Islam Dari Masjid-Masjid dan 
Majlis-Majlis Syarahan

 

Bagi mereka yang selalu menghadiri syarahan-syarahan agama (Islam) di masjid-masjid atau pun di tempat-tempat lain atau majlis, mereka akan menganggap betapa ruginya mereka yang lain yang tidak sama hobi atau sama minat dengan mereka. Akhir-akhir ini memang banyak terdapat majlis-majlis ilmu Islam di masjid-masjid dan tidak kurang juga di suaru-surau di pejabat-pejabat kerajaan atau syarikat-syarikat terutamanya pada masa rehat tengah hari.

Dikatakan juga sekarang ini kesedaran terhadap Islam kian mengembang sehinggakan tidak mencukupi penceramah-penceramah, tok-tok guru, atau ustaz-ustazah untuk memenuhi kecenderungan tersebut. Maka terdapatlah penceramah-penceramah yang menggunakan isu tersebut untuk membela dan seringkali mengutip derma untuk membantu institusi pondok dan sekolah agama rakyat.

 

Penceramah

Pada majlis-majlis ilmu tersebut, ustaz-ustaz dan tok-tok guru yang beri ceramah atau syarahan ialah mereka, yang pada kebiasaannya, berpendidikan dan lulusan dari timur tengah atau pun pondok-pondok yang kebiasaanya dari pantai Timur atau pun Utara Malaysia. Mereka pada kebiasaannya mempunyai identiti yang ketara, yaitu berjubah, berketayap atau berserban dan berjanggut.

 

Bahan Ceramah

Bahan ceramah yang biasa digunakan ialah kitab-kitab yang ditulis oleh ‘ulamak-ulamak’ dari timur tengah dan biasanya berbahasa Arab. Penceramah akan membaca teks-teks dan menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Maka para pendengar pun akan kagum dengan kefasihan penceramah dalam pemahaman bahasa Arab. Apa saja bahan yang asalnya dalam bahasa Arab dianggap baik dan tidak selalu diusul soal. Walau bagaimana pun jarang sekali bahan yang digunakan secara sepenuhnya datang dari Al-Quran secara terus. Kadang-kadang terdapat juga majlis pengajian Al-Quran, tetapi ianya hanya terhad kepada pengajian cara membacanya sahaja; tidak ke arah pemahaman isi maksud Al-Quran. Mengapa ? Mungkin kerana mereka yang menganggap diri mereka tok-guru tidak konfiden dengan pemahaman mereka sendiri tentang Al-Quran. Walau apa pun, Al-Quran tidak dikedepankan dalam majlis-majlis seumpama ini berbanding dengan tulisan-tulisan manusia termasuk hadith-hadith.

 

Mesej

Jadi, apakah mesej yang biasanya disampaikan ? Oleh kerana bahan-bahan yang digunakan ialah buku-buku yang ditulis oleh manusia, maka yang dibincangkan ialah pendapat yang ditulis oleh penulis yang berkenaan. Walaupun kadang-kadang ada ayat-ayat Al-Quran yang digunakan dalam hujah-hujah penulis, tetapi ianya masih berpusing di sekitar pendapat penulis itu - dan selalunya pendapat-pendapat akan menggunakan hadith-hadith sebagai penguat. Yang sedihnya, kadang-kadang ahadith didahulukan dan Al-Quran digunakan sebagai langkah terakhir sahaja.

Maka makin banyak sesi ceramah berbentuk ini, makin dekatlah manusia kepada tulisan dan pendapat manusia; tetapi makin lagi jauh manusia daripada mesej Al-Quran.

 

Hadith

Banyak juga terdapat kelas-kelas pengajian atau sesi-sesi tertentu yang menumpukan kepada ajaran hadith sahaja (biasanya dari Bukhari dan Muslim). Tidak semua 6000 lebih hadith yang dibacakan. Yang dibacakan ialah beberapa sahaja dan diulang berkali-kali. Tidak dibacakan mithalnya hadith (sahih) tentang syaitan tidur dalam jamban atau lubang hidung, hadith nabi cungkil biji mata dan sebagainya. Pada kebiasaanya penceramah atau tok-tok guru buat penterjemahan sendiri terhadap hadith-hadith tersebut. Sehinggakan apabila ada hadith yang jelas tidak rasional maknanya pada logik akal, maka ustaz-ustaz akan menterjemahkan perkataan-perkataan dalam hadith itu (mengikut pendapatnya) supaya beri maksud yang munasabah.

Ada sesetengah kumpulan yang membacakan hadith-hadith (yang tiada rujukan) dari buku-buku penulis, terutamanya daripada India, pada setiap kali selepas sembahyang terutamanya solat Fajr. Hadith-hadith dibacakan, biasanya dengan tujuan untuk mempromosikan cara hidup Nabi Muhammad, daripada cara pakaian, berjalan, bergosok gigi hinggalah cara hendak ke masjid. Pernah dibacakan cerita bagaimana seorang ulamak dahulu dapat melihat dosa jatuh bersama percikan air bekas ambil wudhu’.

Bukan setakat itu sahaja, status nabi ditinggikan sehinggakan sebagai contoh : Solat Jumaat (bagi mereka yang buat demikian) tidak sah tanpa khutbah, dan khutbah tidak sah kalau tidak disebut selawat ke atas nabi. Solat juga tidak sah sekiranya nama nabi Muhammad tidak disebut dalam rukun tahyat. Seolah-olah Tuhan dan nabi tidak dapat dipisahkan.

Sayang sekali tiada dibacakan cara nabi mengamalkan ajaran Al-Quran.

 

Pendengar

Para pendengar pada hemat saya adalah mereka yang tidak mendalami ajaran Al-Quran. Bagi mereka, ceramah-ceramah itulah yang beri mereka ilmu tentang Islam. Sesiapa yang tidak ‘mendengar’ seperti mereka, adalah tidak mempelajari Islam. Bagi mereka belajar ilmu Islam mestilah berguru dengan ustaz atau tok guru. Bergurukan dengan yang bertarafkan ulamak meninggikan lagi tahap ilmu. Mereka berpegang dengan satu hadith yang kononya mengatakan bahawa belajar agama tanpa berguru adalah bergurukan syaitan. Siapakah yang mentauliahkan status guru atau ulamak?

“Bacalah, dan Pemelihara kamu Yang Mulia, Yang mengajar dengan pena” (Al-Quran 96:3 – 4)

 

Al-Quran

Sejauh manakah Al-Quran diketengahkan dalam majlis-majlis seumpama ini? Pada hemat saya, amat sedikit sekali. Terlampau lebih banyak tumpuan diberikan kepada hadith-hadith dan kitab-kitab manusia. Al-Quran tinggal sekadar wajib dibaca dalam solat sahaja, itupun sekadar beberapa ayat sahaja. Sedangkan hadith, tarafnya diletakkan begitu tinggi sekali (tanpa disedar). Apa saja topik atau isu yang diceramahkan, hadith-hadithlah yang selalunya digunakan sebagai bukti dan penguat.

Rasul berkata, "Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang tidak dipedulikan." (Al-Quran 25:30)

 

Azahidi
Feb 2003


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman