Orientasi di sebuah universiti
oleh Nadia
Januari 2009
Tahun 2006 adalah tahun yang penting untuk saya kerana pada tahun itu saya melangkah ke dunia yang baru iaitu dunia universiti. Saya terasa bagai saya sudah jadi seorang yang dewasa. Ialah, saya tinggalkan alam persekolahan saya pada tahun sebelumnya dan tidak tahu-menahu tentang dunia yang serba baru ini.
Pada saya, masuk ke alam universiti ini bermakna, satu langkah ke hadapan untuk mencapai cita-cita saya. Saya masih ingat hari pertama saya menjejak ke dalam universiti saya. “Cantiknya...” saya terfikir dalam diam-diam. Besar, luas, bangunan yang serba baru. Ini buatkan saya lebih bersemangat dalam jiwa saya untuk belajar dengan bersungguh-sungguh.
Hari pertama di universiti adalah hari orientasi. Selalunya, pada hari orientasi pelajar-pelajar perempuan Islam dihendaki memakai tudung kepala. Perkara ini sampai sekarang saya tidak faham kerana di dalam Al-Quran tidak pun mengatakan bahawa kaum wanita harus menutup kepala. Mengapa mereka memaksa buat perkara yang tidak benar? Syukur alhamdulillah, universiti saya tidak memaksa saya untuk memakai tudung kepala.
Pada hari pertama itu, terasa seperti kucar-kacir. Pergi ke bangunan asrama, letak barang-barang dan terus berkumpul di dataran asrama. Dan dari situ, terus ke masjid untuk sembahyang zohor. Tidak ada masa yang diberikan untuk berkata selamat tinggal kepada ibu bapa.
Pada masa itu, dada saya berat untuk tinggalkan ibu-bapa. Ialah, penat-penat ibu-bapa saya menghantar tetapi tidak ada masa untuk ucapkan selamat tinggal dengan betul. Takkan hanya nak berkata “bye” dan melambaikan tangan?
Apabila semua orang sudah ke masjid, saya masih bersama ibu-bapa saya. Tidak mahu saya ke masjid kerana di dalam Al-Quran hanya menyatakan solat sebanyak 3 kali sehari iaitu pada Fajar, Maghrib dan Isya’.
Terasa dada berat lagi hendak tinggalkan kedua ibu-bapa walaupun pipi mereka sudah dikucup dan sudah di peluk erat tubuh badan mereka. Dengan hati yang masih lagi berat, saya pergi ke masjid. Saya tahu, saya perlu menabahkan diri saya untuk melalui saat-saat seperti ini; dipaksa sembahyang, dipaksa mendengar ceramah-ceramah agama yang tidak betul. Bukan tidak biasa dan takut kerana dari zaman sekolah saya telah dicabar dalam isu-isu agama. Cabaran-cabaran seperti itu tidak melemahkan saya tetapi buat saya lebih tabah. Di masjid, saya tidak sembahyang bersama yang lain. Uzur, kononya tetapi pada hakikat, saya tidak percaya dan tidak mahu mengikut mereka.
Sudah dua hari berlalu orientasi di universiti saya dan terasa rindu yang mendalam kepada keluarga yang berada di rumah. Saya sudah terbayang-bayang wajah ibu-bapa dan adik-beradik saya. Lagi saya berfikir, lagi saya terasa seperti hendak balik. Aduh, pilu rasa hati ketika berjauhan dengan orang-orang yang tersayang.
Pada pagi Subuh itu, saya tidak bersembahyang dengan yang lain dan hanya duduk di luar masjid. Tiba-tiba, senior-senior perempuan orientasi memanggil semua yang tidak bersembahyang untuk pergi ke blok asrama yang berdekatan dengan masjid. Jadi, kami yang ‘uzur-uzur’ pergilah ke asrama itu. Sedang saya duduk bersembang dengan kawan saya, tiba-tiba saya dengar kakak senior bersuara “Awak semua, masuk dalam tandas dan tunjuk kepada saya pad. Saya nak tengok siapa yang tipu tidak boleh sembahyang.”
Haaaa biar benar? Di dalam kepala saya sudah berpusing-pusing memikirkan. Apa maksud kakak tu? Benarkah dia berani untuk buat sedemikian? Perasaan takut, benci dan marah berada di dalam diri saya. Saya betul-betul tidak percaya kepada pihak-pihak yang beri mereka ‘lampu hijau’ untuk melakukan perkara yang tidak senonoh seperti itu. Setahu saya, agama Islam ini adalah agama yang bersih, yang baik. Tetapi, adakah kelakuan mereka menggambarkan kebersihan dan kebaikan agama Islam ini?
Panik hati saya ketika itu tetapi saya dapat tenangkan diri kerana saya sudah terfikir apa yang hendak dikatakan kepada kakak itu apabila giliran saya. Dalam memikirkan apa yang hendak saya berkata kepada kakak-kakak tersebut, saya terdengar perbualan dua orang yang berada di sebelah saya.
“Hish.. macam mane ni? Takut laa..” seorang perempuan tu berkata. “Jap jap, jangan takut. Nah, you ambil lipgloss ni dan letak di sini,” kata kawannya sambil keluarkan tuala wanita kepada kawannya itu. “You gila? Percaya ke dorang ni?” Kawannya menjawab, “Macam dorang tahu. Nampak merah, darah lah tu. Bukannya kakak-kakak tu suruh bukak seluar depan mereka. Dalam tandas dan tunjukkan bawah pintu tandas tu..”
Saya mendengar perbualan mereka dengan penuh minat. Sampai begitu dibuatnya. Pada saya, benda-benda seperti ini tidak perlu dilakukan kerana ia ajar orang lain untuk menipu. Saya mengaku, saya pun sama dipaksa menipu walaupun perkara sebegitu salah. Tidakkan ajaran Islam ajar umatnya untuk berkata benar?
Saya tidak mahu becerita dengan mendalam tentang apa yang berlaku kepada saya, cuma, nasib baik saya terlepas. Lega hati apabila kakak itu percayai saya. Sampai ke hari ini, ceritakan tentang perkara ini buat hati saya sangat sakit. Jantung masih berdebar laju ketika ceritakan perkara ini. Muka kakak yang memeriksa saya masih lagi segar dalam ingatan dan tidak mungkin saya dapat melupakannya.
Saya pernah bersembang dengan ‘junior-junior’ saya mengenai pengalaman mereka ketika minggu orientasi. Ada yang mengatakan bahawa kaunsil orientasi memarahi dan menghina sesiapa yang tidak memakai tudung. Sesiapa yang tidak memakai tudung pada ketika itu dihina murtad, muka tak malu, perempuan yang tidak senonoh. Ya Allah, sanggup mereka menghina orang di khalayak ramai sebegitu? Bukankah Islam ajar kita untuk melakukan perkara yang baik? Adakah menghina orang perkara yang baik? Adakah Tuhan membenarkan manusia menghina orang sampai sebegitu? Terkejut saya mendengar. Terfikir juga, tidakkah mereka sedari apa yang dihina mereka, adalah benda yang tidak betul? Benda yang tiada di dalam Al-Quran? Wajarkah perkara sebegini berlaku di universiti-universiti tempatan?
Tujuan saya menulis ini bukan kerana dengan niat untuk menghina atau mengutuk, tetapi saya risau, saya risau dengan ajaran yang tidak betul yang disampaikan kepada orang ramai sehinggakan perkara hina-menghina berlaku. Pengalaman itu beri kesan kepada saya sampai sehingga kini. Saya jadi makin menyampah dengan sikap-sikap orang yang merasakan diri mereka benar tetapi pada hakikatnya, adalah perkara yang salah.
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan
Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman