Antara Ahli Kitab

 

Allah beri petunjuk kepada manusia melalui Kitab-Nya. Kitab-Kitab petunjuk yang diturunkan dan disifat sebagai cahaya ada tiga, iaitu Taurat, Injil dan al-Qur'an. Golongan manusia yang menerima Kitab-Kitab tersebut dipanggil Ahli Kitab. Hari ini, ahli-ahli Kitab terdiri daripada orang-orang yang bergelar Yahudi, Kristian dan Islam.

Manusia pada mulanya adalah umat yang satu. Kemudian mereka berselisih. Mereka berselisih selepas menerima Kitab yang diturunkan kepada para Nabi. Mereka berselisih selepas bukti-bukti yang jelas, atau ayat-ayat Allah, datang kepada mereka kerana sifat angkuh yang jadi pakaian bagi sesetenagh mereka. Firman Allah,

"Manusia adalah umat yang satu, kemudian Allah bangkitkan Nabi-Nabi sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran, dan Dia turunkan bersama mereka Kitab dengan yang benar untuk Dia hakimkan antara manusia mengenai apa yang mereka selisihkan. Hanya orang-orang yang diberikannya berselisih, setelah bukti-bukti yang jelas datang kepada mereka, kerana angkuh antara mereka;" (2:213)

Perselisihan yang terbit mendorong kepada perpecahan. orang-orang diberi al-Kitab berpecah belah setelah Bukti Yang Jelas tiba kepada mereka. Firman-Nya, 

"Dan mereka tidak berpecah belah, orang-orang diberi al-Kitab , melainkan setelah Bukti Yang Jelas datang kepada mereka." (98:4)

Perpecahan itu juga disebabkan oleh sifat angkuh yang dipakai oleh sesetengah orang diberi al-Kitab, selepas mereka dapat pengetahuan daripada Kitab. Firman-Nya,

"Mereka tidak berpecah belah kecuali setelah pengetahuan datang kepada mereka, kerana angkuh antara satu sama lain;" (42:14)

Agama pun pada mulanya satu, iaitu tunduk patuh kepada Tuhan atau dipanggil Islam. Wahyu yang disampaikan kepada semua Nabi (termasuk Nabi Muhammad) adalah sama (4:163). Kemudian orang-orang diberi al-Kitab berselisih setelah pengetahuan datang kepada mereka - juga kerana sifat angkuh yang hadir di kalangan mereka. Firman-Nya,

"Agama yang benar di sisi Allah ialah Islam (tunduk patuh), dan orang-orang diberi al-Kitab tidak berselisih melainkan setelah pengetahuan datang kepada mereka kerana angkuh antara mereka. Dan sesiapa tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah cepat buat hitungan." (3:19)

Kerana itu, pada hari ini, agama yang satu berpecah jadi tiga yang besar, dan di dalam yang tiga itu - Yahudi, Kristian, dan Islam - berpecah lagi kepada pelbagai fahaman atau mazhab. Perselisihan dan perpecahan didalangi oleh sesetengah orang diberi Kitab iaitu yang angkuh, yang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah.

Walhal, orang-orang diberi al-Kitab telah diperintah oleh Allah supaya percaya kepada apa diturunkan kepada mereka dan takut kepada-Nya. Firman Allah,

"Wahai orang-orang diberi al-Kitab , percayalah kepada apa yang Kami turunkan, yang mengesahkan apa yang bersama kamu sebelum Kami hapuskan muka-muka, dan pusingkannya di atas belakangnya, atau laknat mereka sebagaimana Kami telah laknati orang-orang Sabat, dan perintah Allah adalah dibuat." (4:47)

"Kami telah wasiatkan kepada orang-orang diberi Kitab sebelum kamu, dan kepada kamu, 'Takutilah Allah.' Jika kamu tidak percaya, maka kepunyaan Allah segala yang ada di langit dan di bumi; Allah Kaya, Terpuji." (4:131)

Selain itu, mereka buat perjanjian untuk sampaikan Kitab kepada manusia dan tidak sembunyikannya sedikit pun. Tetapi mereka tidak menghormati perjanjian tersebut kerana mengutamakan keuntungan di dunia. Firman-Nya,

"Dan apabila Allah ambil perjanjian orang-orang diberi Kitab, 'Hendaklah kamu jelaskannya kepada manusia, dan janganlah sembunyikannya.' Tetapi mereka melemparnya ke belakang punggung mereka, dan menjualnya untuk harga yang sedikit - alangkah buruknya apa yang mereka jual!" (3:187)

Adalah jahat apa mereka buat. Kejahatan yang dilakukan oleh segolongan manusia yang diberi Kitab terus dijelaskan di dalam al-Qur'an, seperti berikut:

Melempar Kitab Allah, tidak mahu tahu mengenainya:

"Apabila datang kepada mereka seorang Rasul daripada Allah, mengesahkan apa yang bersama mereka, segolongan daripada mereka yang diberi Kitab melemparkan Kitab Allah ke belakang punggung mereka, seolah-olah mereka tidak tahu." (2:101)

sembunyikan yang benar sambil mengetahuinya:

"Orang-orang yang kepada mereka kami beri al-Kitab, ......, dan sesungguhnya segolongan daripada mereka sembunyikan yang benar, sedang mereka mengtahuinya." (2:146)

Ingin sesatkan orang yang percaya:

"Ada segolongan daripada ahli Kitab menginginkan untuk menyesatkan kamu, tetapi tiada yang mereka sesatkan melainkan diri-diri mereka sendiri, dan mereka tidak sedar." (3:69)

Berpura-pura percaya supaya orang yang percaya kembali jadi tidak percaya:

"Ada segolongan daripada ahli Kitab berkata, 'Percayalah kepada apa diturunkan kepada orang-orang yang percaya pada permulaan siang, dan janganlah percaya pada akhirnya, supaya mereka kemudian kembali,' (3:72) dan,

Berdusta dengan mengatakan apa mereka kata adalah daripada al-Kitab atau Allah:

"Dan antara mereka (ahli Kitab), ada segolongan yang putarbalikkan lidah mereka dengan al-Kitab supaya kamu sangka ia daripada sebahagian al-Kitab, sedang ia bukan daripada al-Kitab; dan mereka berkata, 'Ia daripada Allah', tetapi ia bukan daripada Allah, dan mereka berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahuinya." (3:78)

Kejahatan yang mereka lakukan berterusan hingga ke hari ini dan telah sampai di negara ini. Mereka dilarang daripada ditaati oleh orang-orang yang percaya kerana mereka mampu kembalikan orang-orang yang percaya, sesudah mereka beriman, kepada kekafiran atau ketidakpercayaan. Firman-Nya,

"Wahai orang-orang yang percaya, jika kamu taati segolongan daripada orang-orang diberi al-Kitab , mereka akan kembalikan kamu, sesudah keimanan kamu, kepada orang-orang tidak percaya." (3:100)

Namun begitu, makanan mereka yang diberi al-Kitab adalah halal dimakan dan perempuan mereka halal dinikahi dalam ikatan perkahwinan oleh orang-orang yang percaya. Firman-Nya,

"Pada hari ini, benda-benda yang baik dihalalkan bagi kamu, dan makanan orang-orang diberi al-Kitab adalah halal bagi kamu, dan dihalalkan bagi mereka, makanan kamu. Begitu juga wanita-wanita yang mukmin, dalam pernikahan, dan menikahi wanita-wanita daripada mereka yang diberi al-Kitab sebelum kamu, jika kamu beri mereka upah mereka, dalam ikatan perkahwinan," (5:5)

Terdapat pula antara orang-orang diberi al-Kitab ambil hanya sebahagian daripada isinya sahaja. Oleh kerana mereka memilih untuk mengambil sebahagian daripada Kitab sahaja, maka sebahagianlah yang Allah beri kepada mereka. Mereka ini jahat. Contoh kejahatan mereka adalah:

Mereka berpaling apabila Kitab Allah diseru untuk dijadikan hakim:

"Tidakkah kamu renungkan orang-orang diberi sebahagian al-Kitab, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya ia hakimkan antara mereka, kemudian segolongan antara mereka berpaling, dan mereka palingkan." (3:23)

Mereka percaya kepada Jibti dan Thagut. Pada hari ini nama-nama itu diganti dengan nama-nama (orang) lain, dan mereka berkata mereka lebih dapat petunjuk daripada orang-orang yang percaya kepada Allah dan Kitab-Nya:

"Tidakkah kamu renungkan orang-orang diberi sebahagian al-Kitab percayai Jibti dan Thagut, dan mengatakan kepada orang-orang tidak percaya bahawa mereka lebih dapat petunjuk pada jalan daripada orang-orang yang percaya." (4:51)

Atau, dengan perkataan lain, apa yang mereka lakukan adalah hanya sekutukan Allah:

"dan daripada golongan-golongan (yang Allah beri Kitab), ada yang nafi sebahagiannya. Katakanlah, 'Aku hanya diperintah untuk sembah Allah, dan tidak sekutukan sesuatu dengan-Nya. Kepada-Nya aku seru, dan kepada-Nya tempat kembali.'" (13:36)

Orang-orang yang mengambil sebahagian daripada Kitab adalah sesat, dan mereka selanjutnya hendak orang-orang yang percaya turut sesat. Mungkin dengan memaksa mereka supaya ikut mereka. Firman-Nya,

"Tidakkah kamu renungkan orang-orang diberi sebahagian al-Kitab membeli kesesatan, dan hendak kamu juga sesat daripada jalan?" (4:44)

Kepada ahli Kitab, Allah dan Nabi telah menyeru secara khas atas kejahatan mereka, seperti:

campuradukkan yang benar dengan yang palsu, dan sembunyikan yang benar, sedang mereka sedarnya:

"Wahai ahli Kitab, mengapa kamu campuradukkan yang benar dengan yang palsu, dan kamu sembunyikan yang benar sedang kamu mengetahuinya?" (3:71)

Tidak percaya kepada ayat-ayat Allah:

"Katakanlah, 'Wahai ahli Kitab, mengapa kamu tidak percaya kepada ayat-ayat Allah? Allah saksi atas apa kamu buat.'" (3:98)

Menghalangi orang-orang yang percaya daripada jalan Allah; inginkan ia jadi bengkok:

"Katakanlah, 'Wahai ahli Kitab, mengapa kamu halangi jalan Allah orang yang percaya, dan inginkannya jadi bengkok, dan kamu sendiri saksi-saksi? Allah tidak lalai daripada apa kamu buat.'" (3:99) dan,

Berlebih-lebihan dalam agama, mengatakan terhadap Allah yang tidak benar, dan ikut orang dahulu yang sesat yang telah sesatkan ramai manusia:

"Wahai ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan dalam agama kamu, dan jangan kamu kata terhadap Allah kecuali yang benar." (4:171)

"Katakanlah, 'Wahai ahli Kitab, jangan kamu berlebih-lebihan dalam agama kamu, selain daripada yang benar, dan jangan ikut keinginan kaum yang telah sesat sebelumnya, dan sesatkan ramai, dan sesat lagi daripada jalan yang betul.'" (5:77)

Malangnya mereka enggan mendengar apa yang telah diserukan sehingga ke hari ini. Keingkaran mereka juga dapat ditonton di negara ini.

Sesungguhnya kebanyakan daripada ahli Kitab adalah jahat, sebab mereka didapati:

Fasiq, atau tidak mempedulikan perintah Tuhan:

"Kamu adalah umat terbaik dikeluarkan bagi manusia, dengan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar, dan kamu percayai Allah. Sekiranya ahli Kitab percaya, tentulah itu lebih baik bagi mereka; antara mereka orang-orang mukmin, tetapi kebanyakan mereka adalah orang-orang fasiq." (3:110)

buat dosa, permusuhan, dan makan yang haram:

"Kamu lihat kebanyakan daripada mereka bersegera dalam dosa dan permusuhan, dan bagaimana mereka makan yang haram; buruknya apa mereka buat!" (5:62)

Mengharamkan makanan yang tidak diharamkan Tuhan:

"Sekiranya mereka lakukan Taurat dan Injil, dan apa diturunkan kepada mereka daripada Pemelihara mereka, tentu mereka akan makan apa yang di atas mereka, dan apa yang di bawah kaki mereka. Antara mereka adalah umat yang adil, tetapi kebanyakan antara mereka, adalah jahat apa mereka buat." (5:66) dan,

Bertambah dalam kelampauan batas, dan ketidakpercayaan setelah didatangkan ayat-ayat Allah

"Katakanlah, 'Wahai ahli Kitab, kamu tiada di atas sesuatu, sehingga kamu lakukan Taurat dan Injil, dan apa diturunkan kepada kamu daripada Pemelihara kamu.' Dan apa diturunkan kepada kamu daripada Pemelihara kamu akan tambah kepada kebanyakan daripada mereka dalam kelampauan batas, dan ketidakpercayaan;" (5:68)

Seperti orang Kristian yang telah menubuhkan rahbaniyah (sistem berahib atau berulama) yang tidak disuruh Allah (57:27), di dalam Injil mahupun Taurat, orang-orang Yahudi dan juga Islam letak kepercayaan mereka di tangan sarjana dan doktor agama atau habr mereka. Perbuatan itu tidak waras kerana kebanyakan daripada mereka memakan harta manusia dengan cara palsu, selain menghalang jalan Allah, iaitu dengan mengajar agama tidak menurut ajaran Tuhan. Firman-Nya,

"Wahai orang-orang yang percaya, kebanyakan habr, dan rahib, sesungguhnya mereka makan harta manusia dengan cara palsu, dan halangi jalan Allah." (9:34)

Mereka yang mengambil keuntungan dunia mengatakan bahawa mereka akan diampunkan Tuhan. Demikianlah kata mereka yang diberi Kitab hingga ke hari ini. Lihat betapa salahnya mereka:

"Dan menggantilah sesudah mereka pengganti-pengganti yang mewarisi Kitab, dengan mengambil keuntungan daripada dunia yang rendah ini, dan mereka berkata, 'Kami akan diampunkan'; dan jika keuntungan yang serupa dengan itu datang kepada mereka, mereka akan mengambilnya. Bukankah perjanjian Kitab telah diambil daripada mereka, bahawa mereka tidak mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar? Dan mereka pelajari apa yang di dalamnya, bahawa tempat kediaman akhir adalah lebih baik bagi orang-orang bertakwa. Tidakkah kamu faham?" (7:169)

Menyentuh mengenai sikap kebanyakan daripada ahli Kitab terhadap orang-orang yang percaya kepada Kitab Allah. Sikap mereka didapati tidak menyenangkan, seperti:

Tidak inginkan bahawa sebarang kebaikan diturunkan kepada orang-orang yang percaya:

"Orang-orang tidak percaya daripada ahli Kitab, dan orang-orang yang sekutukan, tidak inginkan bahawa sebarang kebaikan diturunkan kepada kamu daripada Pemelihara kamu,  tetapi Allah pilih untuk pengasihan-Nya siapa Dia hendaki; Allah mempunyai pemberian yang besar." (2:105)

Mereka dengki dan ingin supaya orang-orang yang percaya jadi tidak percaya:

"Kebanyakan daripada ahli Kitab ingin sekiranya mereka dapat kembalikan kamu sebagai orang-orang tidak percaya setelah keimanan kamu kerana dengki dalam jiwa mereka sesudah yang benar menjadi jelas bagi mereka. Namun begitu, kamu maafkanlah, dan ketepikanlah, sehingga Allah datangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah berkuasa atas segala sesuatu." (2:109)

Mereka mengganggu orang-orang yang percaya:

"Sungguh, kamu akan diuji dalam harta kamu dan diri-diri kamu, dan kamu akan dengar daripada orang-orang diberi Kitab sebelum kamu, dan daripada orang-orang yang sekutukan, gangguan yang banyak; tetapi, jika kamu sabar, dan bertakwa - sesungguhnya itulah urusan yang patut ditekadkan." (3:186)

Dan, mereka mendendami orang-orang yang percaya:

"Katakanlah, 'Wahai ahli Kitab, adakah kamu dendami kami kerana kami percaya kepada Allah, dan apa diturunkan kepada kami, dan apa diturunkan sebelumnya, dan bahawa kebanyakan kamu adalah orang-orang fasiq?'" (5:59)

Sikap-sikap tersebut memang dapat dikesan di kalangan ahli Kitab yang berada di dalam masyarakat Melayu hari ini.

Pun begitu, terdapat juga di kalangan orang-orang diberi Kitab, atau ahli Kitab, yang baik. Contoh:

Mereka membaca al-Kitab dengan bacaan sebenar lalu percayainya:

"Orang-orang yang kepada mereka kami beri al-Kitab membacanya dengan bacaannya yang benar, mereka percayainya; dan sesiapa yang tidak percaya kepadanya, merekalah orang-orang yang rugi." (2:121)

Mereka membaca ayat-ayat Allah pada tengah malam dan bersujud:

"Tidaklah mereka semua sama; sebahagian daripada ahli Kitab adalah satu umat yang tegak, yang baca ayat-ayat Allah pada tengah malam, dan sujud. Mereka percayai Allah dan Hari Akhir, dan menyuruh yang baik, dan melarang yang mungkar, dan mereka bersegera dalam kebajikan; mereka itulah orang-orang salih." (3:113-114)

Mereka percaya kepada apa diturunkanAllah, rendah hati kepada Allah, dan tidak jual ayat-ayat Allah, misalan, sembunyikannnya untuk keuntungan di dunia:

"Dan daripada ahli Kitab ada yang percayai Allah, dan apa diturunkan kepada kamu, dan apa diturunkan kepada mereka; mereka rendah hati kepada Allah, tidak jual ayat-ayat Allah untuk harga yang sedikit. Mereka itu, upah mereka adalah di sisi Pemelihara mereka; sesungguhnya Allah cepat buat hitungan." (3:199) dan,

Mereka baca Kitab Allah, lakukan solat dan menafkah:

"Sesungguhnya orang-orang yang baca Kitab Allah, dan lakukan solat, dan nafkahkan (belanjakan) daripada apa yang Kami rezekikan mereka, secara rahsia dan secara terbuka, mereka mengharapkan perdagangan yang tidak sia-sia," (35:29)

Kini sudah tiba masanya untuk hati orang-orang yang mengaku percaya ditundukkan kepada ayat-ayat Allah supaya ia tidak jadi keras dan mereka tidak jadi fasiq seperti yang telah berlaku pada orang-orang diberi al-Kitab dahulu. Firman-Nya,

"Tidakkah ia masanya untuk hati orang-orang yang percaya ditundukkan kepada Peringatan Allah, dan yang Benar, yang Dia turunkan, dan mereka tidak jadi seperti orang-orang yang telah diberi al-Kitab sebelumnya, dan tempohnya dirasakan terlalu panjang kepada mereka, lalu hati mereka jadi keras, dan  kebanyakan mereka orang-orang fasiq?" (57:16)

Sekiranya ahli Kitab percaya dan bertakwa (takut kepada Tuhan) maka Taman Kebahagiaan menantinya di akhirat setelah kejahatan-kejahatn mereka dilepaskan Allah. Firman-Nya,

"Tetapi sekiranya ahli Kitab percaya dan bertakwa, tentu Kami lepaskan mereka daripada kejahatan-kejahatan mereka, dan tentu Kami masukkan mereka ke Taman Kebahagiaan." (5:65)

Tetapi, bagi mereka yang tidak percaya, dan yang mengambil ajaran selain daripada ajaran Allah, atau yang sekutukan-Nya, mereka diterangkan pula sebagai seburuk-buruk makhluk, dan akan tinggal di dalam api Jahanam selama-lamanya. Firman Tuhan,

"Orang-orang tidak percaya daripada ahli Kitab, dan orang-orang yang sekutukan berada di dalam api Jahanam, di dalamnya tinggal selama-lamanya; mereka itulah seburuk-buruk makhluk." (98:6)

Itu adalah ayat terakhir yang mengandungi kalimat ahli Kitab atau Kitab di dalam al-Qur'an. Ia merupakan peringatan terakhir bagi ahli Kitab. Turut jadi peringatan ialah ayat yang menyebut mengenai tiga kategori manusia yang mewarisi Kitab Allah, berbunyi,

"Kemudian Kami wariskan Kitab kepada mereka antara hamba-hamba Kami yang Kami pilih; tetapi antara mereka, ada yang menzalimi dirinya sendiri, dan antara mereka tidak bersungguh-sungguh, dan antara mereka ada yang mendahului dalam kebajikan dengan izin Allah; itulah pemberian yang besar." (35:32)

Justeru, terdapat tiga pilihan. Sama ada ingin jadi orang yang menerima Kitab yang mendahului dalam kebajikan, dengan izin Allah, atau yang tidak bersungguh-sungguh, atau yang menzalimi diri sendiri seperti bersifat angkuh, atau yang mengambil hanya sebahagian daripada isi Kitab, atau seperti yang dilakukan oleh kebanyakan ahli Kitab.


Penulis Bacaan
24 Oktober 2004
Ramadan 1425


Artikel / English Articles

Halaman Utama   Terkini   Perpustakaan   Bacaan   E-Mail   Hiasan   Kalimat Pilihan
Keratan Akhbar   Penemuan   Soalan Lazim   Sudut Pelajar

Tulis kepada Pengurus Laman