Anda Rasul pada hari ini?
Memang benar siapa sahaja boleh digelar Rasul asal saja tugasnya sebagai seorang utusan. Al-Qur'an ada menyebut mengenai seorang utusan, atau Rasul, yang berkhidmat kepada seorang Raja. Ia disebut di dalam ayat berbunyi,
"Raja berkata, 'Datangkanlah dia (Yusuf) kepadaku.' Apabila rasul (utusan) datang kepadanya (Yusuf), dia berkata, 'Kembalilah kepada pemelihara kamu, dan tanya dia, 'Bagaimanakah dengan perempuan-perempuan yang memotong tangan mereka?' Sesungguhnya Pemeliharaku tahu muslihat mereka.'" (12:50)
Justeru Rasul tersebut mungkin boleh digelar Rasul Raja. Pada hari ini pula, gelaran Rasul Perdana Menteri atau Rasul Pejabat Tanah mungkin boleh dipakai untuk orang-orang yang berkhidmat sebagai utusan daripada Perdana Menteri atau utusan daripada Pejabat Tanah.
Rasul atau utusan seperti itu tidak dipanjangkan lagi sebutannya di sini, kerana terdapat, walaupun gelaran yang serupa, tetapi bagi orang-orang yang lebih besar darjatnya di sisi Allah. Mereka adalah Rasul-Rasul Allah, dan gelaran itu tidak terbuka kepada siapa sahaja yang ingin menjawat jawatan tersebut.
Jawatan tersebut adalah milik orang-orang yang dipilih Allah. Firman-Nya,
"Allah pilih daripada para malaikat Rasul-Rasul, dan daripada manusia; sesungguhnya Allah Mendengar, Melihat." (22:75)
Mereka kemudiannya diutus kepada manusia, dan kerasulan mereka memadai dengan disaksikan Allah sahaja. Firman-Nya lagi,
"Dan Kami utus kamu kepada manusia sebagai Rasul, dan cukuplah Allah jadi saksi." (4:79)
Rasul-Rasul yang dipilih Allah selanjutnya mengisytihar kepada manusia bahawa mereka adalah Rasul Pemelihara semua alam. Demikianlah difahamkan daripada ayat,
"Dan Kami utus Musa dengan ayat-ayat Kami kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya, dan dia berkata, 'Sesungguhnya aku adalah Rasul Pemelihara semua alam.'" (43:46)
Itu Nabi Musa, yang Allah telah berkata-kata kepadanya secara langsung, lalu mengetahui bahawa baginda adalah seorang Rasul Allah. Selain baginda, terdapat lagi Rasul-Rasul lain yang buat demikian. Mereka adalah seperti berikut:
"Berkata (Nuh), 'Wahai kaumku, tidak ada kesesatan padaku; tetapi aku adalah seorang Rasul daripada Pemelihara semua alam." (7:61)
"Berkata (Hud), 'Wahai kaumku, tidak ada kebodohan padaku; tetapi aku adalah seorang Rasul daripada Pemelihara semua alam." (7:67)
Beberapa contoh lagi diturunkan di bawah:
"Aku (Salleh), bagi kamu, adalah seorang Rasul yang dipercayai." (26:143)
"Aku (Lut), bagi kamu, adalah seorang Rasul yang dipercayai," (26:162)
"Aku (Shuaib), bagi kamu, adalah seorang Rasul yang dipercayai," (26:178)
Dan Rasul-Rasul lain tentu telah kata yang sama tetapi tidak diceritakan di dalam al-Qur'an kerana antara mereka memang tidak diceritakan. Firman Allah,
"Kami telah utus Rasul-Rasul sebelum kamu; antara mereka, Kami ceritakan kepada kamu, dan antara mereka, Kami tidak ceritakan kepada kamu." (40:78)
Mereka mengetahui bahawa mereka adalah Rasul melalui wahyu. Seperkara yang harus diingat iaitu bukan sahaja para Rasul yang diwahyukan-Nya malah terdapat juga pengikut-pengikut mereka, seperti pengikut-pengikut Nabi Isa yang diceritakan ayat berikut:
"Dan ketika Aku wahyukan pengikut-pengikut yang setia, 'Percayalah kepada-Ku, dan Rasul-Ku'; mereka berkata, 'Kami percaya, dan saksilah Engkau akan kemusliman kami.'" (5:111)
Dengan itu, apa sahaja yang Allah ingin sampaikan kepada manusia (termasuk perlantikan Rasul), Dia akan wahyukan kepada mereka, dan wahyukan melalui beberapa pendekatan seperti disebut ayat berbunyi,
"Tiadalah bagi seseorang manusia, bahawa Allah berkata-kata kepadanya, melainkan dengan wahyu, atau dari belakang tabir, atau Dia utus seorang Rasul (malaikat), dan dia wahyukan apa sahaja Dia hendaki dengan izin-Nya; sesungguhnya Dia Tinggi, Bijaksana." (42:51)
Maka adakah orang-orang yang agak ramai yang menganggap diri-diri mereka sebagai Rasul pada hari ini, di negara ini, adalah mereka yang diwahyukan Allah atas jawatan tersebut yang dipilih-Nya sendiri. Selanjutnya, adakah mereka mengisytihar kepada orang ramai bahawa mereka adalah Rasul-Rasul yang dipercayai, daripada Pemelihara semua alam?
Atau, kita boleh bertanya kepada mereka, "Anda Rasul pada hari ini?" sedangkan al-Kitab sudah berada lama dengan kita, iaitu Kitab yang harus dibawa mereka. Pertanyaan disambung "Adakah mesej selain mesej al-Kitab yang ada ini anda bawa?"
Allah disanjung!
Penulis Bacaan
26 Julai 2011
Artikel /
English
Articles
Halaman Utama Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada
Pengurus Laman