MERDEKA – ANJAKAN PARADIGMA
Lebih kurang 40 tahun dahulu, di masa kita baru merdeka beberapa tahun, moyang saya pernah ceritakan bahawa – “dunia ini terletak di atas hujung tanduk seekor lembu, yang duduk di atas belakang seekor ikan paus besar, yang berenang dalam sebuah lautan yang sangat luas”. Saya pun meluaskan kepercayaan tersebut kepada kawan-kawan yang seterusnya memanjangkan kepada yang lain. Cerita tersebut kononnya ada tertulis dalam kitab ugama yang lama-lama dan diajar di ‘pondok-pondok’. Ini telah jadi kepercayaan ratusan ribu, mungkin jutaan, orang ‘Islam’ dahulu kala yang berilmukan kepada kitab tulisan manusia. Setelah merdeka selama lebih 40 tahun, baru saya faham bahawa asal cerita tersebut adalah dari seorang penulis dan penafsir Al-Quran yang termashur di kalangan orang Islam tradisi. Sekarang kita boleh katakan fahaman itu adalah karut belaka walau pun ianya ditulis dalam sebuah kitab tafsir unggul yang masih jadi rujukkan ramai ustaz dan ulamak.
Selepas lebih 47 tahun merdeka, ramai lagi orang Melayu “Islam” yang masih merujuk dan bergantung kepada kata-kata, tulisan dan fatwa manusia sebagai pegangan dan kepercayaan untuk dijadikan ibadah. Merdekakah manusia bila mereka masih percaya bahawa - Iblis tidur dalam jamban atau pun lubang hidung, iblis terkentut bila dengar azan, ruh orang yang mati melawat saudara mara mereka pada malam jumaat dan hari raya, malaikat pakai serban dan berbagai-bagai lagi cerita dongeng dan karut yang tiada asasnya dan tidak menganjurkan perkembangan minda.
Orang Islam tradisi sungguh payah, atau mungkin takut, untuk menyoal pendapat ulamak-ulamak, ustaz-ustaz, mufti-mufti , terutamanya bila kata-kata atau pendapat dikatakan dirujukkan kepada kitab seseorang (yang selalunya bernama Ibn Anu atau Syeikh Anu). Apa saja yang ulamak kata, mereka mesti setuju dan akur . Siapa sekarang berani sangkal tulisan atau tafsiran Ibn Kathir walau pun beliau mengatakan dunia berada diatas tanduk lembu.
Allah mengatakan dalam Al-Quran, Apa, adakah aku akan cari sebarang hakim selain Allah? Dan Dia yang turunkan kepada kamu Kitab yang cukup jelas; dan orang-orang yang kepada mereka Kami beri Kitab tahu bahawa ia diturunkan daripada Pemelihara kamu dengan yang benar; maka jangan kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu. (Al-Quran 6:114).
Manusia, sama ada Melayu atau Arab, sama ada ulamak atau jurutera adalah selain Allah. Hanya kata-kata Allah yang dikumpulkan dalam Al-Quran sahaja boleh di jadikan sebagai petunjuk dan pegangan mutlak.
Telah sempurna kata-kata Pemelihara kamu dalam kebenaran dan keadilan; tiada yang boleh tukar kata-kata-Nya; Dia Yang Mendengar, Yang Mengetahui. (al-Quran 6:115)
Bila Allah kata “Dia Allah, satu” (al-Quran 112:1) kita tidak perlu kepada ulamak untuk memahami dan yakin. Bila Allah kata Kitab itu, di dalamnya tiada keraguan, petunjuk bagi orang-orang bertakwa (al-Quran 2:2) , apakah masih perlu kita perlu rujuk kepada ulamak – apa maksud tiada keraguan, setakat mana tidak boleh ragu, apa yang masih ragu, dan bermacam-macam lagi keraguan. Manusia masih ragu kepada al-Quran. Sebab itulah mereka mencari rujukan-rujukan selain daripada al-Quran, walau pun Allah kata Al-Qur'an ini tidak mungkin diada-adakan oleh selain daripada Allah, tetapi ia adalah satu pengesahan bagi apa yang sebelumnya, dan satu penjelasan Kitab, yang di dalamnya tiada keraguan, daripada Pemelihara semua alam (al-Quran 10:37). Bila Allah kata Sesungguhnya Kami mudahkan al-Qur'an untuk Peringatan. Adakah sesiapa yang mengingatinya? (al-Quran 54:17) ulamak masih mengatakan al-Quran payah untuk di fahami; ilmu asas yang tertentu diperlukan dan al-Quran mestilah memahami dari pentafsir. Bila Allah mengatakan bahawa Dia yang mengajar al-Qur'an (al-Quran 55:2) ulamak masih ragu dan mengatakan belajar al-Quran mesti melalui ustaz atau ulamak. Mereka menyebut hadith yang mengatakan belajar Quran tanpa guru adalah berguru dengan syaitan.
Persoalannya, siapakah yang mentauliahkan ustaz dan ulamak. Yang pastinya manusia sendiri yang beri tauliah tersebut, tetapi tiada cara yang terperinci atau sistematik. Pada kebiasannya, untuk digelar ustaz atau ulamak, seseorang mesti pernah belajar di negara Arab atau pun pondok-pondok; dan mesti berjanggut dan sekurang-kurangnya berketayap. Pernah berlaku pada tahun 2000, seorang pendakwah ternama telah ‘dilucutkan’ gelaran ustaz dan al-Hafiz hanya kerana silap faham berkaitan dengan kesahihan ‘al-Hafiz’ beliau.
Jadi, setelah lebih 47 tahun merdeka, kita seharusnya merdekakan minda dan menganjakkan paradigma dalam memahami al-Quran. Kita mesti merdeka dari kongkongan fahaman dan cara tradisi yang bergantung terus kepada ustaz dan ulamak. Kita mesti merdeka kepada pemahaman Islam mengikut apa yang dikehendakki Allah melalui al-Quran, hanya Al-Quran.
Kita harus berani sangkal pendapat atau pun fatwa ulamak yang mengatakan, sebagai contoh bahawa tidak percayai hadith adalah murtad. Kita harus merdeka untuk mengatakan bahawa Islamnya seseorang, masuknya syurga atau neraka seseorang itu adalah keputusan dan hak Allah sahaja. Kita harus berani memahami isi kandungan dan maksud al-Quran secara sendiri, dengan pertolongan Allah. Al-Quran telah menjelaskan ciri-ciri mereka yang akan masuk syurga atau neraka. Namun begitu Allah memerintah Nabi Muhammad, Katakanlah, "Aku tidak ada kuasa untuk manfaatkan diriku atau mudaratkan, kecuali seperti yang Allah hendaki. Sekiranya aku tahu yang ghaib, tentu aku ambil banyak kebaikan, dan keburukan tidak akan sentuh aku. Aku hanyalah seorang pemberi amaran dan pembawa berita gembira bagi kaum yang percayai." (al-Quran 7:188) Kita harus berani sangkal apa saja pendapat, fatwa sesiapa saja yang beralawanan dengan maksud al-Quran.
Bila Allah mengatakan “Wahai orang-orang yang percaya, janganlah haramkan benda-benda yang baik yang Allah halalkan bagi kamu, dan jangan mencabul; sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang mencabul.” (al-Quran 5:87), manusia masih tidak percaya bahawa al-Quran itu lengkap, maka mereka menambah bermacam-macam pengharaman kepada apa yang al-Quran tidak sebut. Kita mestilah merdeka dan berani mengatakan, sebagai contoh, bahawa lelaki boleh memakai sutera kerana al-Quran tiada mengharamkannya. Kita mesti merdeka dan berani mengatakan apa yang diharamkan adalah jelas dalam al-Quran, maka apa yang tidak disebut adalah tidak diharamkan.
Sedangkan Nabi Muhammad di soal, “Wahai Nabi, mengapa kamu haramkan apa yang Allah halalkan bagi kamu, untuk mencari kepuasan hati isteri-isteri kamu? Dan Allah Pengampun, Pengasih. (al-Quran 66:1), siapalah kita untuk menukarkan dan menokok tambah hukum-hukum Allah.
Pada tahun tujuh puluhan, tiada siapa yang berani naik mesjid atau madrasah kalau tak pakai kain pelikat atau ketayap. Sekarang kita telah merdeka, sudah berani beriktiqad bahawa boleh solat pakai track suit atau jeans dan baseball cap tanpa sejadah. Kita mesti terus menganjakkan paradigma kemerdekaan kepada yang lebih liberal dan dinamik sehingga berani bertanggung jawab terus kepada Pemelihara dan tidak bergantung kepada pengantara. Katakanlah, "Adakah kamu berdebat dengan kami mengenai Allah, dan Dia, Pemelihara kami dan Pemelihara kamu? Bagi kami amalan-amalan (perbuatan) kami, dan bagi kamu, amalan-amalan kamu; kepada-Nya kami tuluskan (al-Quran 2:139). Setiap insan bertanggung jawab terhadap amalan sendiri. Katakanlah, "Kamu tidak ditanya mengenai dosa-dosa kami dan tidak juga kami ditanya mengenai apa kamu buat." (al-Quran34:25)
Allah kurniakan kita minda dan Allah menganjurkan supaya kita berfikir. Sebagai contoh Allah mengatakan Dia yang turunkan kepada kamu dari langit, air, untuk kamu minum daripadanya, dan daripadanya pokok-pokok, untuk kamu biarkan ternakan kamu makan (al-Quran 16:10) Dan dengannya Dia tumbuhkan untuk kamu tanaman, dan zaitun, dan palma, dan anggur, dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah satu ayat bagi kaum yang memikirkan. (al-Quran 16:11). Perhatikan di sini bahawa Allah menganjurkan kita berfikir untuk memahami dan menyebati segala fakta fasal air telah dijelaskan sebelumnya. Banyak lagi ayat-ayat yang menganjurkan supaya kita berfikir. Sebagai contoh, Tidakkah mereka berfikir? Tiadalah kegilaan pada teman mereka; dia tidak lain hanya seorang pemberi amaran yang jelas (al-Quran 7:184) Tetapi masih ramai, termasuk ulamak yang meragui al-Quran dengan percayai, tanpa berfikir, bahawa Nabi Muhammad boleh beri bantuan melalui syafaat di akhirat nanti (dengan berselawat); walau pun Allah perintah Nabi Muhammad supaya menjelaskan bahawa beliau tiada kuasa buat demikian sebagaimana dalam ayat 7:188 di atas.
Setelah 47 tahun merdeka, marilah kita benar-benar merdeka; merdeka untuk berfikir dan memahami sendiri, merdeka untuk memahami al-Quran tanpa pengaruh fahaman-fahaman di luar al-Quran, merdeka untuk menyoal dan menyanggah pendapat-pendapat yang tidak berlandaskan al-Quran, merdeka untuk bersetuju dengan pendapat yang jelas berlandaskan al-Quran walau pun radikal dan berlawanan dengan ulamak.
Merdekakah dan beranikah kita untuk berkata bahawa boleh shake-hand dengan wanita bukan muhrim dan tidak batal wudhu’. Merdekakah dan beranikah kita untuk mengatakan bahawa tidak haram memegang anjing kerana tiada satu ayat pun al-Quran pun yang mengatakan demikian. Merdekakah dan beranikah kita untuk bertekad bahawa boleh menyentuh dan membaca al-Quran tanpa berwudhu’.
Bagi mereka-mereka yang merendah-rendahkan usaha kita untuk merdeka pemikiran Katakanlah, "Pemelihara kita akan kumpulkan kita bersama, kemudian beri keputusan antara kita dengan yang benar. Dia Yang Pemberi Keputusan, Yang Mengetahui." (al-Quran 34:26). Bukannya ustaz, ulamak atau mufti-mufti.
Dalam bulan Julai 1969, ada ulamak beri fatwa berikut : “haram percaya bahawa manusia boleh mendarat di bulan” !!!!!
Azahidi
Sept 2004
Artikel
/ English
Articles
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada
Pengurus Laman