Mimpi dan Interpretasinya
Orang yang tidur akan bermimpi. Ada yang selalu bermimpi, dan ada pula yang kadang-kadang. Bagi sesetengah orang, mimpi membawa maksud tertentu. Lalu mereka bertanya kepada orang lain untuk mengetahui maksud mimpinya. Seperti itu dilakukan oleh seorang pelayar melalui sepucuk e-mail. E-Mailnya menunjukkan dia berasal dari sebuah negara jiran. Kandungan e-mailnya ringkas, ditulis seperti di bawah ini:
1) Erti mimpi kan rasullah
2) mimpi bertemu diri sendiri
tolong jelaskan....amin
Amin bukan namanya. Perkataan itu dipercayai serupa dengan apa yang disebut selepas bacaan Fatihahnya. Atau, yang disebut tatkala menyambut sebutan sesuatu doa yang dilafazkan oleh orang lain.
Malangnya, al-Qur'an bukanlah sebuah kitab yang mengajar ilmu mentafsirkan mimpi. Maka mimpi-mimpi tersebut tidak dapat dijelaskan maksudnya. Ia juga bukan sebuah kitab yang lahir daripada mimpi seseorang, seperti yang disangka oleh sesetengah orang tidak percaya kepadanya. Firman Allah,
"Tidak, tetapi mereka berkata, 'Mimpi-mimpi yang bercampur baur! Tidak, dia mengada-adakannya; tidak, dia seorang penyair! Maka hendaklah dia datangkan kepada kita satu ayat (mukjizat) sebagaimana orang-orang dahulu kala diutus.'" (21:5)
Kerugian
Kembali kepada e-mail dan pengirimnya yang baru disebut. Boleh jadi dia yang bertanya itu menganggap seseorang yang pandai mentafsirkan mimpi berada di jalan lurus. Anggapan serupa itu tidak mungkin betul kerana daripada cerita orang-orang yang berbangsa dan beragama lain terdapat orang-orang tertentu daripada golongan mereka yang pandai mentafsirkan mimpi. Jadi, orang yang pandai mentafsirkan mimpi tidak semestinya berada di jalan lurus.
Sebagai contoh, terdapat orang-orang yang dikatakan mahir dalam mentafsirkan mimpi sehingga mampu datangkan "nombor ekor" yang akan memenangi dalam perjudian itu. Namun ramalannya didapati tidak begitu tepat kerana ramai daripada orang yang menurutinya gagal untuk memenangi yang dihajatkan. Lantas, amalan mentafsirkan mimpi dan percayainya boleh mengheret kepada kerugian dan kesesatan yang jauh.
Mimpikan
Rasul
Di kalangan umat Islam peranan mimpi adalah tidak kurang pentingnya untuk mengiktiraf seseorang sebagai alim, warak atau diterima sebagai guru atau ketua. Guru-guru yang alim dan warak dikatakan telah bertemu dengan Rasul Allah dalam mimpi. Ada juga antara mereka yang dikatakan dapat arahan tertentu daripada Rasul Allah dalam mimpi mereka.
Mimpikan Rasul Allah adalah sesuatu yang besar bagi sesetengah orang Islam. Akan tetapi, setelah dilihat pada ajaran sesetengah alim itu didapati bahawa ajaran mereka tidak menuju ke jalan lurus.
Lantaran itu, mimpikan Rasul Allah tidak bererti sudah berada di jalan lurus atau akan berada di jalan lurus.
Mimpi yang kedua yang disebut tadi ialah "mimpi bertemu diri sendiri". Inilah kali pertama penulis bertemu dengan orang yang mencari interpretasi bagi mimpi tersebut. Pada hari ini, mimpi tersebut bolehlah diertikan kepada dia (orang yang bermimpi) akan bertemu dengan klonnya suatu hari nanti. Ketika itu, dia tidak dapat bezakan siapa yang sudah diklonkan - sama ada dia, atau diri sendiri yang ditemuinya. Maaf sekiranya mimpi itu tidak betul ditafsirkan!
Benar, al-Qur'an ada mengisahkan tentang mimpi dan interpretasinya. Di sini diturunkan tiga, dan kesemuanya terkandung di dalam sebuah surah sahaja, iaitu surah Yusuf.
Nabi Yusuf
Mimpi yang pertama ialah mimpi Nabi Yusuf. Setelah dia ceritakan mimpinya kepada bapanya, bapanya berkata,
"Wahai anakku, janganlah ceritakan mimpi kamu kepada saudara-saudara kamu supaya mereka tidak buat muslihat terhadap kamu dengan tipu muslihat. Sesungguhnya syaitan, kepada manusia, adalah musuh yang nyata." (12:5)
Satu pelajaran diperolehi daripada ayat tersebut iaitu mimpi tidak diceritakan kepada orang lain. Sebabnya ialah syaitan yang akan menurutinya dengan tipu muslihat.
Apakah yang dimimpikan Nabi Yusuf? Ayat yang di bawah jelaskannya:
"Apabila Yusuf berkata kepada bapanya, 'Ayah, saya lihat sebelas bintang, dan matahari, dan bulan; saya lihat mereka sujud kepada saya.'" (12:4)
Dia bermimpi akan penghormatan yang diberi kepadanya pada masa depan. Itu yang disuruh oleh bapanya agar dirahsiakan. Bagaimana pula dengan cerita mimpi orang-orang alim yang bertemu Rasul Allah yang sudah diketahui umum kian lama? Tentu ada sesuatu yang tidak kena di sini.
Mimpi diertikan juga daripada perkataan hadis, seperti yang digunakan dalam ayat berikut. Daripadanya juga, difahamkan iaitu interpretasi mimpi diajar oleh Allah. Di sini ia diajar kepada Nabi Yusuf. Firman-Nya,
"Begitulah Pemelihara kamu memilih kamu (Yusuf), dan Dia ajar kamu interpretasi hadis (mimpi), dan Dia akan sempurnakan rahmat-Nya ke atas kamu" (12:6)
Interpretasi bagi mimpi Nabi Yusuf itu adalah seperti yang dicatat di bawah:
"Dan dia (Yusuf) naikkan kedua ibu bapanya ke atas arasy (singgahsana); dan yang lain, jatuh bersujud kepadanya. Berkata, 'Ayah, inilah interpretasi mimpi saya yang dahulu; Pemelihara saya telah membuatnya benar.'" (12:100)
Dua pemuda
Mimpi yang kedua, di dalam surah Yusuf, ialah apa yang dimimpikan oleh dua orang pemuda, yang bersalah, yang masuk penjara bersama Nabi Yusuf. Ayat yang menjelaskannya berbunyi,
"Dan masuk penjara bersama dia, dua orang pemuda. Berkata seorang daripada mereka, 'Aku lihat (bermimpi) bahawa aku memerah arak (anggur).' Berkata yang lain, 'Aku lihat bahawa aku membawa di atas kepalaku roti, yang burung-burung memakan sebahagiannya. Beritahulah kami interpretasinya; kami lihat bahawa kamu adalah antara orang-orang buat baik.'" (12:36)
Daripada ayat itu difahamkan bahawa nasib seseorang boleh diberitahu dalam mimpi. Nasib kedua-dua pemuda tersebut dijelaskan di dalam ayat berbunyi,
"Wahai rakan-rakanku yang sepenjara, bagi seorang daripada kamu, dia akan tuangkan minuman arak untuk pemeliharanya (tuannya); bagi yang lagi satu, dia akan disalib, dan burung memakan sebahagian kepalanya. Perkara telah diputuskan yang kamu minta keputusan kepadaku." (12:41)
Seorang akan diselamatkan, manakala yang lagi satu akan dihukum bunuh. Itu sebenarnya adalah rancangan Allah supaya pemuda yang diselamatkan itu akan menyelamatkan Nabi Yusuf daripada penjara.
Raja
Mimpi yang ketiga, dan yang terakhir berbunyi,
"Dan raja berkata, 'Aku lihat dalam mimpi tujuh ekor lembu yang gemuk, dan tujuh yang kurus makan mereka; dan tujuh tangkai bijirin yang hijau, dan tujuh yang lain kering. Wahai pembesar-pembesarku, putuskanlah kepadaku mimpiku, jika kamu adalah penghurai-penghurai mimpi.'" (12:43)
Begitulah bunyi mimpi seorang raja terhadap negaranya. Ia beritahu sesuatu yang akan melanda negaranya, dan cara untuk menanganinya. Interpretasinya didapati dalam ayat-ayat berikut:
"Berkata (Yusuf), 'Kamu menyemai tujuh tahun seperti biasa; apa yang kamu tuai, tinggalkanlah ia pada tangkainya, kecuali sedikit daripadanya kamu makan.
Kemudian sesudah itu, datang kepada kamu tujuh tahun yang keras yang memakan apa yang kamu sediakan bagi mereka, semua, kecuali sedikit yang kamu simpan.
Kemudian sesudah itu, datang satu tahun yang manusia diberi pertolongan hujan, dan padanya mereka memerah.'" (12:47-49)
Lalu masalah yang melanda negara Mesir ketika itu dapat diatasi setelah raja ceritakan mimpinya dan Nabi Yusuf beri interpretasi yang tepat.
Mimpi-mimpi yang disebut di dalam al-Qur'an itu tentu mengandungi pelajaran yang baik bagi semua. Pihak-pihak yang percaya kepada mimpi haruslah renungkannya dengan mendalam.
Nabi Yusuf telah dirahmati Allah dengan kemahiran dalam mentafsirkan mimpi. Ia adalah satu daripada pemberian Allah kepadanya. Mungkinkah pemberian yang sama diberi kepada hamba-Nya yang lain, yang beriman?
Penulis
Bacaan
Syawal / Disember 31, 2002
Artikel
/ English
Articles
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada
Pengurus Laman