Surah 60
WANITA
YANG DIUJI
(13 ayat)
Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih.
60:1: Wahai orang-orang yang percaya, janganlah ambil musuh-Ku dan musuh kamu untuk wali (sahabat), dengan menyampaikan kasih sayang kepada mereka, sesungguhnya mereka tidak percaya kepada yang benar yang datang kepada kamu, dengan mengusir Rasul dan kamu kerana kamu percayai Allah, Pemelihara kamu. Jika kamu keluar untuk berjuang di jalan-Ku dan inginkan kepuasan hati-Ku, dengan merahsiakan kasih sayang kepada mereka, dan Aku sangat-sangat tahu apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu siarkan; dan sesiapa antara kamu yang buat demikian itu, dia sesat daripada jalan yang betul.
60:2. Jika mereka jumpa kamu, mereka akan jadi musuh kamu, dan menjulurkan kepada kamu tangan-tangan mereka dan lidah-lidah mereka, untuk buat jahat kepada kamu, dan mereka inginkan supaya kamu tidak percaya.
60:3. Tidaklah kerabat kamu daripada pertalian darah, dan tidak juga anak-anak kamu bermanfaat kepada kamu pada Hari Kiamat; Dia akan bezakan antara kamu. Dan Allah lihat apa kamu buat.
60:4. Kamu ada teladan yang baik pada Ibrahim, dan orang-orang yang bersama dia, apabila mereka berkata kepada kaum mereka, “Kami berlepas diri daripada kamu dan apa kamu sembah selain daripada Allah. Kami tidak percaya kepada kamu, dan antara kami dan kamu, permusuhan adalah nyata, dan kebencian selama-lamanya, sehingga kamu percayai Allah satu-satunya.” Melainkan apa yang Ibrahim ucapkan kepada bapanya, “Sungguh, aku akan minta ampun bagi kamu; tetapi aku tidak ada kuasa untuk melakukan sesuatu bagi kamu terhadap Allah.” “Wahai Pemelihara kami, kepada Engkau kami tawakal; kepada Engkau kami berkesesalan; kepada Engkau kepulangan.
60:5. Wahai Pemelihara kami, janganlah buat kami satu cubaan bagi orang-orang tidak percaya; dan ampunkanlah kami. Wahai Pemelihara kami, sesungguhnya Engkaulah Yang Perkasa, Yang Bijaksana.”
60:6. Kamu ada teladan yang baik pada mereka bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan Hari Akhir. Dan sesiapa berpaling, maka sesungguhnya Allah, Dia Yang Kaya, Yang Terpuji.
60:7. Mudah-mudahan Allah buatkan, antara kamu dan orang-orang antara mereka yang kamu bermusuhan, rasa kasih sayang. Allah berkuasa; Allah Pengampun, Pengasih.
60:8. Allah tidak larang kamu terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu dalam agama, dan tidak juga mengusir kamu daripada tempat tinggal kamu, supaya kamu buat baik kepada mereka, dan berlaku adil terhadap mereka; sesungguhnya Allah suka orang yang adil.
60:9. Allah hanya larang kamu terhadap orang-orang yang memerangi kamu dalam agama, dan mengusir kamu daripada tempat tinggal kamu, dan menyokong dalam pengusiran kamu, untuk kamu jadikan mereka sahabat-sahabat. Dan sesiapa yang jadikan mereka sebagai sahabat-sahabat, maka mereka itu, merekalah orang-orang zalim.
60:10. Wahai orang-orang yang percaya, apabila perempuan-perempuan mukmin datang kepada kamu sebagai penghijrah, ujilah mereka. Allah sangat-sangat tahu keimanan mereka. Kemudian, jika kamu tahu bahawa mereka adalah perempuan-perempuan mukmin, janganlah kembalikan mereka kepada orang-orang tidak percaya. Mereka adalah tidak halal bagi orang-orang tidak percaya, dan tidak juga orang-orang tidak percaya halal bagi mereka. Berikan orang-orang tidak percaya apa yang mereka telah nafkahkan (belanjakan); dan tiada kesalahan ke atas kamu untuk kahwini mereka, apabila kamu beri mereka upah mereka. Janganlah kamu berpegang pada ikatan dengan perempuan-perempuan tidak percaya, dan mintalah apa yang kamu sudah nafkahkan, dan biarlah mereka minta apa yang mereka telah nafkahkan. Itu putusan Allah; Dia hakimkan antara kamu; dan Allah Mengetahui, Bijaksana.
60:11. Dan jika seseorang daripada isteri-isteri kamu lari daripada kamu kepada orang-orang tidak percaya, dan kemudian kamu membalas, maka berikan orang-orang yang isteri-isteri mereka telah pergi, yang serupa dengan apa yang mereka telah nafkahkan. Dan takutilah Allah, yang kepada-Nya kamu mukmin.
60:12. Wahai Nabi, apabila wanita-wanita mukmin datang kepada kamu, dengan berjanji setia kepada kamu, bahawa mereka tidak akan sekutukan Allah dengan sesuatu, dan tidak akan mencuri, dan tidak lakukan zina, dan tidak membunuh anak-anak mereka, dan tidak datangkan fitnah yang mereka ada-adakan antara tangan-tangan mereka dan kaki-kaki mereka, dan tidak juga ingkari kamu pada apa yang baik, maka terimalah janji setia mereka, dan mintalah ampun kepada Allah untuk mereka; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih.
60:13. Wahai orang-orang yang percaya, janganlah jadikan sahabat suatu kaum yang terhadap mereka Allah memurkai, dan yang berputus asa daripada akhirat, sebagaimana orang-orang tidak percaya berputus asa, daripada penghuni-penghuni kubur.