Merayau-rayau Membabi Buta

 

Dalam kepercayaan kepada Tuhan dan Hari Akhir manusia menemui banyak simpang di sepanjang jalan benar. Kebanyakan memilih untuk mengambil simpang-simpang tersebut dengan sangka mereka ikut jalan sebenar yang akan menemukan dengan sejahtera hidup di dunia dan akhirat. Akan tetapi, simpang-simpang yang dipilih tidak seperti dijangka, kerana penuh dengan banyak sangkaan lagi, menyebabkan mereka jadi seperti orang-orang merayau-rayau membabi buta dalam kepercayaan. Kebutaan menyebabkan tindak-tanduk melampaui batas, tanpa mereka sedari.

Golongan dikatakan Allah merayau-rayau membabi buta dalam kelampauan batas disebut beberapa kali di dalam al-Qur'an. Kali pertama di dalam ayat berbunyi,

"Allah akan memperolok-olokkan mereka, dan memandu mereka merayau-rayau membabi buta dalam kelampauan batas mereka," (2:15)

Mereka diperolok-olokkan Allah kerana memperolok-olok orang-orang yang percaya dengan berkata percaya ketika mereka berjumpa, tetapi apabila menyendiri kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata, "Kami bersama kamu; kami hanyalah orang-orang yang berolok-olok."

Bila berkata percaya kepada Allah dan Hari Akhir, mereka berdusta, sebab hati mereka tidak percaya. Mereka menipu diri-diri mereka sendiri tanpa disedar.

Hati mereka berpenyakit fasal mendustakan Allah. Contoh pendustaan yang dapat didengar dewasa ini ialah mengatakan sesuatu perkara tidak wujud atau disebut di dalam al-Qur'an, walhal ia wujud dengan jelas. Atau, sebaliknya.

Mereka enggan percaya seperti orang-orang lain percaya kerana menganggap yang lain bodoh, dan sangka pula bahawa merekalah orang-orang yang membetulkan padahal mereka adalah sebenarnya orang-orang buat kerosakan di bumi.

Perbuatan mereka melampaui batas lalu dipandu Allah di jalan yang mereka pilih dengan merayau-rayau membabi buta, tidak dapat petunjuk sebenar. (Sila rujuk ayat 8 hingga ayat di atas, surah al-Baqarah.)

Sama dalam golongan adalah orang-orang yang hati dan penglihatan mereka diterbalikkan Allah bahana tidak percaya pada kali pertama ayat-ayat Allah disampaikan kepada mereka. Firman-Nya,

"Kami terbalikkan hati mereka, dan penglihatan mereka, sebagaimana mereka tidak percayainya pada kali pertama; dan Kami tinggalkan mereka dalam kelampauan batas mereka, merayau-rayau membabi buta." (6:110)

Oleh itu, bagi mereka, yang baik jadi buruk dipandang dan buruk jadi baik pula. Demikianlah dalam pemikiran mereka jua.

Turut tergolong dalam kumpulan tersebut adalah orang-orang sesat yang mengambil hadis selain daripada hadis al-Qur'an sebagai petunjuk. Ayat-ayat Allah di bawah menjelaskan,

"Tidakkah mereka renungkan dominion langit dan bumi, dan apa sahaja yang Allah cipta, dan boleh jadi tempoh mereka sudah dekat? Maka dengan hadis apakah yang mereka, sesudah ini, akan percayai?
Sesiapa Allah sesatkan, tiada yang beri petunjuk kepadanya; Allah tinggalkan mereka dalam kelampauan batas mereka, merayau-rayau membabi buta." (7:185-186)

Pada hemat kami, apa dimaksudkan dengan hadis selain al-Qur'an adalah bukan sahaja hadis daripada kitab-kitab sudah maklum, malah termasuk segala keterangan lain (mengenai petunjuk) daripada orang-orang yang merayau-rayau membabi buta dalam pengertian ayat-ayat al-Qur'an.

Selanjutnya adalah orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Allah pada hari kemudian. Firman-Nya,

"Jika Allah segerakan kejahatan bagi manusia seperti menyegerakan kebaikan, tempoh mereka pasti akan diputuskan kepada mereka. Tetapi Kami tinggalkan orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami dalam kelampauan batas mereka, merayau-rayau membabi buta." (10:11)

Satu contoh bagi orang-orang tiada harapan itu adalah mereka yang sangat berpuas hati dan tenteram dengan kehidupan dunia (sebab sudah dapatnya) dan lalai daripada ayat-ayat Allah. Penjelasan daripada Allah berbunyi,

"Sesungguhnya orang-orang yang tidak mengharapkan untuk bertemu dengan Kami, dan yang sangat puas hati dengan kehidupan dunia ini, dan tenteram padanya, dan orang-orang yang lalai daripada ayat-ayat Kami," (10:7).

Petikan ayat al-Qur'an mengenai orang-orang yang sedang dibincang diteruskan dengan sebuah ayat bererti,

"Demi umur kamu, mereka merayau-rayau membabi buta dalam kekaburan mereka," (15:72).

Kekaburan di situ adalah pada penglihatan, iaitu penglihatan kaum Lut atas keinginan seks mereka. Mata manusia dapat juga dikaburkan dengan keinginan lain yang mengakibatkan mereka merayau-rayau membabi buta dalam kepercayaan mereka.

Dua ayat akhir yang menyebut mengenai orang-orang berkenaan menyentuh tentang akhirat, iaitu orang-orang tidak percayainya. Pada pendapat kami, mereka bukan sahaja terdiri daripada orang-orang berkata dengan terang tidak percaya kepada akhirat, malahan yang tidak takut akan azab di sana dengan kerjakan kejahatan juga.

Ayat pertama mengenai mereka diturunkan bersama ayat sebelum dan selepasnya, seperti di bawah:

"Dan sesungguhnya orang-orang tidak percayai akhirat menyimpang daripada jalan.
Sekiranya Kami kasihani mereka, dan menghilangkan penderitaan yang ada bersama mereka, tentu mereka berterusan dalam kelampauan batas mereka, merayau-rayau membabi buta.
Kami telah pun ambil mereka dengan azab, tetapi mereka tidak tunduk kepada Pemelihara mereka, dan tidak juga mereka rendahkan diri," (23:74-76).

Mereka diazab di dunia atas penyimpangan daripada jalan benar, tetapi mereka tidak insaf, tidak merendahkan diri, tidak tunduk kepada Tuhan.

Ayat kedua pula, menyambung huraian mengenai mereka dengan menjelaskan bahawa amalan-amalan mereka yang buruk dinampakkan indah bagi mereka oleh Allah. Ayat berbunyi,

"Orang-orang tidak percayai akhirat, Kami nampakkan indah bagi mereka amalan-amalan mereka, dan mereka merayau-rayau membabi buta." (27:4)

Apabila Allah telah tetapkan sesuatu ke atas seseorang maka tiada yang mampu mengubahnya.

Itu adalah ayat ketujuh, atau terakhir, diturunkan Allah untuk menjelaskan ciri-ciri manusia yang merayau-rayau membabi buta sambil melampaui batas dalam kehidupan dunia. Ulangan berkali-kali harus buat kita berfikir panjang sama ada kita berada bersama kebanyakan manusia dalam keadaan demikian. Mungkin kita tidak terlepas daripada mana-mana sifat yang mebolehkan kita jadikan merayau-rayau membabi buta dalam kelampauan batas, iaitu batas jalan yang ditunjuk Allah di dalam Kitab al-Qur'an.


Penulis Bacaan
29 Ogos 2007

Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman