PENGENALAN
BACAAN adalah hasil daripada hasrat untuk menterjemahkan Al-Qur'an secara literal setelah pengkajian ke atasnya dibuat selama sepuluh tahun. Dua puluh lima buah terjemahan Al-Qur'an dalam bahasa Melayu dan lnggeris, dan pelbagai bahan bacaan lain yang berkaitan telah dikaji; dan kamus, concordance, dan lexicon jadi penentu bagi menetapkan makna-makna perkataan, kebanyakannya diseragam, yang digunakan dalam terjemahan ini.
Penulisan BACAAN bermula hampir tiga tahun dahulu dengan ilham daripada "Terjemahan Al-Qur'an Secara Lafzhiyah" (Penerbit CV. Tri Burnama Utama, Jakarta, bekerja sama dengan Yayasan Pembinaan Masyarakat Islam "Al-Hikmah" Jakarta), di mana tiap-tiap perkataan Al-Qur'an ditransliterasi dan diberi makna, yang saya susun semula untuk memudahkan kajian dan penulisan pada tahun 1991. Setelah menyalin dan membentuk semula ayat-ayatnya, disemak pula dengan "A Concordance of the Qur'an" (Hannah E. Kassis, 1983), perkataan demi perkataan, di samping merujuk kepada terjemahan-terjemahan lain, dan kamus, "A Dictionary of Modern Written Arabic" (Hans Wehr, edited by J. Milton Cowan, 1976), dan "Arabic-English Lexicon", (E. W. Lane, 1863). Kamus-kamus lain ada juga digunakan seperti Kamus Dwibahasa DBP. Kepada mereka ini semua saya terhutang budi.
Terima kasih selanjutnya kepada penterjemah-penterjemah Al-Qur'an bahasa Melayu yang lain yang kerap dirujuk - Yayasan Penyelenggara Penterjemah / Pentafsir Al-Qur'aan (Projek Departemen Agama Republik Indonesia), Prof. Dr. H. Mahmud Yunus, H. Zainuddin Hamidy dan Fachruddin Hs., Muhammad Said, H. B. Jassin, dan TNI Angkatan Darat Indonesia (Penyusun, Tim Disbintalad) - daripada mereka saya banyak menerima pengetahuan.
Penghargaan yang sama dipanjangkan kepada penterjemah-penterjemah Al-Qur’an bahasa Inggeris – Abdullah Yusuf Ali, Muhammad Asad, Maulana Abdul Majid, Arthur J. Arberry, Muhammed Marmaduke Pickthall, Hashim Amir-Ali, N.J. Dawood, J.M. Rodwell, T.B. Irving, M.H. Shakir, Ahmed Ali, Maulawi Sher Ali, Maulana Muhammad Ali, Dar Al-Choura, Dr. Rashad Khalifa (dua terjemahan), dan dua terjemahan Juz Amma oleh Sayyid Qutb dan “The Islamic Call Society Libya”. Sebuah Al-Qur’an bahasa Arab dari Arab Saudi digunakan juga sebagai rujukan.
	Saya juga banyak 
terhutang budi kepada rakan-rakan, yang nama mereka sengaja tidak diturunkan di 
sini, kerana banyak menyumbangkan benda dan fikiran dalam penerbitan buku ini. 
Mereka diabadikan dalam ingatan saya. Senarai penghargaan ini adalah tidak 
lengkap jika tidak menyebut isteri saya, Rahmah, dan anak-anak, Shazrina, Armia 
Redza, Zafrul Arief, dan Aleza Nadia, atas kesabaran mereka dalam tempoh yang 
lama sediakan buku ini – kadangkala terasa bahawa saya telah mengabaikan 
mereka! – dan atas mereka turut bersama menempuh segala cabaran dan kejutan 
dalam kehidupan mempraktikkan ajaran Tuhan. Kepada merekalah didedikasi dan 
diwariskan terjemahan Al-Qur’an ini.
"Wahai Pemelihara kami, janganlah Engkau pertanggungjawabkan kami jika kami lupa, atau buat kesilapan." (Q 2:286)
"Wahai Pemelihara kami, janganlah simpangkan hati kami setelah Engkau beri petunjuk kepada kami,
dan berikan kami pengasihan daripada sisi Engkau; sesungguhnya Engkaulah Yang Pemberi." (Q 3:8)
	Othman Ali                                                                  
	
Kuala Lumpur                                                              
	
	Jamadilakhir 1415
November 1994
Terkini  
	Artikel   E-Mail  
	Hiasan   
	Kalimat Pilihan   
	Keratan Akhbar
Penemuan   
	Soalan Lazim  
	Sudut Pelajar    
	
	English 
Articles