Bebas

 

 

Saudara, artikel ini merupakan pendapat saya melalui pembacaan beberapa bahan bacaan. Mungkin boleh dirumuskan sebagai kecelaruan fikiran ulamak jadikan hadis Rasulullah sebagai ikutan adalah tidak wajar. Namun ini hanyalah merupakan pendapat saya secara individu.

Bila ada ulamak yang mahu menegakkan negara Islam mengikut perjuangan Rasulullah s.a.w, ramai antara kita teruja dan ingin berserta dengan mereka atas nama Islam. Namun ianya beri implikasi yang besar untuk kita laksanakan. Implikasi yang dimaksudkan di sini ialah alim ulamak ini menterjemahkan negara Islam yang mereka ingin dirikan adalah seperti di zaman Rasulullah s.a.w atau tiga generasi terakhir selepas pemerintahan Rasulullah.

Ini adalah sesuatu yang dianggap mustahil untuk dilakukan kerana demografi tanah arab itu adalah teramat jauh berbeza dari lingkungan negara kita. Islam yang baru mula berkembang waktu itu masih dapat Rasulullah s.a.w pantau masyarakatnya dari menghampiri perkara yang kurafat. Tidak berlaku pergeseran politik dan wilayah pentadbiran Rasulullah s.a.w masih belum terlalu luas (hanya selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, sahabat-sahabat menyebarkan Islam secara besar-besaran) Bagaimana tidak kita terpaksa lari dari cara perlaksanaan mengikut garis panduan Rasulullah s.a.w memerintah. Adakah permulaan untuk mengikut sunah nabi adalah dengan memakai dan berbudaya seperti orang Arab? Bagaimana pula kita mahu tentukan ketulenan budaya Arab yang sebenar? Ini kerana ada tidak budaya Arab itu sediri telah berasimilasi dengan pengaruh Iran, Parsi dan negeri-negeri yang ditawan para sahabat Rasulullah s.a.w (selepas kewafatannya) dalam menyebarkan Islam. Bukankah satu proses yang rumit dan ambil masa pula untuk mengkaji bagi mencorakkan kembali budaya Arab (mengikut sunah nabi) yang sejati agar kita benar-benar mengikut sunah dan hadis Rasulullah s.a.w.

Tidak berniat untuk memperlekehkan hasil kerja Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan mereka yang banyak berjasa dalam merekodkan hingga beribu-ribu hadis ini. Malahan saya amat kagum dengan kegigihan mereka ini namun sumbangan mereka ini telah tanpa mereka sedari beri impak yang besar kepada umat Islam hari ini. Kita semua adalah lebih cenderung memahami hadis-hadis yang direkodkan tanpa mahu cuba mencari tafsiran terperinci, menyaring, mengkaji fakta kaitan hadis itu berkenaan. Akibat dari (sila baca: kita) tidak ambil latar belakang sejarah mengenai sesuatu hadis itu maka banyak tafsiran yang kurang tepat dan tidak kurang hadis-hadis palsu yang turut terselit bersama pun tidak dapat kita bezakan. Lantas (baca: kita) hanya ambil apa yang tersurat dalam hadis (cuba pula menyesuaikan dengan situasi kehidupan hari ini) tanpa mengetahui sejarah (yang tersirat) dari setiap sabda Rasulullah s.a.w. ambil contoh hadis Rasulullah s.a.w berkenaan wanita yang bermusafir tanpa ditemani muhrim.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibn Abbas dan lainnya menyebut bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Seorang perempuan janganlah musafir kecuali bersama-sama dengan lelaki yang jadi muhrimnya.”

Bukankah jika kita meneliti maksud kandungan hadis ini Rasulullah s.a.w menegaskan larangan perempuan bermusafir tanpa muhrimnya, dan perbuatan itu jika dilakukan adalah pelanggaran terhadap hukum. Namun apabila kita menyelongkar tentang sejarah di zaman awal pemerintahan Rasulullah s.a.w adalah tidak begitu selamat kerana umat Islam masih mempunyai banyak musuh dan perjalanan itu sendiri menggunakan unta atau keldai. Disamping menempuh padang pasir yang luas, sunyi dan dibimbangi gangguan binatang buas dan penjenayah. Beredar pula ke zaman para sahabat di mana keadaan mulai beransur baik berikutan akhlak mereka semakin terdidik kerana pendedahan kepada Islam dan jenayah juga berkurangan. Keadaan masyarakat di zaman sahabat telah selamat. Dan begitu juga yang berlaku kepada kita hari ini, dengan kecanggihan sistem pengangkutan, telekomunikasi, infrastruktur dan teknologi yang berkembang pesat adalah amat jauh berbeza dari keadaan di zaman Rasulullah s.a.w. Jika pendokong hadis menerima ini dengan kewajaran berfikir, jelaslah kepraktikan hadis ini tidak sesuai dalam era masa kini. Namun kepercayaan yang membuta tuli terhadap hadis haruslah dielakkan dalam budaya kita di Malaysia.

Mungkin adalah baik untuk menyelusuri sejarah penulisan hadis. Rasulullah s.a.w sebenarnya menghalang keras kepada para sahabat yang mahu merekod segala ucapan dan perlakuan baginda sewaktu hidupnya. Ini dapat kita perolehi di dalam hadis Muslim yang diriwayatkan oleh Abi Sa’id al-Khudri;

“Janganlah kamu sekalian menulis (al-sunnah) daripada aku. Barang siapa menulis daripada aku selain al-Quran maka hapuskanlah. Akan tetapi kamu sekalian riwayatkanlah hadis daripadaku. Hal in tidak mengapa.” 

Abu Sa’id al-Khudri juga telah berusaha untuk mendapatkan kebenaran menulis hadis namun Rasullulah menolak untuk beri kebenaran. Berikut riwayat mengenai Abu Sa’id yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah. “Rasulullah s.a.w keluar menemui kami, pada saat kami menulis hadis-hadis. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: “Apakah yang kamu tulis ini?” Kami menjawab: “Hadis-hadis yang kami dengar daripada Tuan.” Maka Baginda jelaskan: “Itu bererti ada kitab lain selain Kitabullah! Apakah kalian tahu bahawa umat-umat sebelum kamu tidak akan jadi sesat melainkan disebabkan buku-buku yang mereka tulis bersama-sama dengan Kittabullah.”

Larangan ini merupakan ketetapan Rasullullah s.a.w. Ini beri gambaran jelas bahawa Rasulullah s.a.w memandang serius akan bahayanya di masa akan datang. Maka hadis-hadis waktu itu mesti dihapuskan. Abu Hurairah dan sahabat-sahabatnya diancam dengan berlakunya kesesatan sama dengan umat terdahulu. Abu Bakar yang menulis sampai 500 sunah Rasulullah s.a.w juga kemudiannya membakar kesemuanya. Umar juga menghadapi dilema lalu pertimbangkan bersama tokoh-tokoh masyarakat dan ulama akhirnya memutuskan untuk membenarkan hanya satu kitab saja supaya umat Islam tidak jadi sesat kerana wujudnya dua kitab pada masa yang sama. Maka jadi dasar rasmi negara mengenai larangan penulisan hadis dipertahankan semasa pemerintahan khalifah. (Diingatkan penulisan hadis hanya berlaku selepas zaman pemerintahan berkhalifah)

Gerakan pemalsuan hadis bermula ketika keadaan politik mengalami kekacauan, perang al-Jamal, Siffin dan peristiwa tahkim berlaku, umat berbalah sesama sendiri dan membentuk puak-puak tertentu. Memalsukan hadis bertujuan untuk menyokong pendapat politik puak masing-masing seperti khawarij, syiah, murjiah dan sebagainya. Selain itu, puak-puak yang taksub terhadap mazhab individu juga berlaku. Segala inilah yang menyebabkan sunnah terancam dan tercemar.

Mungkin sebenarnya Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan sebagainya bukannya tidak sedar adanya hadis-hadis yang ditulis saling bertentangan seperti ada hadis Rasulullah membenarkan penulisan hadis dan ada pula yang sebaliknya. ambil contoh Rasulullah membolehkan Abdullah Ibn Amar Bin Al-As untuk mencatit hadis dan surat-surat yang beliau tulis. Mungkin persoalan disebaliknya adalah menekankan tentang kebenaran kata-kata nabi dan fakta rasmi yang bimbang diselewengkan.

Begitu juga dengan pernyataan Umar al-Khattab yang membenar dan tidak membenarkan adalah saling bertelingkah. Mungkin pernyataan (direkodkan riwayat Umar r.a mengatakan hadis dari Rasulullah s.a.w) Umar al-Khattab membenarkan kerana beliau mahu (menggunapakai) menguatkan hujahnya (saya kira tidak salah kerana Umar al-Khattab masih mentadbir wilayah yang sama dengan masyarakat yang sama (sbg cth: jika kita menulis sesuatu penulisan displin, rujukan dari tokoh-tokoh tertentu dibuat utk menguatkan hujah), malahan Umar al-Khattab hidup dan terdidik secara langsung dari Rasulullah tentunya penggunaan hukum masih bersesuaian. Namun melihat pada zaman akhir pemerintahan Umar al-Khattab, berlaku sebaliknya. Jika kita selusuri Umar al-Khattab dalam riwayatnya telah menambahkan hukuman 80 sebatan ke atas peminum arak dan separuh daripadanya kepada golongan hamba, menyalahi hukum dalam hadis Rasulullah sendiri. Jika kita hanya membaca hadis secara langsung tanpa mengetahui natijah sebenar Umar al-Khattab menetapkan hukuman baru tentunya kita melihat Umar al-Khattab sebagai tidak taat kepada nabi. Adakah Umar al-Khattab telah mengingkari hadis Rasulullah s.a.w ?

Bagi masyarakat Islam hari ini pula yang kurang bijak mentafsir atau memahami terus menganggap hadis ini wajib ditaati, diikuti dan dipratikkan. Sedangkan Rasulullah s.a.w menetapkan hukum yang sesuai di zaman Baginda dan seterusnya Abu Bakar menerima pakai. Namun semasa zaman akhir khalifah Umar al-Khattab, nilai-nilai sosial yang berkembang semakin tidak sihat. Berlakunya jenayah minum arak yang berleluasa pada seluruh lapisan masyarakat (hamba juga turut berani). Ketetapan hukum jenayah minum arak pada masa Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar tidak dapat dipertahankan di masa akhir khalifah Umar r.a. Maka itulah yang terpaksa Umar al-Khattab lakukan seperti di atas.

Kebimbangan Umar al-Khattab terhadap penulisan hadis saya kira telah pun berlaku. Sikap umat Islam jadi pemalas, keruntuhan akhlak dan moral serta jenayah. Sepatutnya kita tidak mengalami segala itu kerana kita cukup kuat dengan adanya hadis dan al Quran. Hati kita masih tidak terkesan walaupun ada hadis-hadis Rasulullah s.a.w antaranya mengandungi ancaman azab api neraka (sebab pernyataan ulamak melalui hadis yang mengatakan lepas masuk neraka seseorang tu akan masuk syurga juga akhirnya). Kita telah lalai dan mengalpakan tanggung jawab kepada diri sendiri dengan menyerahkan cara peraturan hidup kepada alim ulamak. Maksudnya di sini, kita terpaksa berserah diri dipandu oleh ulamak. Dan ulamak pula saling berbeza pendapat dan fahaman mengikut hadis yang mereka percaya (kerana kecelaruan hadis-hadis yang beragam) lalu membentuk mazhab. Maka setiap mazhab menggunakan ijtijihad masing-masing membentuk cara hidup puak masing-masing. Lantaran itu, dalam mazhab Shafei anjing adalah haram dan berbeza dalam mazhab Maliki. Begitu juga dengan sebuah mazhab yang tidak makan ketam, sotong, kerang ianya tidak bersalahan dalam mazhab Shafei dan banyak lagi perbezaan di antara mazhab-mazhab ini. Namun jika kita hanya merujuk al Quran sebagai satu-satunya sumber rujukan, kita akan jadi umat yang satu dan tidak menganggap diri sendiri (kepercayaan mazhab) adalah lebih baik dari kepercayaan orang lain (yang turut merasakan kepercayaannya adalah lebih baik lagi). Sedangkan al Quran itulah satu-satu sumber rujukan bukan diagungkan sekadar meletak di tempat tinggi (teringat masa kecik, lepas habis baca Quran mesti kucup dan junjung 3x).

Kesannya sudah dapat dilihat hari ini, menganggap segala yang diluar keagamaan itu adalah sekular. Mempelajari ilmuan (yang dianggap duniawi) adalah sekular. Mempelajari bahasa inggeris adalah sekular (hendak menyaman pula kerana tidak mengikut akta negara: lainlah memang termaktub al Quran mengharamkan bahasa inggeris) Belajar sains, muzik, geografi, falsafah, astronomi, kajicuaca, perundangan sivik dan segala macam ilmu adalah sekular. Kesemuanya adalah sekular (haram) dan kita hanya patut melagu, mendendang (al Quran), patuh pada sunah dan hadis juga menerima pendapat ulama (ahli sunnah wal-jamaah) yang dikatakan satu-satunya golongan yang akan masuk syurga, 72 golongan yang lain akan ke neraka (antara hadis yang popular). Saya kira perkataan jamaah itu sendiri telah diselewengkan atas pengaruh politik kerana Rasulullah s.a.w tidak merujuk kepada mana-mana golongan sebaliknya mereka yang mengikut al Quran dan hadis (perkataan nabi di dalam al Quran) tapi telah diertikan oleh puak sunni sebagai golongan ahli sunah wal-jamaah SAHAJA.

Perubahan ketetapan hukum ini sebenarnya adalah perlu melihat kepada lingkungan sosio-budaya dua zaman yang berbeza. Tidak mungkin kita mampu jadi masyarakat seperti di zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w kerana ketika itu sahabat-sahabat terdidik dengan akhlak yang mulia secara terus dari Rasulullah s.a.w. Begitu juga dengan tiga generasi selepas Rasulullah, mereka amat bersederhana dengan kefahaman Islam yang baik. Inilah kesukaran yang dilihat jika ulamak hari ini mahu bersungguh-sungguh ingin  mencapai kegemilangan seperti semasa pemerintahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat dengan menggunapakaikan (berpandukan) hadis dan sunah Rasulullah s.a.w. Ulamak (baca: kita) menyatakan segala hadis dan sunah adalah doktrin yang perlu dipegang dan diguna pakaikan.

Dengan penjelasan ini, harapan setiap antara kita tidak terus taksub kepada hadis tanpa hujung pangkal dan berani pula mengkafirkan sesama sendiri hanya kerana kepercayaan yang tidak serupa. Sesungguhnya keutamaan kita adalah lebih patut kepada al Quran yang kandungannya seiring melewati zaman-berzaman tanpa pertikaian. Bukan mempertikaikan hadis dan sunah nabi kerana hukum yang Rasulullah s.a.w gunakan adalah bersesuaian dengan sosio-budaya di zaman Baginda. Peraturan adalah dicipta mengikut situasi pada masa itu berpandukan al Quran. Adakah keadaan masyarakat negara ini sudah seperti telur dihujung tanduk sehingga terpaksa meminjam hukum para sahabat Rasulullah s.a.w. Adakah kita benar-benar sudah seperti bangsa Arab yang menceraikan isteri sehingga ada yang mencecah 1000 kali (sehingga Rasulullah s.a.w terpaksa menggunakan 3 kali talak sebagai persamaan ganti 1) Adakah perbuatan mencuri boleh terus disabitkan terus potong tangan tanpa bertangguh-tangguh. Adakah tidak bertudung dianggap tidak menutup aurat ? Wanita dinafikan hak ? dan seribu satu soalan lagi.

Ditegaskan sekali lagi, bukan hendak menolak hadis. Cuma kepentingannya adalah lebih baik jadi panduan. Kehidupan kita hari ini semakin berkembang lantaran teknologi demi teknologi. Orang bukan Islam terutamanya dari barat telah lama menggunapakaikan al Quran untuk kemajuan hidup. Sedangkan kita ambil hadis dan sunah nabi bersama al Quran. Hal ini menyebabkan kita tidak dapat bergerak ke mana-mana kerana masalah yang kita hadapi hari ini tidak mungkin serupa dengan masalah di zaman Rasulullah s.a.w. Jelasnya Rasulullah mengunakan kaedah yang bersesuaian mengikut kehidupan hariannya. Tidak cukupkah al Quran itu untuk kita perhatikan mesejnya.

Kita mengetahui kehebatan al Quran melalui kajian saintis-saintis, para doktor dan pengkaji. Mereka dapat manfaat dan memakmurkan negara mereka dengan penciptaan-penciptaan yang mengkagumkan, yang kemudian setelah ulamak merujuk beribu-ribu hadis dan membuka kitab-kitab ulamak-ulamak silam barulah ciptaan baru itu dibenarkan dalam Islam. Itu yang berlaku ketika mesin fotostat mula diperkenalkan, lampu dan mikrofon hendak digunakan dalam surau, kereta dan banyak lagi. Sudahlah kita tidak mampu untuk mencipta tetapi bersikap angkuh pula untuk menerima sebagai sebahagian dari tuntutan kehidupan. Akhirnya kita jadi Islam yang lemah dan berdoa, berdoa, berdoa dan terus berdoa mengharapkan kedatangan Imam Mahadi dan Nabi Isa untuk segera menegakkan negara Islam dan kembalikan kegemilangannya. Ramai antara kita tidak tahu fahaman menunggu kedatangan Nabi Isa itu adalah pegangan Kristian dan cara mereka untuk mempercepatkan kedatangan itu adalah dengan membunuh orang Muslim beramai-ramai, kurang orang Muslim cepat Nabi Isa turun.

Jika dikatakan tanpa hadis kita tidak mungkin mengetahui cara mendirikan solat, kerjakan haji, berkelakuan baik dengan ibu bapa, menjaga adab dan banyak lagi. Semuanya jelas ada di dalam al Quran tanpa kekeliruan melampau seperti yang berlaku di dalam hadis. Sebaliknya membaca kesemua kitab hadislah yang menemukan kita berbagai ragam dan cara untuk kerjakan solat. Tidak bersalahanlah al Quran itu lengkap dengan segala peraturan kehidupan dunia dan akhirat.

 

Diterima tanpa nama pada 29 Disember 2005.


Artikel / English Articles
Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman