kebebasan yang dikurniakan Allah itu amat kami sanjung.

Apabila Rashad mula menyebarkan hasil kajiannya (pada tahun 80an), dia telah disambut baik oleh dunia Islam. Kerana, dengan Kod 19, antara lain, mampu untuk meyakinkan orang bukan Islam bahawa Kitab itu datang dari Tuhan. Ahmad Deedat, seorang pendakwah Islam bertaraf antarabangsa, pada mulanya telah menggunakan kod 19 untuk meyakinkan, terutamanya orang Kristian, terhadap kedatangan al-Qur'an daripada Tuhan. Beliau didapati agak berjaya.

Akan tetapi, kami tidak begitu memerlukan kod 19 untuk menyakinkan orang bukan Islam bahawa Kitab al-Qur'an datang dari Tuhan.

Selain daripada itu, kod 19 dikatakan dapat mengekalkan ketulinan kandungan al-Qur'an. Seperti jumlah Alif Lam Mim dalam surah 2 boleh dibahagi dengan angka 19. Kalau tidak, tentu ada kesilapan dalam penulisan surah tersebut. Bilangan di situ amat banyak, yang tidak mampu dikira oleh manusia melainkan dengan bantuan komputer. Yang boleh dikira tanpa bantuan komputer adalah apa yang tercatat pada surah yang pendek, seperti Qaf (Surah 50). Kononnya jumlah huruf qaf di situ boleh dibahagi dengan angka 19.

Dunia Islam menolak kod 19 setelah Rashad dapati, melalui kod tersebut, bahawa hadis tidak boleh dipakai dalam Islam.

Ayat mutasyabihat, bersama ayat lain, diturunkan supaya manusia mengkajinya. Mereka yang mengkajinya pula haruslah yang berilmu, seperti saintis. Apapun, tentu ada kebaikan pada ayat-ayat mutasyabihat, seperti yang terdapat di ruangan Penemuan laman web ini.

Namun, Allah beri amaran megenainya, seperti yang telah disebut tadi. Kerana terlalu ghairah dengan angka 19, Rashad mengisytiharkan dirinya sebagai seorang Rasul! Kami tidak menyambut pengisytiharannya dengan baik. Walaupun begitu, ramai juga orang lain menerimanya. Tapi, bagi kami, ia tidak seharusnya jadi sebab bagi perpecahan umat. Biarlah mereka bebas memilih apa yang mereka percaya. Hanya Allah akan memutuskannya nanti. Lagipun, mereka dakwa berpegang pada al-Qur'an.

Golongan ulama agama juga telah beri penjelasan bagi Alif Lam Mim. Penjelasan mereka didapati tidak saintifik dan banyak berbau mistik. Lalu kami enggan menerimanya. 

Dan, mengenai Nabi, kami tidak tahu sama ada terdapat orang-orang yang menyoal mengenai Alif Lam Mim, dan sebagainya, atau jawapan baginda kepada soalan tersebut. Bagi kami, peristiwa itu tidak akan disoal di akhirat.

Manusia akan terus mencari takwil bagi ayat mutasyabihat. Pendapat dahulu diganti dengan yang baru, yang lebih mantap. Begitulah dengan budaya ilmu. Sentiasa berkembang dan maju. Dan kita dimanfaatkan dengannya. Melainkan kita adalah orang-orang yang miliki ilmu moden yang tinggi, lalu mampu membatalkannya.

Terima kasih.
 


Merdeka!
31 Ogos 2004

 

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Artikel   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar   Senarai Penulis   English Articles

Tulis kepada Pengurus Laman