Wahai Manusia

 

Al-Qur'an diturunkan untuk menjadi petunjuk bagi orang-orang bertakwa, atau yang takut kepada Tuhan. Hanya mereka akan diselamatkan di akhirat. Sebelum mencapai peringkat tersebut mereka harus percaya dan lakukan beberapa perkara seperti percayai yang ghaib, lakukan solat, menafkah sebahagian daripada apa yang direzekikan, percayai apa diturunkan kepada Rasul, dan apa yang sebelumnya, dan yakin akan akhirat, menurut ayat ketiga dan keempat surah al-Baqarah.

Mereka yang percaya harus pula lakukan beberapa suruhan lagi terutama melalui ayat-ayat yang menyeru mereka, bermula frasa "Wahai orang-orang yang percaya" yang banyak terdapat di dalam al-Qur'an.

Seruan yang khas umpama itu terdapat lagi di dalam al-Qur'an. Misalan, kepada segolongan manusia, contoh, Wahai Bani Israil, wahai orang-orang empunya minda, Wahai ahli Kitab, Wahai orang-orang diberi al-Kitab , Wahai golongan jin (bukan manusia), Wahai Bani Adam, Wahai Rasul-Rasul, wahai orang-orang mukmin, Wahai isteri-isteri Nabi, Wahai ahli Rumah, wahai orang-orang yang berdosa, Wahai golongan jin dan manusia, dan, wahai orang-orang empunya mata (penglihatan) menurut kronologi di dalam al-Qur'an.

Kepada individu juga ada, contoh, Wahai Adam, Wahai Musa, Wahai Isa, dan Nabi-Nabi lain seperti Nuh, Ibrahm, Zakaria, Yahya, Daud, di samping kepada Muhammad seperti Wahai Nabi, Wahai Rasul, dan sebagainya. Tidak ketinggalan seruan khas kepada Iblis, iaitu Wahai Iblis.

Dia didapati turut buat seruan kepada ciptaan-Nya yang lain seperti Wahai bumi, Wahai api, dan Wahai gunung-gunung!

Kepada siapa atau apa pun Dia seru namun seruan-Nya jadi peringatan bagi seluruh manusia. Apatah lagi jika seruan itu khas kepada mereka, dan jadi yang pertama pula di dalam al-Qur'an.

Seruan bermula kata Wahai yang sulung di dalam al-Qur'an berbunyi,

"Wahai manusia, sembahlah Pemelihara kamu yang mencipta kamu, dan orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertakwa," (2:21).

Dari awal lagi manusia diseru menyembah Pemelihara mereka. Maksud sembah dijelaskan pula dengan dua ayat yang menyusuli ayat di atas, berbunyi seperti berikut:

"Yang buatkan bagi kamu bumi sebagai sofa, dan langit, bangunan, dan turunkan dari langit, air; dengannya Dia keluarkan buah-buahan untuk rezeki kamu. Maka janganlah adakan rakan-rakan bagi Allah dengan mengetahuinya.
Dan jika kamu dalam keraguan mengenai apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, maka datangkanlah sebuah surah yang serupa dengan ia, dan serulah saksi-saksi kamu, selain daripada Allah, jika kamu orang-orang yang benar." (2:22-23)

Justeru, menyembah Allah adalah dengan tidak lakukan dua perkara yang telah ditetapkan-Nya iaitu:

  1. Tidak adakan rakan-rakan bagi Allah dengan mengetahuinya. Contoh mengadakannya dapat dilihat dengan jelas daripada tulisan seorang pengirim e-mel kepada penulis iaitu "demi haknya Muhammad dan keluarganya, Allahumma solli ala Muhammad wa aali Muhammad" setelah tersiar jawapan penulis atas perkara berkaitan, yang antara lain menyatakan bahawa sebutan itu tidak diajar Allah di dalam Kitab-Nya. Pengirim diajar oleh orang-orang, yang selanjutnya mengatakan sebutan itu adalah hak, dan peneriman ajaran tersebut adalah umpama menerima rakan-rakan yang diadakan bagi Allah, kerana hak dalam agama adalah milik Allah sahaja.

  2. Tidak ragu-ragu terhadap al-Qur'an. Tindakan yang dilakukan itu merupakan juga suatu keraguan terhadap ayat-ayat Kitab-Nya, atau lebih buruk daripada itu.

Tentang mengadakan orang-orang seperti dinyatakan, atau dikatakan selain daripada Allah, manusia seterusnya diperingatkan dengan seruan berikut:

"Wahai manusia, satu persamaan dijadikan; maka dengarlah padanya. Sesungguhnya orang-orang yang kamu seru, selain daripada Allah, tidak akan dapat cipta seekor lalat, walaupun mereka berkumpul untuknya; dan jika seekor lalat merampas sesuatu daripada mereka, mereka tidak akan dapat selamatkannya daripada ia. Lemahlah sungguh yang mencari, dan yang dicari!" (22:73)

Mereka yang diseru tidak mampu cipta seekor lalat, dan jika lalat itu merampas sesuatu daripada mereka, mereka tidak dapat selamatkannya! Begitu buruk misalan diberi! Mengapa pula manusia menyeru dan mentaati mereka?

Dan tentang ragu-ragu terhadap al-Qur'an, terdapat dua lagi seruan mengenai Kitab tersebut, diturunkan di bawah ini:

"Wahai manusia, satu bukti telah datang kepada kamu daripada Pemelihara kamu, dan Kami turunkan kepada kamu satu cahaya yang terang." (4:174)

"Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu satu teguran daripada Pemelihara kamu, dan satu penyembuhan bagi apa yang di dalam dada, dan satu petunjuk, dan satu pengasihan, bagi orang-orang mukmin." (10:57)

Daripada dua ayat di atas dapat difahamkan bahawa al-Qur'an merupakan:

Dengan sifat-sifat begitu mulia diberi Allah, mengapa pula manusia terutama yang bergelar Islam ragu-ragu atau tidak percaya kepadanya?

 

Seruan kedua kepada manusia, menurut kronologi di dalam al-Qur'an, ialah mengenai makanan berbunyi,

"Wahai manusia, makanlah apa yang di bumi, yang halal dan baik, dan jangan ikut langkah-langkah syaitan; ia adalah musuh yang nyata bagi kamu." (2:168)

Seperti seruan utama, seruan ini juga kelihatan sukar ditaati manusia. Kali ini dengan jelas dikaitkan dengan syaitan yang selanjutnya dikatakan musuh yang nyata. Maka syaitan yang dimaksudkan ialah daripada golongan manusia. Mungkin apa yang dibuatnya ialah menghalalkan apa yang Allah haramkan, atau mengharamkan apa yang dihalalkan-Nya.

Kerana makanan merupakan rahmat dan rezeki daripada Allah maka diturunkan satu lagi seruan-Nya yang berkaitan berbunyi,

"Wahai manusia, ingatlah akan rahmat Allah ke atas kamu; adakah pencipta, selain daripada Allah, yang beri rezeki untuk kamu dari langit dan bumi? Tidak ada tuhan melainkan Dia; maka bagaimanakah kamu boleh berpaling?" (35:3)

Allah yang beri rezeki dari langit dan bumi, tetapi manusia adakan tuhan selain daripada Dia, yang cuba buat manusia melupakannya dengan misalan mengadakan hukum haram bagi yang tidak diharamkan-Nya seperti baru disebut. Tuhan lain yang memalingkan manusia daripada-Nya adalah tidak syak lagi daripada golongan manusia juga.

 

Seruan ketiga, Wahai manusia atau Yaa ayuha -nnassu, dalam bahasa asal, menyuruh manusia menakuti-Nya, bermaksud,

"Wahai manusia, takutilah Pemelihara kamu yang cipta kamu daripada jiwa yang satu, dan daripadanya Dia ciptakan pasangannya, dan daripada keduanya, ditaburkan di merata-rata banyak lelaki dan perempuan; dan takutilah Allah yang kepada-Nya kamu saling meminta, dan rahim-rahim; sesungguhnya Allah menjagai kamu." (4:1)

Sebab-sebab menakuti-Nya yang dapat penulis fahamkan daripada ayat di atas ialah:

Telah ada dua lagi tertulis seruan Allah menyuruh manusia supaya menakuti-Nya. Mereka adalah:

"Wahai manusia, takutilah Pemelihara kamu! Sesungguhnya kegoncangan Saat adalah satu hal yang besar." (22:1)

"Wahai manusia, takutilah Pemelihara kamu, dan takutilah akan satu hari apabila tiada bapa akan bela anaknya, dan tiada juga anak bela bapanya sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah benar; maka janganlah kehidupan dunia menipu kamu, dan janganlah sekali-kali penipu dapat menipu kamu terhadap Allah." (31:33)

Dengan dua ayat itu, sebab-sebab menakuti-Nya ditambah lagi, dan diringkaskan seperti di bawah:

Saat dan Kiamat adalah berkaitan dengan Kebangkitan. Ayat berikut menyeru manusia supaya tidak meragui tentang Kebangkitan di samping mengingatkan mengenai ciptaan dan kematian mereka. Ayat berbunyi,

"Wahai manusia, jika kamu dalam keraguan mengenai Kebangkitan, maka sesungguhnya Kami telah cipta kamu daripada tanah, kemudian daripada setitis mani, kemudian daripada dadih darah, kemudian daripada seketul daging, berbentuk dan tidak berbentuk, supaya Kami jelaskan kepada kamu. Dan Kami tetapkan di dalam rahim-rahim apa yang Kami hendaki hingga satu tempoh yang dinyatakan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, supaya kemudian kamu sampai dewasa; dan antara kamu mati, dan antara kamu dikembalikan kepada umur yang paling hina hingga mereka, setelah tahu sesuatu, tidak tahu apa-apa. Dan kamu lihat bumi kehitaman, kemudian apabila Kami turunkan air kepadanya, ia bergetar dan gelembung, dan tumbuhkan tiap-tiap jenis yang menggirangkan." (22:5)

Cara menakuti-Nya pula dijelaskan dengan ayat-ayat lain, seperti diturunkan di bawah:

 

Seruan Allah keempat mengandungi amaran, iaitu Dia mampu hapuskan manusia dan datangkan yang lain, berbunyi,

"Jika Dia hendak, Dia hapuskan kamu, wahai manusia, dan datangkan yang lain; Allah adalah berkuasa atas yang demikian itu." (4:133)

Dengan berfikir secara nakal, mungkin yang diganti itu adalah sifat manusia yang tiada sifat kemanusiaan lagi. Lalu jadi manusia-beruk atau manusia-babi. Atau seperti dalam cerita Planet of tha Apes. Atau jadi haiwan-haiwan di ladang dalam Animal Farm.

Kembali kepada amaran tadi. Amaran serupa itu diberi mungkin kerana sifat manusia yang angkuh. Terhadap sifat itu, Allah mengingatkan dengan seruan bermaksud,

"Wahai manusia, keangkuhan kamu hanyalah terhadap diri kamu sendiri; kesenangan kehidupan dunia ini, kemudian kepada Kami kamu kembali, kemudian Kami beritahu kamu apa kamu buat." (10:23)

 

Seruan Allah kelima kepada manusia adalah mengenai Rasul. Firman-Nya,

"Wahai manusia, seorang Rasul telah datang kepada kamu dengan yang benar daripada Pemelihara kamu, maka percayalah; itu adalah lebih baik bagi kamu. Dan jika kamu tidak percaya, maka kepunyaan Allah segala yang ada di langit, dan di bumi; dan Allah Mengetahui, Bijaksana." (4:170)

Manusia disuruh percaya kepada yang benar daripada Allah, iaitu Kitab al-Qur'an, yang datang bersama Rasul. Jika mereka enggan untuk percayainya maka kerugian itu tidak luak pada segala yang ada di sisi-Nya.

Rasul telah juga menyeru manusia dengan kata-kata tertentu atas perintah Allah. Terdapat empat seruan umpama itu, seperti berikut:

"Katakanlah (Muhammad), 'Wahai manusia, aku adalah Rasul Allah kepada kamu semua, yang bagi-Nya kerajaan langit dan bumi. Tidak ada tuhan melainkan Dia, yang menghidupkan dan mematikan. Maka percayalah kepada Allah, dan Rasul-Nya, Nabi yang ummiy, yang percayai Allah dan kata-kata-Nya, dan ikutlah dia supaya kamu dapat petunjuk.'" (7:158)

"Katakanlah (Muhammad), 'Wahai manusia, jika kamu dalam keraguan terhadap agamaku, maka aku tidak sembah orang-orang yang kamu sembah selain daripada Allah, tetapi aku sembah Allah yang akan mematikan kamu, dan aku diperintah supaya menjadi antara orang-orang mukmin." (10:104)

"Katakanlah (Muhammad), 'Wahai manusia, yang benar telah datang kepada kamu daripada Pemelihara kamu. Sesiapa dapat petunjuk, hanyalah dapat petunjuk bagi dirinya sendiri, dan sesiapa sesat, dia sesat hanyalah terhadap dirinya sendiri. Aku bukanlah wakil kepada kamu." (10:108)

"Katakanlah (Muhammad), 'Wahai manusia, aku bagi kamu hanyalah seorang pemberi amaran yang jelas.'" (22:49)

Daripada empat sabdanya dapat difahamkan dengan jelas bahawa baginda:

 

Kini sampai di hujung perbincangan dengan hanya tiga seruan-Nya yang terakhir tinggal untuk dibentang di sini. Mereka adalah:

"Wahai manusia, janji Allah adalah benar; maka janganlah kehidupan dunia menipu kamu, dan janganlah seorang penipu dapat menipu kamu mengenai Allah." (35:5)

"Wahai manusia, kamulah yang memerlukan (fakir) Allah, dan Dia Yang Kaya, Yang Terpuji." (35:15)

"Wahai manusia, Kami cipta kamu lelaki dan perempuan, dan buat kamu berbangsa-bangsa, dan bersuku-suku, supaya kamu mengenali satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah Mengetahui, Menyedari." (49:13)

Mesej-mesej daripada tiga ayat di atas adalah jelas di mana Allah mengingatkan manusia bahawa:

Seruan Allah terakhir kepada manusia mengingatkan bahawa semua lelaki dan perempuan daripada pelbagai bangsa dan suku harus hidup saling mengenali satu sama lain, atau hidup berbaik-baik,

dan

mereka tidak seharusnya rasa lebih mulia daripada manusia lain, kerana mereka yang paling mulia di sisi-Nya ialah yang paling bertakwa, dan cukuplah Dia sebagai yang Mengetahui dan Menyedari siapa mereka.


Penulis Bacaan
19 April 2010

Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman