Anak Luar Nikah dan Zina
Dipanggil oleh seorang sahabat untuk menulis tajuk anak luar nikah yang kesnya, pada hemat beliau, sudah menular dalam masyarakat kita. Kebimbangan yang ditunjukkan adalah benar kerana menurut sebuah laporan bilangannya memang banyak. Laporan yang dimaksudkan berbunyi,
"Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM."
- http://berita-harian-online.com/statistik-anak-luar-nikah-di-malaysia/
Ini bermakna secara purata, sebanyak 7744.5 kes anak luar nikah (orang Islam) direkodkan pada setiap tahun, atau 645.4 sebulan, atau 21.5 kes sehari dalam tempoh tersebut.
Anak luar nikah ditakrif sebagai anak tidak sah taraf, dalam undang-undang negara. Keterangan lanjut mengenainya dapat dibaca daripada laporan di atas juga, seperti berikut:
"Di Malaysia, anak luar nikah dalam maksud pendaftaran kelahiran terdiri daripada kanak-kanak yang dilahirkan oleh pasangan ibu bapa yang tidak berkahwin tetapi maklumat dimasukkan ke dalam daftar dan sijil kelahiran. Pendaftaran tersebut dibuat di bawah peruntukan pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf.
Ada sesuatu yang luar biasa pada sijil kelahiran anak tidak sah taraf. Nombor sijil yang lazimnya tertera di bahagian kanan dokumen, dicetak di bahagian bawah. Ini menunjukkan bahawa pemiliknya tidak tahu ayah kandungnya."
Sijil Kelahiran anak luar nikah sengaja dijadikan berbeza (supaya semua orang tahu statusnya). Ayah kandungnya dicatatkan sebagai tidak tahu, atau undang-undang tidak mahu tahu, iaitu satu tindakan yang dianggap naif. Lalu anak itu tidak dibin atau dibinti dengan nama ayah kandung. Itu merupakan satu langkah kurang bersifat kemanusiaan pula, kerana akan membuatnya hina seumur hidup, bermula dari bangku sekolah.
Untuk mengelak penghinaan, sesetengah ibu bapa kandung ambil keputusan membuang anak mereka, misalan ke dalam tong sampah. Mungkin ada juga masalah lain. Apapun masalah yang menimpa, namun masyarakat atau undang-undang yang perihatin tentu dapat mengatasinya dengan membantu agar nyawa anak yang tidak berdosa dapat diselamatkan.
Disyaki undang-undang tersebut dipengaruhi kuasa agama bersifat tidak acuh terhadap ajaran Allah yang terkandung di dalam al-Qur'an. Sesungguhnya, Allah tidak menghukum anak tidak berdosa itu. Dia tidak beri gelaran buruk seperti anak luar nikah atau anak tidak sah taraf, dan tidak juga menyuruh supaya tidak dibin atau dibinti menurut nama ayah kandung. Sebaliknya, dengan mengambil iktibar daripada ayat mengenai anak angkat, semua anak harus dibin atau dibinti dengan nama bapa kandung. Ayat berkenaan berbunyi,
"Dan tidak juga Dia buatkan anak-anak angkat kamu sebenarnya anak-anak kamu ... Serulah (panggil) mereka mengikut bapa-bapa mereka yang sebenar; itu lebih adil di sisi Allah. Jika kamu tidak tahu siapa bapa-bapa mereka, maka mereka adalah saudara-saudara kamu dalam agama, dan peliharaan" (33:4-5).
Dan kes Nabi Isa, yang dilahir tanpa bapa. Allah memanggilnya dengan nama Isa putera Mariam, atau Isa bin Mariam - dibinkan dengan nama ibu kerana ketiadaan bapa. Ayat-ayat yang menyebut nama tersebut ialah:
2:87, 2:253, 3:45, 4:171, 5:46, 5:78, 5:110, 5:114, 5:116, 19:34, 33:7, 57:27, 61:6 dan 61:14.
Kesemuanya berjumlah 14. Bukan sahaja Allah yang memanggilnya Isa putera Mariam, malah orang-orang kafir di sekelilingnya juga menggunakan nama tersebut (4:157), dan tidak ketingalan pengikut-pengikut yang setia (5:112).
Baginda juga dipanggil dengan nama al-Masih putera Mariam. Ia disebut sebanyak 6 kali di dalam 5 ayat al-Qur'an, tiga oleh Allah dan tiga lagi oleh orang kafir termasuk Kristian.
Selain dua yang telah disebut, Nabi Isa turut dipanggil Allah, sebanyak 2 kali, dengan nama putera Mariam. (Sila rujuk Isa di bahagian Kalimat Pilihan untuk penjelasan lanjut atas segala yang dibentang mengenainya di sini. Terima kasih.)
Dengan jumlah ayat Allah begitu banyak, tidakkah patut dijadikan petunjuk bahawa setiap anak berhak atau wajib diberi bin atau binti, dengan atau tanpa bapa kandung?
Kembali kepada anak angkat. Dengan tersebutnya tentang anak angkat, maka disyorkan supaya masyarakat yang perihatin dapat menerima serta menolong anak-anak yang malang itu untuk dijadikan anak-anak angkat. Amalan itu dipercayai mampu memberhentikan mereka daripada dibuang ke dalam tong sampah.
Seperti sudah disebut, Allah tidak menghukum anak yang dikeji itu. Segala hukum agama yang wujud ke atasnya, selain daripada yang dimaklumkan, adalah juga hanya rekaan manusia, iaitu mereka yang cuba menggunakan kuasa untuk menguasai segala sesuatu, semacam Tuhan yang berkuasa atas segala sesuatu.
Allah hanya menghukum ibu dan bapa anak yang dilabel luar nikah. Hukumannya bukan dilontar hingga mati, seperti hukuman rekaan manusia, tetapi disebat, lalu mereka dapat terus hidup dan memelihara anak yang dikasihi, atau dia tidak jadi beban kepada orang lain.
Anak bergelar luar nikah lahir daripada perbuatan zina. Zina adalah lawan bagi apa yang dikatakan "ikatan perkahwinan", seperti disebut di dalam ayat-ayat berikut:
"... Dihalalkan bagi kamu, selepas yang demikian itu, adalah bahawa kamu cari, dengan mengguna harta kamu, dalam ikatan perkahwinan, bukan dalam zina." (4:24)
"... Maka kahwinilah mereka dengan izin keluarga mereka, dan beri mereka upah mereka dengan baik sebagai wanita-wanita dalam ikatan perkahwinan, bukan dalam zina, atau ambil sebagai teman rahsia," (4:25)
"Pada hari ini, benda-benda yang baik dihalalkan bagi kamu, dan makanan orang-orang diberi al-Kitab adalah halal bagi kamu, dan dihalalkan bagi mereka, makanan kamu. Begitu juga wanita-wanita yang mukmin, dalam pernikahan, dan menikahi wanita-wanita daripada mereka yang diberi al-Kitab sebelum kamu, jika kamu beri mereka upah mereka, dalam ikatan perkahwinan, bukan dalam zina, atau menjadikannya teman rahsia. Sesiapa yang tidak percaya dalam keimanan, amalannya jadi sia-sia, dan di akhirat dia termasuk orang-orang yang rugi." (5:5)
Tiga kali Tuhan sebut mengenai ikatan perkahwinan dan bukan dalam zina. Kahwin, jangan berzina, itu mesej-Nya! Lantaran itu, boleh jadi kerana adat perkahwinan yang diadakan dan kos yang membebankan mendesak sesetengah pasangan lakukan zina demi memenuhi kehendak mereka.
Jika angka bilangan anak berkenaan dikatakan banyak (21.5 kes sehari sedekad lalu), maka diduga bilangan orang Islam yang berzina dalam sehari dewasa ini adalah jauh lebih banyak lagi. Walhal, Tuhan, dengan keras melarangnya:
"Dan janganlah mendekati zina; sesungguhnya ia satu kesumbangan, dan jalan yang jahat." (17:32)
Zina adalah satu kesumbangan, dan jalan yang jahat. Ia juga dilarang daripada didekati - pendek kata, tak usah difikirkan tentang tu langsung!
Didapati pula zina disebut bersama amalan sekutukan Allah, dan membunuh jiwa yang Allah haramkan. Ayat berikut menjelaskan lebih lanjut:
"Yang tidak menyeru tuhan yang lain bersama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang Allah haramkan kecuali dengan patut, dan tidak juga berzina, kerana sesiapa yang buat demikian itu akan temui harga dosa." (25:68)
Dosa, dalam Kitab Allah, adalah suatu yang amat berat. Selanjutnya ia disebut bersama kejahatan lain, iaitu mencuri, membunuh anak-anak sendiri, mengumpat dan mengingkari Rasul atau mengingkari ayat-ayat-Nya, di dalam ayat berbunyi,
"Wahai Nabi, apabila wanita-wanita mukmin datang kepada kamu, dengan berjanji setia kepada kamu, bahawa mereka tidak akan sekutukan Allah dengan sesuatu, dan tidak akan mencuri, dan tidak lakukan zina, dan tidak membunuh anak-anak mereka, dan tidak datangkan fitnah yang mereka ada-adakan antara tangan-tangan mereka dan kaki-kaki mereka, dan tidak juga ingkari kamu pada apa yang baik, maka terimalah janji setia mereka, dan mintalah ampun kepada Allah untuk mereka; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih." (60:12)
Bagi penzina, baik lelaki mahupun perempuan, dihukum dengan hukuman ditetapkan Allah, yang maksimumnya tercatat di bawah:
"Perempuan yang berzina, dan lelaki yang berzina, sebatlah tiap-tiap seorang daripada mereka dengan seratus sebatan, dan dalam agama Allah, janganlah kelembutan terhadap mereka mengambil kamu, jika kamu percayai Allah dan Hari Akhir; dan hendaklah segolongan orang-orang mukmin saksikan azab mereka." (24:2)
Dalam perkahwinan pula, mereka dikahwinkan dengan orang-orang yang diharamkan untuk dikahwini oleh orang-orang mukmin, iaitu penzina yang serupa mereka, dan orang-orang yang sekutukan Allah. Firman-Nya,
"Lelaki yang berzina tidak kahwini kecuali perempuan yang berzina, atau perempuan yang sekutukan; dan perempuan yang berzina, tiada yang kahwininya kecuali lelaki yang berzina, atau lelaki yang sekutukan; itu diharamkan kepada orang-orang mukmin." (24:3)
Daripada ayat di atas, dapat difahamkan bahawa para penzina disamakan taraf dengan orang-orang yang sekutukan Allah. Sayugia diingat iaitu dosa sekutukan Allah lazimnya tidak diampun.
Tidak dinafikan, setelah difahamkan daripada ayat-ayat mengenai zina, bahawa kejahatan tersebut adalah amat serius sekali, dan patut dijauhi.
Mungkin terdapat orang mengaitkan sebab lakukan zina dengan kemudahan moden yang ada seperti TV, internet dan sebagainya. Pendapat ini tidak berapa disetujui, kerana sejak zaman dahulu kala lagi, amalan free sex telah dilakukan dengan luas. Pandangan demikian terbit daripada ayat bermaksud,
"Dan malaikat-malaikat memanggilnya, sedang dia berdiri untuk menyembah di mihrab, 'Allah beri kamu berita gembira dengan Yahya yang mengesahkan satu Kata Allah, dan seorang ketua, dan jujur serta suci daripada kejahatan nafsu berahi, dan seorang Nabi, dan seorang yang salih.'" (3:39)
Sebab Nabi Yahya disebut satu-satunya sebagai seorang Nabi yang suci daripada kejahatan nafsu berahi adalah, menurut pandangan penulis, kerana kesumbangan tersebut menular di kalangan masyarakat pada zaman itu. Pandangan dikukuhkan lagi apabila Mariam yang hidup sezaman (zaman sejurus sebelum kelahiran Nabi Isa) disebut pula sebagai seorang perempuan yang menjaga kemaluannya. Ayat berkaitan berbunyi,
"Dan Mariam, anak perempuan Imran, yang menjaga kemaluannya, maka Kami hembus ke dalamnya daripada Roh Kami, dan dia mengesahkan Kata-Kata Pemeliharanya dan Kitab-Kitab-Nya, dan jadi antara orang-orang yang patuh." (66:12)
Frasa menjaga kemaluan menarik perhatian. Dengan itu, bukan yang berlaku di sekeliling jadi punca utama dalam zina tetapi lelaki dan perempuan yang tidak menjaga kemaluan mereka daripada keinginan nafsu berahi. Frasa tersebut diulang lagi di dalam lima ayat berikut:
"Dan yang pada kemaluan mereka, mereka menjagai;" (23:5)
"Katakanlah kepada orang-orang mukmin supaya mereka tundukkan pandangan mereka, dan jaga kemaluan mereka; itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah sedar apa yang mereka kerjakan." (24:30)
"dan katakan kepada perempuan-perempuan mukmin, supaya mereka tundukkan pandangan mereka, dan jaga kemaluan mereka..." (24:31)
"Lelaki yang muslim dan perempuan yang muslim, dan lelaki yang mukmin dan perempuan yang mukmin, dan lelaki yang patuh dan perempuan yang patuh, dan lelaki yang benar dan perempuan yang benar, dan lelaki yang sabar dan perempuan yang sabar, dan lelaki yang rendah hati dan perempuan yang rendah hati, dan lelaki yang bersedekah dan perempuan yang bersedekah, dan lelaki yang berpuasa dan perempuan yang berpuasa, dan lelaki yang menjaga kemaluan mereka dan perempuan yang menjaga, dan lelaki yang mengingati Allah dengan banyak dan perempuan yang mengingati - bagi mereka, Allah sediakan ampunan dan upah yang besar." (33:35)
"dan jaga kemaluan mereka," (70:29)
Pengulangan frasa menggambarkan
betapa tegasnya Allah dalam menyuruh manusia menjaga kemaluan masing-masing. Namun, ayat-ayat atau
amaran-Nya, atau Peringatan, tidak berguna sedikit pun selagi manusia tidak ikutinya
dan tidak takut kepada-Nya. Pendapat terbit daripada ayat berikut:
"Kamu hanya beri amaran kepada orang yang ikut Peringatan, dan yang takut kepada Yang Pemurah dalam keadaan ghaib;" (36:11).
Oleh demikian, jika kemaluan didapati tidak dijaga, dan zina bukan sahaja
didekati malah dilakukan dengan senang, maka sebabnya ialah tidak takut kepada
Allah. Sikap berani serupa itu, tentu sekali akan melahirkan anak yang dikategorikan
sebagai anak luar nikah. Lagi
ramai yang berani lagi banyaklah bilangan anak tersebut dalam masyarakat Islam.
Justeru, pendidikan agama harus menekankan aspek ikut ayat-ayat Allah dengan taat, dan menakuti-Nya yang dalam keadaan ghaib. Ajaran yang selama ini diterima, seperti neraka sebagai tempat sementara, iaitu boleh keluar setelah dimasukkan ke dalamnya, bersyahadah dapat masuk syurga, menunaikan Haji hapuskan segala dosa, atau cinta kepada ulama akan masuk syurga tanpa hisab, adalah difikirkan tidak mampu mencapai matlamat tersebut, lalu sang maksiat terus merayap-rayap di sana sini dalam dunia umat Islam di sini.
Penulis Bacaan
1 Jun 2010
Halaman Utama
Terkini
Perpustakaan Bacaan
E-Mail Hiasan
Kalimat Pilihan
Keratan
Akhbar Penemuan
Soalan Lazim
Sudut
Pelajar
Tulis kepada Pengurus Laman