PENGENALAN
BACAAN untuk Peringatan adalah buah daripada proses pemahaman ke atas kandungan kitab al-Qur’an melalui terjemahan yang bermula dua puluh tujuh tahun lalu. Penulisannya pula mula berbunga tujuh tahun kemudian iaitu pada tahun 1991, dengan pimpinan kitab Terjemahan Al-Qur'an Secara Lafzhiyah (Penerbit CV. Tri Burnama Utama, Jakarta, bekerja sama dengan "Al-Hikmah" Jakarta), di mana setiap perkataan pada setiap ayat al-Qur'an ditransliterasi dan diberi makna melalui terjemahan.
Setelah menyalin dan membentuk semula ayat-ayat terjemahannya, ia disemak dengan sebuah concordance, A Concordance of the Qur'an (Hannah E. Kassis, 1983), perkataan demi perkataan, di samping mencuba untuk menyeragamkan makna perkataan-perkataan. Sebuah kamus, A Dictionary of Modern Written Arabic (Hans Wehr, 1976), dan sebuah lexicon, Arabic-English Lexicon (E. W. Lane, 1863) telah juga dirujuk untuk memuktamadkan terjemahan kepada sesetengah perkataan. Kamus-kamus lain selalu juga diguna seperti Kamus Dwibahasa DBP (1992).
Di samping itu, beberapa kitab terjemahan al-Qur’an turut dirujuk, iaitu karya A. Hassan, Dr. H. Mahmud Yunus, H. B. Jassin, H. Zainuddin Hamidy dan lain, M. Said, Yayasan Penyelenggara Penterjemah/Pentafsir Al-Qur'aan (Projek Departemen Agama RI), dan TNI Angkatan Darat Indonesia (Penyusun, Tim Disbintalad).
Tidak ketinggalan untuk dirakam sebagai bahan bacaan dalam rujukan adalah karya-karya penterjemah al-Qur’an bahasa Inggeris, terdiri daripada Abdullah Yusuf Ali, Ahmed Ali, Arthur J. Arberry, Dar Al-Choura, Dr. Ahmad Zidan dan lain, Dr. Muhammad Taqi-ud-Din Al-Hilali, Dr. Rashad Khalifa (dua terjemahan), E.H. Palmer, George Sale, Hashim Amir-Ali, J.M. Rodwell, Maulana Abdul Majid, Maulawi Maulana Muhammad Ali, M.H. Shakir, Muhammad Asad, Muhammed Marmaduke Pickthall, N.J. Dawood, Sher Ali, T.B. Irving, dan dua terjemahan Juz Amma oleh Sayyid Qutb dan “The Islamic Call Society Libya”.
Penulisan terjemahan mirip literal ini memakan masa lebih tiga tahun sebelum dibuku dan diterbit buat kali pertama pada tahun 1995. Isi kandungannya telah saya baiki selepas itu, bersama sahabat-sahabat yang ditemui di laman web www.e-bacaan.com sejak tahun 2002, lalu jadi seperti tersedia di sini. Kepada mereka dan lain yang telah disebut, saya banyak terhutang budi; juga kepada seorang sahabat yang bertanggungjawab atas penerbitan buku kali ini. Alhamdulillah.
"Wahai Pemelihara kami, janganlah Engkau pertanggungjawabkan kami jika kami lupa, atau buat kesilapan.” (2:286)
Othman Ali
Kuala Lumpur
Januari 2011
Halaman Utama
Terkini
Artikel
Bacaan E-Mail
Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar
Penemuan
Soalan Lazim
Sudut Pelajar
English Articles
Perpustakaan
Tulis kepada Pengurus Laman