Hadis Monyet, Rejam dan Guna Akal

 

Kerana ia terkandung di dalam kitab yang apabila dibelakangkan akan dihukum sesat, maka ia disiarkan di sini, dengan tanpa rasa malu fasal penulisnya tidak malu walaupun menghina Islam dan Nabinya. Ia yang dimaksudkan itu adalah karya seorang kesohor dalam dunia hadis Islam, bergelar Imam Bukhari, dan kitabnya, Sahih Al-Bukhari. Hadis dimaksudkan berbunyi,

SAHIH AL-BUKHARI, Jilid: 5, Hadis No:188, Riwayat: 'Amr bin Maimun :-
Pada masa jahiliyah iaitu sebelum Islam saya nampak seekor monyet betina dikelilingi beberapa ekor monyet. Kesemua mereka merejamnya, sebab ia telah berzina. Saya juga ikut rejam bersama mereka.

Jika monyet boleh dihukum berzina tentu ada di kalangan mereka dipanggil imam monyet. Hukum monyet tersebut adalah sebelum Islam, lalu timbul soalan, adakah golongan monyet masih rejam penzinanya selepas kemunculan Islam? 

Tentu ada beberapa soalan lagi yang boleh dibangkitkan daripada hadis tersebut. Sebab ia tidak masuk akal.

Lantaran itu, daripada sifat ingin tahu terbit pula pertanyaan sama ada hadis ada menyuruh manusia menggunakan akal atau otak, seperti terdapat di dalam Kitab Allah, al-Qur'an.

Justeru semua hadis daripada lima kitabnya yang terbesar di dunia, berjumlah 9500 kesemuanya, telah diimbas dengan beberapa perkataan berkaitan.

Hasil penyelidikan tersebut agak mengecewakan. Apa diperoleh adalah yang hampir dengannya sahaja, seperti dua diketengahkan di sini. Pertama ialah:

Riwayat: AbuHurayrah, Rujukan: SAHIH AL-BUKHARI, Hadis No: 4.699 :-
Utusan Allah (saw) bersabda, "Kamu lihat manusia berbeza sifat. Mereka yang paling baik semasa sebelum Islam adalah juga yang paling baik dalam Islam jika mereka faham pengetahuan agama...."

Memang memahami menggunakan otak tetapi di sini ia terhad pada pengetahuan agama sahaja. Walhal pengetahuan agama itu sendiri boleh dipersoalkan kesahihannya. Atau cara ia difahami dengan telan bulat-bulat tanpa akal diguna untuk penyelidikan lanjut.

Kedua, daripada salah sebuah kitab hadis teragung berbunyi:

Riwayat: Awf ibn Malik, Rujukan: ABU DAWUD, Hadis No: 3620 :-
Nabi (saw) beri satu keputusan di antara dua lelaki, dan orang yang keputusan tidak memihak kepadanya berpaling sambil berkata: Bagi aku Allah adalah mencukupi, dan Dia pelaksana urusan yang terbaik sekali.
Nabi (saw) bersabda: Allah, Maha Tinggi, menyalahkan atas apa yang tidak mengena, tetapi mengguna otak, dan bila perkara kalahkan kamu, katakanlah, Bagi aku Allah adalah mencukupi, dan Dia penentu urusan yang terbaik sekali.

Di sini kegunaan otak disebut tetapi disalahkan kerana tindakan atau sebutan yang lahir daripadanya tidak kena.

Oleh itu mungkin tidak salah jika berkata bahawa hadis tidak ajar atau menyuruh manusia yang mengikutinya supaya mengguna akal atau otak dengan menyeluruh. Tidak seperti al-Qur'an, misalan ayat berbunyi,

"Kami ciptakan untuk Jahanam banyak jin dan manusia; mereka mempunyai hati (otak), tetapi tidak memahami dengannya; mereka mempunyai mata, tetapi tidak melihat dengannya; mereka mempunyai telinga, tetapi tidak mendengar dengannya. Mereka adalah seperti binatang ternak; tidak, tetapi mereka lebih jauh sesat" (7:179).

Melencong sejenak untuk memperkatakan sedikit mengenai hati. Hati dalam bahasa Arab lazimnya diertikan kepada otak. Kebelakangan ini hati (atau jantung dalam sains Melayu) telah didapati berfikir juga melalui satu kajian, yang penulis tidak tahu sama ada ia diterima umum. Apapun ia (hati) diterima sebagai alat berfikir kedua bagi manusia oleh penyelidik berkenaan. Sila betulkan penulis di sini.

Petikan ayat al-Qur'an mengenai suruhan mengguna akal disambung dengan tiga ayat berikut:

"Sesungguhnya seburuk-buruk haiwan pada pandangan Allah ialah orang-orang yang pekak, dan bisu, dan tidak faham (tidak menggunakan akal)" (8:22).

"Atau, kamu sangka kebanyakan daripada mereka mendengar atau memahami? Mereka, tidak lain, adalah seperti binatang ternak; tidak, mereka lebih jauh sesat daripada jalan" (25:44).

"Tiadalah bagi sesuatu jiwa untuk percayai, melainkan dengan izin Allah, dan Dia letak kotoran ke atas orang-orang yang tidak faham (tidak guna akal)" (10:100).

Sila lihat Otak dan akal perlu diguna. Terima kasih.

Kembali kepada monyet dan rejam. Hadis rejam didapati banyak, kira-kira 100 jumlahnya. Kekadang semasa membaca hadis-hadis tersebut kelihatan penulis-penulisnya seakan sadis.

Paling hina sekali apabila hukum rejam bagi penzina dikatakan terkandung di dalam Kitab Allah. Beberapa buah hadis menyebutnya, dan dua daripadanya diberitakan di sini. 

Pertama, hadis yang telah dipendekkan kerana terlalu panjang. (Teks lengkap, dalam bahasa Inggeris, dapat dibaca di sini):-

Riwayat: Abdullah ibn Abbas, Rujukan: SAHIH AL-BUKHARI, Hadis No: 8.817 :-
Allah utus Muhammad (saw) dengan yang Benar dan mewahyukan Kitab Suci kepadanya. Antara yang Allah wahyukan ialah Ayat Rejam (melontar batu kepada orang berkahwin (lelaki atau perempuan) yang melakukan persetubuhan haram, dan kita baca Ayat ini dan faham dan menghafalnya. Utusan Allah (saw) telah melaksanakan hukuman melontar dan juga kita selepasnya.

Saya khuatir bahawa selepas jangka masa lama seseorang akan berkata, 'Demi Allah, kita tidak jumpa Ayat Rejam di dalam Kitab Allah' dan lantas mereka jadi sesat kerana tinggalkan suatu kewajipan yang Allah telah wahyukan.

Kedua, seperti berikut:

Riwayat: Umar ibn al-Khattab, Rujukan: AL-MUWATTA, Hadis No: 41.1.8 :-
Merejam adalah di dalam Kitab Allah bagi mereka yang melakukan zina, lelaki atau perempuan ketika mereka muhsan (berkahwin) dan apabila terdapat bukti jelas atau mengandung atau pengakuan.

Kalau orang yang memahami pengetahuan agama seperti diberi itu tentu dia akan percaya bahawa hukum rejam ke atas penzina boleh didapati di dalam al-Qur'an. Tetapi bagi orang yang menggunakan akal dengan lebih terbuka dia akan semak kandungan al-Qur'an dan dia akan dapati hukum tersebut tidak ada di dalamnya, lalu dia akan berkata, dengan tanpa takut dipanggil sesat, bahawa hadis telah menipu manusia.

Namun begitu, hukum rejam ada disebut di dalam al-Qur'an, tetapi bukan ke atas penzina, dan tidak diguna oleh orang-orang yang percaya kepada Allah. Ia diguna oleh orang-orang kafir ke atas orang-orang beriman seperti Shuaib seorang Rasul, pemuda-pemuda di Gua, Nabi Ibrahim, Nabi Nuh, utusan-utusan Allah, dan ayat terakhir di bawah ini, menyatakan rejam adalah hukum Firaun:

"Mereka berkata, 'Wahai Shuaib, kami tidak banyak memahami apa yang kamu kata. Sesungguhnya kami lihat kamu lemah antara kami; tetapi, jika tidak kerana kumpulan kamu, tentu kami rejam kamu, dan kamu tidaklah kuat terhadap kami.'" (11:91)

"Jika mereka tahu mengenai kamu, mereka akan rejam kamu, atau kembalikan kamu kepada anutan mereka, kemudian kamu tidak akan beruntung selama-lamanya." (18:20)

"Berkatalah dia, 'Apa, adakah kamu undurkan diri daripada tuhanku, wahai Ibrahim? Sungguh, jika kamu tidak berhenti, aku akan rejam kamu; maka tinggalkanlah aku untuk beberapa waktu.'" (19:46)

"Mereka berkata, 'Jika kamu tidak berhenti, wahai Nuh, pasti kamu akan jadi antara orang-orang yang direjam.'" (26:116)

"Mereka berkata, 'Kami meramalkan yang buruk daripada kamu. Jika kamu tidak berhenti, kami akan rejam kamu (dua utusan Allah), dan akan menimpa kamu, daripada kami, azab yang pedih.'" (36:18) dan,

"Dan aku berlindung pada Pemeliharaku dan Pemelihara kamu, khuatir kalau-kalau kamu merejam aku (Musa)." (44:20)

Maka jelas al-Qur'an tidak mengandungi hukum rejam ke atas penzina lelaki mahupun perempuan.

Meskipun begitu sifat hadis ia tetap diimani oleh kebanyakan orang Islam. Sebabnya sukar diduga. Mungkin kerana takut, atau kasih sayang, atau mungkin kerana mereka percaya sembahyang mereka dan keperinciannya datang dari hadis. Mungkin juga ada sebab-sebab lain.

Sedikit mengenai sembahyang sebelum tamat. Terdapat lebih daripada 1300 hadis mengenai sembahyang. Antaranya tidak diikuti oleh orang-orang yang percaya kepadanya. Sebagai contoh ialah hadis di bawah ini:

Riwayat: Aisha Ummul Mu'minin, Rujukan: Al-Muwatta, Hadis No: 8.7.24 :-
Utusan Allah (saw) selalu sembahyang duduk. Baginda akan membaca sedang duduk, dan kemudian, apabila tinggal lagi kira-kira tiga puluh atau empat puluh ayat yang dibacanya, baginda akan berdiri dan membaca berdiri dan kemudian pergi kepada rukuk dan sujud.
Baginda akan buat sama bagi rakaat kedua.

Hadis sembahyang duduk riwayat Aisha itu mengakhiri makluman di halaman ini.


Penulis Bacaan
30.5.07


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman